Penghulu Istighfar atau Sayyidul Istighfar adalah salah satu doa memohon pengampunan dosa yang penting dalam Islam. Istighfar bermaksud memohon keampunan dari Allah SWT. Di dalam bulan puasa ini, umat Islam digalakkan membaca penghulu istighfar setiap hari, kerana ini adalah bulan penuh keberkatan dan kerahmatan. Dalam artikel ini, penulis akan menerangkan apakah itu penghulu istighfar, bacaan dalam rumi, waktu untuk mengamalkan penghulu istighfar, kelebihan dan hadis-hadis berkaitan dengan penghulu Istighfar.
Apakah itu Penghulu Istighfar?
Isi Kandungan
Penghulu istighfar atau sayyidul istighfar adalah merupakan salah satu doa atau ucapan taubat yang amat digalakkan. Menurut Ustaz Azhar Idrus, 1 kali membaca Sayyidul Istighfar bersamaan dengan membaca 1000 kali istigfar. Setiap manusia yang hidup di muka bumi Allah swt perlu beristighfar setiap hari untuk memohon pengampunan dosa.
Penghulu Istighfar Dalam Rumi
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Allaahumma Anta Rabbii Laa ilaaha illaa Annta Kholaq-tanii Wa Anaa ‘Abduka Wa Anaa ‘Ala ‘Ahdika Wawa’ Dika Mas-tatha’-tu Auudzu-bika Min Syarrimaa Sona’-tu Abuu-U Laka Bini’matika ‘Alayya Wa Abuu-U Bidzanmmbi, Faghfirlii Fainnahu Laa Yagh-Firudz-zunuuba Illaa Annta.
Maksudnya:
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan. Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau.
Waktu Membaca Sayyidul Istighfar
Sayyidul istighfar wajar dijadikan amalan atau zikir harian. Doa ini patut dibaca selepas solat Subuh di waktu pagi dan selepas solat Asar di waktu petang sebanyak 1x.
Kelebihan Penghulu Istighfar (Sayyidul Istighfar)
Terdapat banyak kelebihan sayyidul istighfar jika amalan ini dilakukan secara istiqamah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Antara kelebihannya adalah:
- Allah swt akan melapangkan dirinya dari segala kesusahan, dan melepaskannya daripada segala tekanan dan akan dikurniakan rezeki tanpa terkira banyaknya.
- Sesiapa yang beristighfar sebanyak 70 kali, nescaya Allah swt akan menghapuskan sebanyak 700 dosanya.
- Sesiapa yang mengerjakan kejahatan, atau menganiayai dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah swt, nescaya ia akan mendapati Tuhan itu Maha Pengampun, Maha Pengasihani (Surah An Nisa’: 110).
- Allah swt tidak akan menyiksa mereka, selama mereka beristigfar (Al Anfal: 33).
- Mendekatkan diri kepada Allah swt dan mendapat keberkatan dan melorong jalan untuk menuju kepada segala macam kebajikan sama ada di dunia atau di akhirat .
- Mengurniakan pemberian yang baik kepadanya sehingga ke waktu yang ditentukan (Surah Hud : Ayat 3) (Imam Habib Abdullah Haddad, 1981 : 232-235)
Hadis Berkaitan Penghulu Istighfar
Sebagai seorang hamba yang selalu melakukan dosa, seorang manusia seharusnya selalu beristighfar kepada Allah swt setiap hari. Bahkan, kekasih Allah swt iaitu Nabi Muhammad SAW yang diketahui bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang tetapi tidak pernah meninggalkan istighfar ini. Berikut merupakan hadis berkaitan sayyidul istighfar.
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)]
- Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. [Riwayat al-Bukhari (6306)]
- Sabda Baginda SAW lagi di dalam hadith yang sama:
وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”.
Soalan FAQs Berkenaan Penghulu Istighfar
Apakah maksud penghulu istighfar atau sayiddul istighfar?
Doa memohon pengampunan dosa. Memiliki 1000x kelebihan berbanding istighfar ringkas.
Bilakah waktu yang digalakkan untuk membaca penghulu istighfar?
Selepas solat Subuh di waktu pagi dan selepas solat Asar di waktu petang
Apakah antara kelebihan membaca penghulu istighfar?
Diampunkan dosa, dimurahkan rezeki, diselamatkan daripada kezaliman, dan dipelihara hidup di dunia dan di akhirat.