Lemang lebih dianggap sebagai makanan yang melambangkan kemeriahan dan hubungan silaturahim antara sesama manusia. Aktiviti membakar lemang dikatakan membantu dalam mengeratkan tali persaudaraan sesama manusia. Ini kerana resepi lemang bukanlah makanan biasa yang mudah dimasak kerana ia memerlukan teknik dan cara yang tepat. Lemang adalah sangat enak dimakan bersama kuah rendang. Selain makanan tradisi masyarakat Melayu untuk Hari Raya Aidilfitri, dan AidilAdha, ia juga sering dimasak ketika perayaan seperti Hari Gawai. Artikel kali ini akan menerangkan resepi lemang buluh turun temurun dan tips untuk elak membeli lemang yang mentah dan basi.
Sejarah Lemang Buluh
Isi Kandungan
Lemang di Malaysia dipercayai berasal daripada orang asli Malaysia yang menggunakan lemang sebagai makanan utama mereka. Ianya dikatakan berasal dari orang asli di Kelantan yang dipanggil orang asli Negrito. Orang asli Negrito atau dikenali juga sebagai Orang Semang merupakan penduduk yang terawal di Kepulauan Melayu. Kini, lemang buluh boleh didapati di seluruh Malaysia dan dipercayai sudah menjadi makanan utama sejak 1864 lagi.
Resepi Lemang Buluh Turun Temurun
Resepi lemang buluh turun temurun ini adalah lemang warisan ibunda Dayang Aminah. Cara penyediaan lemang buluh ini menghasilkan lemang yang sangat enak dan lazat untuk juadah hari raya Aidilfitri.
Penyediaan dan Pemilihan Buluh
- Pilih buluh muda jenis telur atau yang nipis dengan saiz ruasnya tidak terlalu besar dan panjang Pilih buluh yang panjang ruasnya tidak lebih 2 kaki atau sekitar 18 inci.
- Cuci buluh yang sudah siap dipotong mengikut ruas di bahagian dalam dan luar. Susun terbalik untuk dikeringkan.
- Potong daun pisang muda iaitu pucuk pisang yang masih bergulung paling baik mengikut panjang ruas buluh (lebihkan 3 inci), kepit dengan pelepah pisang yang dibelah, gulung sebesar buluh dan masukkan ke dalam buluh.
Kredit: FB Khaidir Ahmad
Penyediaan Beras Pulut
- Satu gantang beras pulut adalah bersamaan 3.6 kilogram untuk lebih kurang 12 hingga 15 ruas buluh lemang
- Basuh dan rendam beras pulut selama 2 jam dan kemudian “ditus” atau keringkan dalam penapis.
Penyediaan Santan Kelapa
- Sukatan santan kelapa adalah 4 biji kelapa atau 1.5 kilo santan segar untuk satu gantang beras pulut.
- Masukkan garam sesedap rasa dan satu sudu teh gula.
Kredit: FB Khaidir Ahmad
Cara Membuat dan Membakar Lemang
- Beras pulut dimasukkan ke dalam buluh yang sudah siap berlapik daun pisang menggunakan tangan atau sudu makan.
- Jangan isi sepenuh buluh, sebaliknya tinggalkan ruang kosong kira-kira 3 inci atau satu jari telunjuk dari bahagian atas buluh kerana beras pulut akan mengembang apabila dimasak.
- Tuang santan ke dalam buluh lemang sehingga paras satu inci di atas paras beras.
- Susun condong buluh lemang yang siap diisi di atas bata dan bakar menggunakan kayu api yang sudah berbara (Perhatian: Jangan bakar ketika kayu api sedang menyala seperti unggun api).
- Jarakkan lemang dengan bara api sekitar satu hingga dua kaki dan buluh lemang hendaklah dipusing menghadap arah bara api setiap 5 minit bagi memastikan lemang masak sekata.
- Biasanya lemang akan masak sepenuhnya dalam tempoh 2 jam menggunakan bara api.
Kredit: FB Khaidir Ahmad
Tips Elak Beli Lemang Tidak Cukup Masak
1.Elak gerai yang membakar lemang dengan kayu pallet
Kayu pallet ini biasanya tidak dimakan anai-anai kerana ia telah disembur dengan racun anai-anai. Bagi mengelakkan pembeli terkena racun anai-anai, elakkan beli lemang buluh daripada gerai yang membakar lemang dengan kayu ini.
2. Cari gerai lemang yang ada banyak kayu api
Gerai lemang yang banyak kayu api menandakan pemilik gerai memang membakar lemang dengan betul, dan bukan menjual lemang yang dikukus dari tempat lain.
3. Jangan memilih lemang yang terlalu besar atau terlalu kecil
Jika lemang terlalu besar, ada kemungkinan lemang tersebut susah nak masak dan masih separa mentah semasa anda membelinya. Jika lemang terlalu kecil pula, isinya mungkin terlalu garing, liat dan keras. Jadi, pilihlah lemang yang bersaiz sederhana.
4. Minta peniaga membelah lemang pada bahagian bawah sebelum membelinya
Kebiasaannya peniaga akan membelah lemang pada bahagian atas dan menunjukkan kepada pembeli. Bagaimanapun, untuk lebih berhati-hati, anda perlu menyuruh peniaga membelah lemang pada bahagian bawah terlebih dahulu, kerana jika bahagian bawah lemang telah masak, sudah tentu bahagian atas lemang juga masak. Jika tidak, anda mungkin akan terpilih lemang yang masak di atas, dan separa masak di bahagian bawah.
5. Perhatian bahagian kepala santan lemang
Bahagian kepala santan adalah bahagian atas di mana lemak dan santan berkumpul dan mendidih semasa dibakar. Pastikan anda beli lemang yang bahagian kepala santan sudah kering, masak dan tidak berbau, kerana anda boleh simpan lemang sehingga 1-2 hari sebelum ia membusuk. Cara ini juga memastikan lemang yang anda beli itu belum lagi basi.
Soalan FAQs Berkenaan Resepi Lemang Buluh
Bagaimana untuk mengenalpasti bahawa lemang sudah basi atau busuk?
Lihat dan bau kepala santan lemang. Jika kepala santan lemang sudah berbau, lemang tersebut telah basi atau membusuk.
Apakah jenis buluh yang sesuai untuk masak lemang?
Pilih buluh muda jenis telur atau yang nipis dengan saiz ruasnya tidak lebih 2 kaki atau sekitar 18 inci.