Dapatkan segera info rasmi yang lengkap di sistemguruonline.my ⏬️

Penyakit Jantung dan Cara untuk Merawatnya

Penyakit Jantung dan Cara untuk Merawatnya
Penyakit Jantung dan Cara untuk Merawatnya 2

Penyakit Jantung dan Cara untuk Merawatnya merupakan perkongsian kami pada kali ini tentang maklumat berkenaan dengan kesihatan. Dalam bahagian selanjutnya, kami akan menerangkan dengan lebih lanjut tentang penyakit jantung ini agar anda semua dapat memahaminya dengan lebih mendalam.

Jantung atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai heart merupakan organ tubuh badan yang amat penting kepada manusia. Organ berongga ini berfungsi untuk mengepam darah melalui saluran darah dengan denyutan yang sekata dan berulang-ulang. Tanpa kehadiran jantung, manusia tidak akan dapat bernafas dan meneruskan kehidupan.

Kedudukan jantung terletak sebelah kiri sedikit dari tengah dada dan di belakang tulang dada (sternum). Organ ini diselaputi oleh kantung yang dikenali sebagai perikardium dan dikelilingi oleh paru-paru (lungs). Berat purata bagi jantung orang dewasa adalah sekitar 300 sehingga 350gram. Segmen di dalam jantung terdiri daripada empat ruang utama iaitu dua atrium di sebelah atas dan dua ventrikal di bahagian bawah.

Jantung mempunyai dinding-dinding otot yang tebal atau dikenali sebagai septum. Septum ini berfungsi untuk membahagikan atrium dan ventrikel kanan dari atrium dan ventrikel kiri. Dinding otot di dalam jantung ini juga berfungsi untuk memisahkan darah yang beroksigen dan teroksigen dari bercampur antara satu sama lain. Injap antara atrium dan ventrikel hanya membenarkan aliran darah mengalir secara satu hala sahaja iaitu dari atrium ke ventrikel.

Apakah itu Penyakit Jantung?

Penyakit jantung atau penyakit kardiovaskular (CVD) merupakan sejenis penyakit yang berkait rapat dengan kegagalan organ dalaman manusia iaitu jantung dan pembuluh darah. Bidang yang mengkaji tentang jantung dan sakit jantung ini merupakan cabang daripada dunia perubatan iaitu dikenali sebagai kardiologi.

Penyakit jantung bukanlah penyakit yang asing lagi bagi masyarakat dunia. Hal ini demikian kerana, penyakit jantung atau lebih spesifiknya penyakit jantung koronari (coronary heart disease) merupakan penyakit pembunuh nombor satu di dunia dan paling ditakuti oleh manusia. Berdasarkan data terkini yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) pada tahun 2017, jumlah kematian akibat penyakit jantung koronari di Malaysia mencapai 30,598 atau 22.13% daripada jumlah kematian.

Menduduki tempat teratas, penyakit jantung bukan lagi menjadi pembunuh misteri kepada manusia kerana penyakit ini biasanya amat berkait rapat dengan gaya hidup yang tidak sihat seperti pengambilan makanan yang tidak seimbang, tidak bersenam dan lain-lain. Angka statistik yang telah dikeluarkan oleh Pusat Kesihatan Sedunia (WHO) telah menunjukkan angka peningkatan yang membimbangkan.

 Jenis-Jenis Penyakit Jantung

Terdapat beberapa jenis penyakit jantung yang mungkin akan menyerang manusia, antaranya ialah:

