Dapatkan segera info rasmi yang lengkap di sistemguruonline.my ⏬️

Memahami Penyakit Kencing Manis dan Lebih 3 Cara-Cara untuk Merawatnya

Memahami Penyakit Kencing Manis dan Cara Cara untuk Merawatnya min

Memahami Penyakit Kencing Manis dan Cara-Cara untuk Merawatnya merupakan perkongsian daripada kami tentang masalah kesihatan yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, kami akan menerangkan serba sedikit mengenai penyakit kronik ini.

mathilde langevin 1LTavBlGBbc unsplash

Penyakit kencing manis atau lebih dikenali sebagai Diabetes mellitus dalam bahasa Inggeris merupakan sejenis penyakit yang menyerang manusia akibat daripada berlakunya keadaan hiperglisemia (hyperglycemia). Hiperglisemia (hyperglycemia) berlaku disebabkan oleh kenaikan paras kandungan gula dalam darah terutamanya apabila penghidap penyakit ini telah mengambil pengambilan makanan.

Diabetes merupakan sejenis penyakit kencing manis jangka masa panjang yang disebabkan oleh ketidakmampuan badan seseorang dalam menghasilkan bilangan insulin yang mencukupi atau tidak dapat menggunakan fungsi insulin itu dengan betul. Insulin ialah hormon yang mengawal paras gula dalam darah dengan membenarkan gula untuk masuk ke dalam sel-sel dan seterusnya paras gula dalam darah dapat diturunkan.

Berdasarkan statistik pada tahun 2014, dianggarkan seramai 9% orang dewasa di dunia telah menghidap penyakit kencing manis dan sebanyak 1.7 juta kematian dicatatkan pada tahun 2012. Manakala statistik di Malaysia pula menunjukkan seramai 17.5% orang dewasa menghidap penyakit ini. Angka yang dikeluarkan ini sememangnya agak menakutkan kerana jumlahnya agak besar.

Jenis-Jenis Diabetes

Penyakit kencing manis ini mempunyai beberapa kategori atau jenis-jenisnya yang tersendiri. Antaranya ialah:

1. Diabetes Jenis 1 (Type 1 Diabetes)

boy 317041 640

Diabetes jenis 1 dikenali sebagai diabetes bersandar insulin atau dalam bahasa Inggeris ialah Insulin Dependent Diabetes Mellitus (IDDM). Penyakit jenis ini turut mempunyai nama yang lain iaitu diabetes awal remaja.

Penyakit diabetes jenis 1 berlaku disebabkan oleh kegagalan penghasilan insulin oleh kelenjar pankreas. Bagi penghidap penyakit kencing manis tahap 1, mereka akan mula mendapat simptom penyakit seawal usia mereka masih kanak-kanak atau remaja lagi. Disebabkan oleh masalah kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh organ tubuh badan, penghidap perlulah mendapatkan suntikan insulin dari luar untuk mengawal tahap glukosa darah agar ia tetap kembali normal. Kebiasaannya pesakit yang menghidap penyakit diabetes jenis 1 akan memerlukan suntikan insulin sepanjang hayat. penyakit kencing manis jenis ini juga tidak dapat dicegah.

2. Diabetes Jenis 2 (Type 2 Diabetes)

allgo an app for plus size people nK1aIl6k2ug unsplash

Penyakit diabetes jenis 2 pula berlaku disebabkan oleh kerintangan insulin dalam badan. Perkara ini berlaku apabila terdapat penurunan sensitiviti tisu badan terhadap hormon insulin atau penghasilan insulin itu sendiri berkurangan. Kadang kala kedua-dua perkara tersebut boleh berlaku dalam masa yang serentak.

Meskipun begitu, diabetes jenis 2 ini masih boleh dikawal dengan cara memantau pengambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam dan mengambil ubat-ubatan secara makan atau suapan kerana diabetes jenis ini masih lagi menghasilkan sedikit insulin dari organ pankreas. Sekiranya pengambilan ubat secara makan kurang berkesan atau memberikan kesan sampingan serius kepada pesakit, suntikan insulin adalah diperlukan bagi menyelesaikan masalah penyakit jenis ini.

Diabetes jenis 2 lebih banyak dijumpai berbanding dengan diabetes jenis 1. Hal ini demikian kerana, di seluruh dunia terdapat 90% pesakit diabetes menghidap diabetes jenis 2. Antara penyumbang utama risiko jenis penyakit kencing manis ini terjadi adalah disebabkan oleh berat badan yang berlebihan (overweight), obesiti dan tidak melakukan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.

3. Diabetes Gestasi (Gestational diabetes – GDM)

anastasiia chepinska B7JVo5y3gL8 unsplash

Penyakit diabetes gestasi (gestational diabetes) atau singkatannya GDM ialah penyakit yang hanya dialami oleh wanita ketika proses kehamilan. Diabetes gestasi yang berlaku ini mirip seperti diabetes jenis 2 tetapi disebabkan kehamilan. Hal ini demikian kerana, kadar insulin yang diperlukan oleh wanita hamil adalah lebih diperlukan untuk keperluan bayi yang dikandungnya.

