Penerangan Mengenai Kayap
Isi Kandungan
Penyakit kayap atau dikenali sebagai Herpes Zoster dalam bahasa perubatan adalah disebabkan oleh jangkitan virus dikenali Varicella Zoster yang sedang dorman (tidak aktif) dalam seseorang pesakit. Seseorang yang pernah dijangkiti cacar air (chicken pox) adalah berisiko tinggi dijangkiti semula sebagai kayap. Seseorang yang pernah dijangkiti cacar air, virus ini akan dorman di ganglia akar dorsal saraf pesakit. Pesakit akan diserang oleh virus ini semula jika sistem pertahanan tubuh individu itu lemah. Beberapa tanda kayap harus dikenali, jenis-jenis kayap, dan cara rawatan kayap yang berkesan.
Apakah itu Kayap?
Seperti diterangkan dalam pengenalan, kayap adalah disebabkan oleh jangkitan virus Varicella Zoster (VZV). Menurut kefahaman orang Melayu, kayap terdiri daripada pelbagai jenis antaranya, kayap ular, kayap angin, kayap air, kayap sepupu, kayap api, kayap badak, kayap barah, kayap tunggal, dan lain-lain. Bagaimanapun, penyakit kayap adalah akibat pengaktifan semula jangkitan virus Varicella. Asalnya, jangkitan pertama kali virus ini kepada seseorang individu menyebabkan cacar air. Selepas cacar air sembuh, virus ini akan terus kekal di dalam badan pesakit dan kembali menyerang tubuh pesakit sebagai kayap dengan menyebabkan keradangan pada urat saraf.
Penyakit kayap ini lebih sering berlaku kepada pesakit yang mempunyai sistem imuniti yang lemah dan juga golongan tua serta berusia melebihi 50 tahun. Golongan yang mempunyai imuniti lemah antaranya adalah dijangkiti virus Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan kesan ubat-ubatan (ubat steroid). Statistik kajian menunjukkan sepanjang hayat seseorang, sebanyak 10% hingga 30% individu akan menghidapi penyakit ini.
Tanda-Tanda Kayap
Kayap selalunya menyebabkan keradangan pada satu urat saraf (dermatome) pada sesuatu bahagian sahaja. Kebiasaannya berlaku di bahagian dada (thoracic) dan muka (trigeminal). Antara tanda-tanda penyakit kayap adalah seperti berikut:
- rasa sakit pada urat saraf
- rasa kebas
- bengkak dan kemerahan (panas) pada bahagian urat saraf
- demam
- keletihan
- sakit kepala
- muncul tompok-tompok merah yang menyakitkan
- timbul gelembung air kecil (air berwarna kuning atau jernih)
- kulit menjadi kering (keruping) selepas gelembung air mengering
Komplikasi Kayap Jika Tidak Dirawat Awal |
1. Pendarahan di dalam gelembung kulit 2. Kayap pada muka menyebabkan paralisis otot-otot muka (facial palsy) 3. Keradangan otak (meningoencephalitis) 4. Keradangan jantung (carditis) 5. Keradangan pada paru-paru (pneumomitis) 6. Keradangan pada usus (enterocolitis) |
Kaedah Merawat Kayap
Tujuan merawat kayap adalah untuk meredakan kesakitan dan mengelakkan komplikasi berlarutan penyakit iaitu ‘post herpetic neuralgia’. Sekiranya kayap tidak dirawat segera, ia akan menyebabkan komplikasi yang lebih teruk terutamanya kepada pesakit yang rendah sistem imuniti tubuh.
Cara Merawat Kayap
Antara rawatan yang digunakan untuk meredakan kesakitan akibat kayap adalah seperti berikut:
- Menyapu ubat seperti potassium permanganate
- Menggunakan ubat tahan sakit seperti seperti diclofenac
- Menggunakan ubat neuroaktif seperti amitryptiline.
Selain itu, ada rawatan tradisional boleh digunakan untuk merawat penyakit kayap, seperti tumbuhan herba dan buah-buahan antaranya:
- Daun sirih
- Daun sebambu
- Air kelapa muda
- Daun nangka
- Buah pinang
- Lada hitam
Senarai Ubat Kayap
Antara ubat-ubat yang digunakan untuk rawatan kayap adalah antiviral iaitu acyclovir, valacyclovir dan famciclovir. Ubat-ubatan diberi dalam tempoh seminggu oleh pakar perubatan yang merawat. Kebiasaannya ubat-ubat ni adalah berkesan jika diambil semasa permulaan infeksi. Ada sesetengah pesakit yang mengalami penyakit kayap yang teruk memerlukan rawatan di hospital dengan antiviral intravena.
Mengenali Kayap Ular
Untuk mengenali apa itu kayap ular, dan perbezaannya dengan kayap biasa, anda boleh melihat video berikut.
Soalan FAQs Berkenaan Penyakit Kayap
Apakah itu penyakit kayap?
Penyakit kayap atau dikenali sebagai Herpes Zoster dalam bahasa perubatan adalah disebabkan oleh jangkitan virus dikenali Varicella Zoster yang sedang dorman (tidak aktif) dalam seseorang pesakit.
Apakah simptom kayap?
Antara simptom kayap adalah sakit, panas, kemerahan pada urat saraf, muncul gelembung air, demam, letih dan lesu.
Siapakah golongan yang berisiko dijangkiti kayap?
Golongan berisiko dijangkiti kayap adalah golongan yang mempunyai sistem imuniti yang lemah dan golongan berusia 50 tahun ke atas.
Apakah ubat yang digunakan untuk merawat kayap?
Antara ubat-ubat yang digunakan untuk rawatan kayap adalah antiviral iaitu acyclovir, valacyclovir dan famciclovir.