  1. Penyakit jantung koronari (coronary heart disease)
    Nama penyakit ini diambil berdasarkan perkataan koronari iaitu bermaksud ‘mahkota’. Hal ini demikian kerana, arteri ini kelihatan seperti mengelilingi jantung yang seperti mahkotanya. Pembuluh darah atau arteri ini berfungsi membekalkan otot-otot jantung dengan oksigen dan zat makanan. Apabila terdapat pengumpulan mendapan ateromatus dalam dinding arteri yang membekalkan miokardium, bekalan oksigen kepada otot jantung akan berkurangan. Pesakit yang menghidap penyakit ini akan merasa sakit dada teruk dan ketidak selesaan yang dikenali sebagai angina.
  2. Penyakit jantung hipertensif (hypertensive heart disease)
    Berciri-cirikan tekanan darah tinggi kepada jantung.
  3. Penyakit kegagalan jantung (heart failure)
    Jantung gagal dalam mengekalkan aliran darah yang betul.
  4. Penyakit kor pulmanale (pulmonary heart disease)
    Melibatkan kegagalan pada bahagian ventrikel kanan jantung.
  5. Penyakit serebrovaskular (cerebrovascular disease)
    Terjadi pada salur darah ke kawasan serebrum atau otak.
  6. Penyakit infarksi miokardium (Myocardial infarction)
    Kematian sel jantung akibat kitaran darah kepada jantung terganggu. Penyakit jantung koronari yang berterusan akan menyebabkan sakit jantung.
  7. Penyakit kegagalan jantung kongestif (congestive heart failure)
    Jantung kehilangan daya untuk mengepam darah.
  8. Penyakit endokarditis, myokarditis dan perikarditis
    Berlaku keradangan jantung.
  9. Penyakit arrhythmia kardiak (cardiac arrhythmia)
    Ketidaktentuan degupan jantung.

Serangan jantung kebiasaannya berlaku apabila aliran darah yang membawa oksigen ke otot jantung terlalu berkurangan atau dihalang sama sekali. Apabila sebahagian daripada otot tidak menerima oksigen yang diperlukan untuk berfungsi, maka otot akan mula menjadi rosak.

Apakah Punca-Punca Serangan Jantung?

Berikut merupakan antara punca serangan jantung yang sering berlaku iaitu:

Penyakit jantung koronari (coronary heart disease)

  • Kebanyakan serangan jantung berlaku kerana pesakit menghidap penyakit jantung jenis koronari.
  • Arteri yang membekalkan darah ke jantung (arteri koronari) mungkin tersumbat dengan banyak lemak, kolesterol atau bahan-bahan lain sehingga menjadi plak.
  • Proses pembentukan biasanya mengambil masa bertahun-tahun lamanya sehinggalah muncul gejala penyakit jantung tersebut.
  • Apabila plak terhimpun di dalam arteri, keadaan ini dipanggil aterosklerosis. Himpunan plak boleh berlaku selama bertahun-tahun.
  • Jika sebahagian daripada plak pecah di dalam arteri, darah beku terbentuk pada permukaan plak. Bergantung pada saiz darah beku, aliran darah di dalam arteri boleh boleh menjadi separa tersumbat atau tersumbat sepenuhnya. Maka seseorang itu akan terkena penyakit jantung.

Spasme arteri koronari

  • Punca serangan jantung yang kurang biasa ialah spasme (kekejangan) arteri koronari yang teruk.
  • Spasme (kekejangan) menghalang aliran darah menerusi arteri. Perkara ini boleh berlaku di dalam arteri koronari yang tidak terjejas dengan aterosklerosis.
  • Spasme arteri koronari mungkin juga berkaitan dengan pengambilan barangan terlarang tertentu seperti kokain, tekanan emosi atau kesakitan, pendedahan kepada keadaan sejuk yang melampau dan merokok.

Apakah Tanda-Tanda dan Simptom Penyakit Jantung?

Kebanyakan penyakit yang menyerang sistem imun tubuh badan manusia akan memberikan tanda-tanda atau simptom kepada seseorang penghidap itu. Begitu juga dengan penyakit jantung, terdapat beberapa tanda atau simptom-simptom yang harus anda waspada sekiranya berlaku kepada diri anda.

