Penyakit Bipolar merupakan penyakit mental ketiga terbesar yang amat berbahaya. Penyakit ini mencatat sebanyak 2.6 peratus hingga 6.5 peratus kes di seluruh dunia. Oleh itu, kita hendaklah mengetahui apakah tanda penyakit Bipolar? Secara umumnya, penyakit Bipolar ini adalah masalah kesihatan mental yang menyebabkan individu mengalami perubahan emosi secara mendadak. Perubahan emosi yang berlaku secara tiba-tiba ini adalah berbeza dengan perubahan emosi yang dialami oleh individu normal.
Tanpa kita sedari, sebenarnya masalah mental ini membimbangkan masyarakat di seluruh penjuru dunia. Walaupun kesedaran tentang isu ini telah bangkit namun masih terdapat sesetengah golongan yang mempunyai stigma negatif terhadap hal ini. Masalah ini berlaku disebabkan oleh kurangnya ilmu pengetahuan dalam hal ini. Oleh itu, penting untuk kita mengetahui dengan mendalam tentang sesuatu perkara.
Maksud dan Tanda-tanda Penyakit Bipolar
Isi Kandungan
Apa itu Bipolar?
Penyakit Bipolar adalah masalah kesihatan mental yang menyebabkan seseorang mengalami gangguan emosi yang melampau. Individu tersebut akan mengalami kecelaruan emosi iaitu episod kemurungan dan episod gembira yang melampau. Penyakit ini boleh menjejaskan tenaga dan keupayaan fizikal seseorang.
Individu yang mengalami penyakit mental seperti ini berasa sukar untuk membuat kerja-kerja biasa contohnya mereka tidak dapat berinteraksi dengan orang lain dan mengalami perubahan pada emosi dan kelakuan mereka. Penyakit ini boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengenal usia mahupun jantina.
Tanda-tanda Penyakit Bipolar
Penyakit Bipolar ini merupakan penyakit mental yang boleh berulang terutamanya jika tidak mengambil sebarang rawatan atau mengalami tekanan hidup. Walau bagaimanapun, berbanding penyakit kecelaruan psikosis seperti schizophrenia, penyakit yang melibatkan kecelaruan emosi seperti bipolar ini mempunyai tahap penyembuhan yang lebih baik.
Berikut merupakan simptom-simptom penyakit Bipolar:
- Berasa terlalu gembira untuk jangka waktu yang panjang.
- Kurang keperluan untuk tidur.
- Bercakap dengan cepat dan berfikir dengan cepat.
- Berasa sangat gelisah atau impulsif.
- Mudah terganggu.
- Keyakinan diri yang melampau terhadap kebolehan diri sendiri.
- Terlibat dalam tingkah laku berisiko seperti hubungan seks rambang dan berbelanja dengan besar.
- Berasa sedih atau putus asa untuk tempoh masa yang lama.
- Menjauhkan diri daripada rakan dan ahli keluarga.
- Hilang minat terhadap aktiviti yang pernah digemari.
- Mempunyai perubahan ketara dalam selera makan.
- Berasa letih atau kurang tenaga.
- Mempunyai masalah dengan ingatan, tumpuan dan semasa membuat keputusan.
- Mencuba bunuh diri atau kerap berfikir tentang kematian.
Jenis-jenis Bipolar
Tanda bipolar dan simptom kecelaruan bipolar adalah berbeza-beza. Kebanyakan simptom ini juga boleh berlaku disebabkan keadaan lain yang boleh menyebabkan keadaan ini sukar untuk didiagnosis.
Tanda gangguan bipolar boleh dibahagikan kepada fasa mania dan kemurungan. Berikut adalah jenis-jenis bipolar:
1) Bipolar I
Terdapat sekurang-kurangnya satu fasa mania tidak kira samada terdapat fasa kemurungan ataupun tidak. Biasanya fasa kemurungan mendahului fasa mania dan menyebabkan ada pesakit yang didiagnos mempunyai kemurungan atau ‘Major Depressive disorder’ pada permulaan sebelum didiagnos mengalami bipolar. Gejala seperti halusinasi serta delusi boleh berlaku pada pesakit bipolar jenis ini.
