Pernahkah anda mendengar tentang bunting pelamin? Bunting pelamin selalu disalah ertikan oleh masyarakat hari ini kerana ramai yang menganggap pengantin telah pun mengandung sebelum berkahwin.
Pandangan masyarakat terhadap isu ini telah menyebabkan perselisihan faham dan pergaduhan sesama sendiri. Segelintir masyarakat yang berfikiran seperti ini menganggap bahawa pengantin telah melakukan hubungan seks sebelum berkahwin hanya kerana usia kandungan yang lebih awal daripada tempoh perkahwinan.
Namun begitu, terdapat penjelasan tentang mengapa ianya terjadi dan hari ini, saya akan kongsikan secara mendalam tentang apa sebenarnya bunting pelamin.
Definisi Bunting Pelamin
Isi Kandungan
Apa Itu Bunting Pelamin?
Definisi bunting pelamin yang sebenar adalah wanita yang hamil sejurus berkahwin atau bersanding. Sebagai contoh, pasangan pengantin telah melaksanakan pernikahan pada 18 November 2024. Dalam sebulan kemudian, pengantin perempuan telah disahkan mengandung.
Namun, wanita tersebut dianggarkan telah pun hamil selama satu bulan satu minggu. Anggapan masyarakat yang menyokong tentang anak yang dikandung adalah anak luar nikah adalah disebabkan satu minggu tersebut sedangkan pasangan baru sahaja menikah selama satu bulan.
Hal ini disebabkan kerana usia kehamilan tidak sama dengan usia janin dalam kandungan. Usia kehamilan akan bermula pada tarikh akhir haid. Kemudian, usia embrionik yang merujuk sebagai usia janin akan bermula pada waktu persenyawaan iaitu ketika sperma memasuki telur di Tiub Fallopio.
Selalunya, usia janin akan berada dua minggu ke belakang dari usia kehamilan dan menggambarkan usia sebenar janin yang dikandung.
Tanda-tanda Bunting Pelamin
Tanda-tanda Mengandung Bunting Pelamin
Bunting pelamin ini mempunyai tanda-tanda yang harus anda tahu terutamanya mereka yang akan bergelar isteri dan ibu. Tanda-tanda ini biasanya berbeza bagi setiap individu tetapi kebanyakan tanda yang disenaraikan di bawah ini adalah hampir sama dengan semua wanita yang mengandung.
Tanda-tanda yang dimaksudkan di atas adalah seperti yang berikut:
- Lewat datang haid
- Sakit pada bahagian pinggang
- Kerap kencing
- Sakit pada buah dada
- Tinggi selera makan
Jika anda mengalami tanda-tanda ini ketika telah berkahwin maka disarankan untuk melakukan pemeriksaan sama ada menggunakan alat uji kehamilan yang anda boleh dapati di farmasi berdekatan atau berjumpa dengan doktor.
Kiraan Bunting Pelamin
Memahami Cara Pengiraan Bunting Pelamin
Bagi mereka yang mengalami hal ini, adalah sangat umum jika kandungan janin lebih awal satu atau dua minggu daripada tarikh perkahwinan. Hal ini merupakan hal yang normal dan anda tidak perlu risau.
Perkara yang pertama sekali adalah anda kena tahu bila tarikh terakhir haid yang terkini. Langkah pertama ini adalah amat penting kerana dari sinilah kita tahu bagaimana bunting pelamin boleh terjadi. Contoh adalah seperti di bawah ini:
- Tarikh hari pertama haid: 15 April 2024
- Tarikh bernikah: 29 April 2024
- Tarikh berjumpa doktor: 29 Mei 2024
- Kiraan usia kehamilan: 15 April 2024 – 29 Mei 2024 = 6 minggu
Di sini, terbuktilah bahawa usia kehamilan lebih lama berbanding usia perkahwinan. Itulah mengapa tarikh terakhir haid yang terkini amat penting kerana usia janin dikira berdasarkan tarikh terakhir haid dan bukan tarikh terakhir melakukan hubungan seks bersama suami.
Secara logiknya, selepas tempoh haid para wanita mengalami fasa subur di mana ovari menghasilkan telur di mana ia berlaku di fasa 14 hingga 16. Jika pasangan melakukan persetubuhan pada malam perkahwinan maka persenyawaan janin tersebut berlaku pada fasa subur si isteri.
Melalui penulisan pada hari ini, diharapkan para pembaca memperoleh pemahaman yang lebih bak tentang kepentingan memahami apa itu bunting pelamin. Semoga artikel ini bermanfaat bagi para pembaca yang sedang mencari tahu tentang hal ini sekali gus bagi mereka yang bergelar isteri dan calon ibu.
Apakah yang dimaksudkan dengan fasa subur?
Fasa subur bagi wanita ialah ketika berlakunya proses ovulasi. Proses ini berlaku pada kitaran haid yang membolehkan wanita berpotensi untuk mengandung. Ianya terjadi apabila telur dilepaskan daripada ovari
Berapa lamakah tempoh ovulasi aktif?
Tempoh ovulasi bertahan selama 48 jam sehingga ia tidak dapat disenyawakan lagi oleh sperma. Masa ovulasi adalah singkat.
Mengapakah bunting pelamin ini sering disalah ertikan?
Bunting pelamin sering disalah ertikan kerana usia kandungan yang lebih lama berbanding usia perkahwinan. Inilah pentingnya memahami isu ini agar tidak menimbulkan tanda tanya atau fitnah di kemudian hari.
Apakah tanda-tanda umum ketika mengandung?
Tanda-tanda mengandung yang dialami oleh hampir semua wanita ialah kelewatan dalam haid, mual dan muntah-muntah, payu dara sensitif dan lembut, keletihan, sering membuang air kecil terutamanya pada waktu malam dan mengidam atau hilang selera makan walaupun makanan tersebut adalah makanan kegemaran.
Bilakah tanda awal mengandung akan timbul?
Tanda awal mengandung akan timbul sekitar empat hingga enam minggu.