Tanda-tanda dan simptom serangan jantung ialah:

  1. Bahagian dada berasa amat tidak selesa. Ketika ini, penyakit jantung yang menyerang akan membuatkan dada terasa sangat ketat, dihimpit atau sakit. Kesakitan yang dirasai ini akan berlarutan selama beberapa minit.
  2. Berasa sakit dan sangat tidak selesa di bahagian atas tubuh.
  3. Berasa nafas akan tercungap-cungap seperti kekurangan bekalan oksigen.
  4. Mula berasa loya, mual dan muntah-muntah.
  5. Kepala berasa berpusing-pusing dan pening.
  6. Badan akan berpeluh sejuk.

Namun begitu, anda semua perlu tahu bahawa bukan semua serangan jantung berlaku secara mendadak atau sakit dada yang teruk seperti yang biasa dilihat di dalam televisyen atau di dalam filem. Simptom-simptom yang dihidap oleh setiap individu adalah berbeza. Hal ini demikian kerana, sesetengah individu akan mula berasa sakit atau tidak selesa, manakala sesetengah orang lagi tidak mengalami sakit dada langsung.

Simptom yang mungkin dialami oleh golongan wanita juga berbeza berbanding dengan golongan lelaki. Wanita lebih mudah untuk mengalami sakit dada tanpa tekanan berbanding dengan lelaki. Selain itu, wanita juga turut lebih mengalami simptom-simptom tertentu seperti tercungap-cungap, lemah, lesu, ketidakhadaman, loya atau muntah dan jantung berdebar-debar, sakit di belakang badan, lengan, leher dan rahang.

Jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami simptom yang menyerupai serangan jantung yang berkemungkinan ini, segeralah dapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor di klinik-klinik atau di hospital yang berdekatan. Mungkin dengan tindakan tersebut anda dapat menyelamatkan nyawa anda sendiri atau nyawa-nyawa orang di sekeliling anda.

Apakah Faktor-Faktor Yang Menyebabkan Risiko untuk Mendapat Penyakit Jantung?

Pelbagai faktor yang boleh memicu kepada risiko mendapat penyakit jantung ini atau lebih spesifiknya merujuk kepada arteri yang tersumbat.

Faktor-faktor yang menyebabkan risiko untuk mendapatkan penyakit jantung ialah:

  • Mempunyai usia yang meningkat (warga tua).
  • Mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap penyakit jantung.
  • Sentiasa menghisap rokok.
  • Mempunyai tahap kolesterol yang tinggi dalam badan.
  • Tekanan darah yang tinggi (hypertension).
  • Tidak melakukan senaman.
  • Tidak mengamalkan diet pemakanan sihat seperti memakan makanan seimbang yang mengandungi pelbagai nutrien dan vitamin.
  • Menghidap penyakit kencing manis (diabetes).
  • Mengalami kegemukan.

Apakah Ujian yang Perlu Dilakukan untuk Mendiagnosis Serangan Jantung?

Sekiranya anda mengalami serangan jantung, segeralah berjumpa dengan doktor untuk di diagnosis. Bagi mengenal pasti serangan jantung ini, doktor akan terlebih dahulu mendiagnosis berdasarkan tanda-tanda dan simptom, sejarah lampau perubatan diri dan keluarga serta hasil ujian anda. Beberapa ujian diagnostik yang boleh dijalankan antaranya ialah:

  1. Elektrokardiogram (EKG)

    Ujian Elektrokardiogram (EKG) ini merupakan ujian yang ringkas dan tidak menyakitkan. Ujian ini dilakukan untuk mengesan dan merekod aktiviti elektrik jantung. Semasa ujian dilakukan, kelajuan jantung berdenyut dan rentaknya (tetap atau tidak tetap) dapat diketahui. Elektrokardiogram ini juga mampu merekod kekuatan dan pemasaan isyarat elektrik melalui setiap bahagian jantung.

  2. Ujian darah

    Selain itu, doktor juga akan menjalankan ujian darah. Ujian ini dilakukan bertujuan untuk mengukur sekiranya terdapat paras protein tertentu yang lebih tinggi dari biasa  dirembeskan ke dalam darah sewaktu serangan jantung terjadi. Ujian ini akan dilakukan secara berulang kali bagi melihat perkembangan paras protein yang dirembeskan sama ada berlaku peningkatan atau berubah secara beransur-ansur.

