Dapatkan segera info rasmi yang lengkap di sistemguruonline.my ⏬️

Beg Berat Bakal Selesai? KPM Arah Pemasangan Lokar Fasa 1 di Sekolah Sebagai Inisiatif

pemasangan lokar beg berat di sekolah
Beg Berat

Bila KPM mahu pasang lokar di semua kelas seluruh Malaysia? Pasti itulah antara keluhan ibubapa yang selama ini mendendangkan permasalahan isu beg sekolah berat yang dihadapi oleh anak-anak mereka di sekolah. Alhamdulillah nampaknya projek yang diwar-warkan pada bulan Mac tahun ini akhirnya akan dimulakan dengan kadar segera.

Lokar untuk murid Tahun 1 dan 2 dipasang mulai akhir bulan ini

PUTRAJAYA: Fasa satu pemasangan lokar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), akan dimulakan bermula akhir bulan ini.

Ia adalah antara tujuh inisiatif KPM untuk menangani isu beg berat dalam kalangan murid sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata fasa satu inisiatif itu akan dilaksanakan di sekolah dua sesi, membabitkan murid Tahap Satu.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan menjelang Oktober, perolehan untuk inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan ke sekolah yang disenaraikan dalam fasa satu itu.

“Dalam fasa satu ini, kita pasang lokar untuk murid Tahun Satu dan Dua. Kita akan mula pasang lokar di sekolah pada penghujung bulan ni.

“Jadi Oktober nanti, kita akan cuba ikhtiar supaya semua perolehan tu sampai dan dipasang di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus dengan Editor Kanan Media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Mac lalu, Radzi menyenaraikan tujuh inisiatif meringankan beg sekolah iaitu penyediaan lokar, penyusunan semula jadual waktu sehingga empat mata pelajaran sehari dan buku latihan tidak lebih dua buah serta buku teks digital.

KPM turut menggalakkan penggunaan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bertema atau modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (Virtual Lab) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buku teks dan penggunaan uniform sekolah kebangsaan dibenarkan bagi sesi persekolahan kelas agama fardu ain (KAFA).

Terdahulu ketika menyampaikan taklimat, Radzi memaklumkan, kebanyakan majlis agama Islam negeri bersetuju untuk pakaian seragam sekolah kebangsaan digunakan bagi kelas KAFA.

“Murid-murid tidak perlu lagi bawa uniform sekolah KAFA,” katanya.

Pemasangan lokar sekolah mula akhir September

PUTRAJAYA: Proses pemasangan lokar di sekolah-sekolah rendah terlibat seluruh negara dijangka dimulakan pada akhir bulan ini dengan fasa pertama akan ditumpukan kepada sekolah yang mempunyai dua sesi.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, fasa pertama pemasangan lokar tersebut akan dimulakan hujung bulan ini dengan melibatkan pelajar Tahun 1 dan 2 terlebih dahulu.

“Fasa satu akan dilaksanakan di sekolah yang mempunyai dua sesi melibatkan Tahap Satu dahulu. Untuk tahap itu, ia dimulakan dengan pelajar Tahun 1 dan 2.

“Pemasangan lokar terbabit bakal dimulakan pada penghujung bulan ini. Jadi, menjelang Oktober, kita cuba ikhtiarkan supaya semua perolehan itu sampai dan dipasang semuanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Libat Urus Bersama Editor Kanan di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan untuk menyediakan lokar di 10,662 kelas di sekolah rendah terlibat dalam usaha menangani isu beg berat dihadapi murid.

Pelaksanaannya bakal melibatkan seramai 323,186 murid dengan peruntukan bagi Fasa 1 dijadualkan bermula 2022 dianggarkan berjumlah RM37.3 juta.

Fasa 2 penyediaan lokar pula akan diperluas kepada murid Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi serta dijangka dilaksanakan pada 2023.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah sekolah terlibat dengan pemasangan lokar itu, Dr. Radzi memaklumkan, perkata tersebut akan diumumkan kelak.

“Sekolah masuk kategori itu akan terima lokar dahulu, kita akan maklumkan kalau sudah tahu di mana (sekolah terlibat),” jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai pemakaian seragam sekolah kebangsaan ke Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Dr. Radzi memberitahu, perkara itu telah dipersetujui rata-rata majlis agama negeri.

“Murid-murid tidak perlu lagi bawa uniform sekolah KAFA,” katanya ringkas.

Kebenaran murid memakai pakaian uniform sekolah kebangsaan ke kelas KAFA itu merupakan antara inisiatif diperincikan KPM bagi mengurangkan beban murid ketika ke sekolah. – UTUSAN

Beg Berat
Beg Berat

Sejauh Mana Pemasangan Lokar di Dalam Bilik Darjah Mampu Mengatasi Masalah Beg Berat?

Kita disini bukan untuk menunding jari mengenai beg berat, apa lagi untuk mencari siapa yang hebat dan siapa yang salah. Apa yang diketengahkan adalah untuk kepentingan anak-anak kita sahaja. Inisiatif pemasangan lokar ini dilihat adalah salah satu langkah drastik oleh pihak KPM bagi menyelesaikan masalah ini.

Selain pemasangan lokar, pihak KPM turut memberikan beberapa lagi inisiatif lain bagi memastikan isu beg berat murid tidak berat. Ini termasuklah menghadkan bilangan buku ikut subjek, bilangan muka surat buku latihan, jadual kelas, dan sebagainya.

Oleh itu, pemasangan lokar ini sebenarnya bukanlah salah satu penyelesaian utama tetapi ianya menjadi pemangkin yang akan membantu menyelesaikan masalah kita. Semoga dengan ini masalah beg berat akan dapat diatas dengan kadar segera. Amin.

Sir Mohd Afizi
Sir Mohd Afizihttp://www.sistemguruonline.my/
Fulltime Writer at Sistem Guru Online. "There are two days in the year that we can't do anything, yesterday and tomorrow!"

Anda Mungkin Meminati