2)Bipolar II
Berbeza dengan gangguan bipolar II, pesakit di fasa ini tidak pernah mengalami fasa mania. Namun begitu, fasa yang akan dihadapi adalah hypomania dan kemurungan.
3. Gangguan siklotimia (cyclothymia)
Gangguan siklotimia yang berlaku menyebabkan seseorang mengalami fasa hipomanik atau kemurungan selama dua tahun atau lebih. Pesakit dalam keadaan ini akan terlihat normal tetapi sebenarnya pesakit murung dan sukar untuk difahami oleh orang lain. Gangguan ini biasanya akan berkembang pada waktu remaja.
4. Gangguan bipolar campuran (mixed features)
Apabila gangguan bipolar campuran ini berlaku, pesakit akan mengalami gejala depresi dan mania pada waktu yang sama.
Kesan-kesan Bipolar
Penyakit Bipolar yang tidak ditangani dengan baik dan serius akan menyebabkan kesan yang bahaya kepada individu.
Antara kesan Bipolar adalah seperti di bawah ini:
- Halusinasi
- Hubungan sosial yang terjejas
- Melakukan jenayah
- Melakukan percubaan bunuh diri
- Prestasi kerja atau akademik yang buruk
Rawatan Untuk Menangani Penyakit Bipolar
Terdapat beberapa rawatan yang boleh didapatkan untuk merawat penyakit Bipolar ini seperti ubat-ubatan, terapi psikologi, sokongan sosial dan spiritual.
- Ubat-ubatan
Ubat-ubatan yang kerap digunakan adalah ubat penstabil emosi, antipsikotik dan ubat kemurungan. Ia perlu diambil setiap hari mengikut nasihat dan perbincangan bersama doktor pakar anda.
Adakalanya, pil penenang seperti benzodiazepines juga akan diberikan bagi jangka masa pendek bagi mengurangkan keresahan dan membantu seseorang itu menjadi lebih tenang.
2. Terapi psikologi
Pesakit juga boleh menjalani terapi psikologi bersama pakar yang akan mensyorkan jenis terapi sesuai mengikut keperluan pesakit.
Antara terapi yang sering disarankan adalah ‘interpersonal social rhythm therapy’ (IPSRT) boleh membantu individu mengawal tekanan dan memastikan pengambilan ubat mengikut waktu yang ditetapkan. Terapi ini bertujuan membantu mereka agar mendapat semangat bagi menghadapi cabaran hidup.
3. Sokongan sosial
Dari segi sosial pula, pesakit akan diajar untuk menangani isu persekitaran mereka dan akan dibantu untuk mendapat pekerjaan bagi mereka yang belum mendapat pekerjaan.
4. Sokongan spiritual
Dari segi spiritual seperti aktiviti keagamaan dapat membantu individu tertentu dalam proses penyembuhan dan mengelakkan penyakit berulang semula.
Ujian Pemeriksaan Bipolar
Pesakit yang mengalami Bipolar perlulah dipastikan bahawa gejala-gejala yang dialami bukanlah disebabkan oleh kesan pengambilan dadah atau penyakit fizikal. Untuk itu, selain daripada pengambilan rekod sejarah penyakit dari pesakit dan keluarga, pemeriksaan fizikal, ujian makmal serta adakalanya ujian radiologi perlu dijalankan untuk mendapatkan kepastian.
Berakhirlah perbincangan kita pada hari ini dan diharapkan bahawa segala persoalan dapat dijawab melalui perkongsian kali ini. Untuk mereka yang mengalami masalah ini adalah dinasihatkan untuk bertemu dengan individu yang pakar akan hal ini bagi mengambil langkah awal untuk mencegah penyakit ini daripada berterusan.