  3. Angiografi koronari

    Ujian ini menggunakan pewarna dan sinar X khas untuk mencari sumbatan yang berlaku di dalam arteri koronari. Semasa ujian ini dijalankan, doktor akan memasukkan satu tiub khas bersaiz nipis (kateter) ke dalam arteri. Kawasan yang dimasukkan adalah di bahagian kaki atau lipatan peha. Kemudian, pewarna dimasukkan ke dalam darah melalui kateter untuk menunjukkan aliran darah menerusi jantung dan salur darahnya.

  4. Ujian lain 

    Selain daripada 3 ujian diagnostik yang telah dinyatakan diatas, terdapat juga ujian lain yang boleh dijalankan utnuk menilai tahap jantung seperti ujian tekanan, imbasan magnetic resonance imaging (MRI scan) dan imbasan computerized tomography scan (CT scan).

Bagaimana Hendak Merawat Penyakit Jantung

Rawatan yang anda dapatkan mungkin berbeza kerana ia bergantung kepada jenis serangan jantung yang dihidap. Penentu bagi rawatan yang bakal diterima oleh pesakit jantung adalah berdasarkan kepada keadaan seperti:

  • arteri separa tersumbat atau tersumbat sepenuhnya.
  • tahap kerosakan jantung.
  • tempoh kejadian serangan jantung yang telah berlaku.
  • faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi.

Sememangnya terdapat banyak rawatan untuk merawat serangan jantung. Bagi sesetengah kes, doktor akan menggunakan ubat memecahkan pembekuan. Kaedah rawatan angioplasti (PCI – percutaneous coronary intervention) juga boleh digunakan. Kaedah ini menggunakan kateter yang dimasukkan di dalam arteri untuk memulihkan aliran darah ke jantung dan pembedahan lencongan jantung (untuk membuka salur darah yang tersumbat atau sempit).

Bergantung pada tahap kerosakan jantung pesakit, rawatan PCI biasanya mengambil masa beberapa minggu untuk jantung kembali pulih selepas serangan yang dialami. Kerosakan yang disebabkan oleh serangan jantung boleh membawa masalah yang lebih serius seperti kegagalan jantung, masalah injap dan rentak jantung tidak tetap.

Namun begitu, rawatan yang tepat dan mengubah pola gaya hidup dapat mengehadkan atau mencegah kerosakan jantung yang seterusnya.

Tindakan yang Boleh Dilakukan untuk Mencegah Penyakit Jantung

Perubahan pola gaya hidup yang baik hendaklah diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat terutamanya kepada golongan berisiko mendapat penyakit jantung dan pesakit jantung. Oleh itu, tindakan ini boleh dijadikan sebagai panduan untuk mengamalkan gaya hidup sihat iaitu dengan cara:

  1. Menjadi aktif dan bersenam
  2. Mengurangkan kandungan gula dalam darah
  3. Mengawal paras kolestrol dalam badan
  4. Mengendalikan tekanan darah
  5. Sentiasa mengamalkan diet yang sihat dan seimbang
  6. Mengekalkan berat badan yang ideal
  7. Segera berhenti merokok dan mengelakkan pengambilan alkohol

Diharapkan perkongsian kali ini mengenai Penyakit Jantung dan Cara Untuk Merawatnya dapat membantu anda dalam mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan penyakit jantung. Apabila anda mempunyai ilmu asas penyakit jantung, anda akan dapat mencegah atau merawat penyakit ini dengan lebih awal. Kami mendoakan agar anda semua sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan bahagia.

Sir Mohd Afizi
Sir Mohd Afizihttps://www.sistemguruonline.my/
Fulltime Writer at Sistem Guru Online. "There are two days in the year that we can't do anything, yesterday and tomorrow!"

Anda Mungkin Meminati