Jika badan wanita hamil tidak mampu menghasilkan insulin tambahan untuk keperluan anak dalam kandungan, maka ibu mengandung itu akan mengalami paras gula dalam darah yang tinggi. Perkara ini biasanya berlaku dalam waktu kandungan trisemester kedua iaitu sekitar minggu ke-14 sehingga minggu ke-26 kandungan. Jika penyakit kencing manis berlaku kepada wanita hamil, mereka akan mendapat risiko kerumitan semasa waktu kehamilan dan bersalin. Selain itu, mereka juga berpotensi untuk mendapat diabetes jenis 2 pada masa hadapan.

Faktor-Faktor dan Risiko yang Menyumbang kepada Penyakit Diabetes

diabetes 528678 640

Terdapat pelbagai faktor dan risiko yang mampu menyumbang kepada penyakit diabetes ini dan boleh dipecahkan mengikut 3 jenis diabetes yang ada iaitu:

Faktor-faktor dan risiko untuk diabetes jenis 1

  • Sejarah Keluarga

Risiko akan bertambah sekiranya terdapat salah seorang ibu bapa atau adik-beradik yang mempunyai diabetes jenis 1.

  • Jangkitan atau penyakit yang menjejaskan fungsi organ pankreas

Penyakit-penyakit virus seperti Hepatitis B dan penyakit-penyakit pankreas (menyebabkan badan mengandungi sel-sel yang merosakkan sistem kekebalan tubuh iaitu autoantibody yang menyebabkan keradangan dan seterusnya membuat pankreas tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup).

Faktor-faktor dan risiko untuk diabetes jenis 2

  • Terdapat Kerintangan insulin

Sel-sel badan mula mendapat kerintangan terhadap insulin. Organ pankreas terpaksa bekerja keras untuk menghasilkan bilangan insulin yang mencukupi bagi memenuhi keperluan tubuh badan.

  • Mempunyai berat badan berlebihan (overweight) atau obesiti

Badan yang mengandungi banyak lemak seperti lemak viseral, lemak abdomen dan lemak periferi boleh menyebabkan sel-sel di dalam badan mendapat rintangan terhadap insulin.

  • Memiliki kolesterol tinggi

Paras rendah kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (baik) dan paras tinggi kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (buruk) dikatakan dapat meningkatkan risiko mendapat penyakit kencing manis ini.

  • Mempunyai tekanan darah tinggi

Tekanan darah yang tinggi iaitu 140/90 mmHg dikaitkan juga dengan peningkatan risiko untuk mendapat penyakit kencing manis.

  • Sejarah keluarga

Risiko akan menjadi lebih tinggi sekiranya mempunyai salah seorang ibu bapa atau adik beradik yang menghidap penyakit kencing manis jenis 2.

  • Kurang melakukan aktiviti fizikal

Kurang aktiviti fizikal dan gaya hidup yang tidak sihat seperti banyak duduk dapat meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit kencing manis jenis 2. Oleh itu, aktiviti fizikal mestilah dilakukan kerana aktiviti sedemikian mampu membantu mengawal berat badan, menukar glukosa kepada tenaga dan membantu sel-sel dalam badan untuk peka kepada insulin.

  • Mempunyai umur yang bertambah

Risiko untuk menghidap penyakit kencing manis jenis 2 akan bertambah sekiranya umur melebihi 45 tahun.

  • Sindrom ovari polisistik

Wanita menghidap penyakit sindrom ovari polisistik (kes jarang dijumpai) bercirikan kitaran haid tidak menentu dan pertumbuhan rambut yang berlebihan mempunyai risiko tinggi untuk mendapat penyakit diabetes jenis ini.

Faktor-faktor dan risiko untuk diabetes gestasi

  • Sejarah keluarga atau diri sendiri

Risiko bertambah jika salah seorang ibu bapa atau adik beradik mempunyai penyakit diabetes jenis 1 atau 2. Selain itu, Risiko untuk mendapat penyakit diabetes gestasi juga akan bertambah jika sebelum ini pernah mengalami diabetes gestasi semasa hamil dahulu.

  • Peningkatan umur

Wanita hamil yang berumur 25 tahun ke atas adalah berisiko tinggi untuk mendapat diabetes.

  • Memiliki berat badan berlebihan (overweight) atau obesiti

Risiko akan bertambah jika pernah obesiti atau berat badan berlebihan sebelum hamil.

Tanda-Tanda dan Gejala Diabetes

Setiap penyakit yang menyerang manusia pasti akan menunjukkan tanda-tanda atau gejalanya. Begitu juga dengan penyakit kencing manis ini. Antara tanda-tanda klasik diabetes yang tidak dapat dirawat ialah:

  • Penurunan berat badan.
  • Polyuria (kerap buang air kecil).
  • Polydipsia (peningkatan dahaga).
  • Polyphagia (peningkatan kelaparan).

Gejala-gejala seperti ini boleh berkembang dengan cepat iaitu boleh berlaku dalam tempoh beberapa minggu atau bulan bagi penyakit kencing manis jenis 1. Manakala bagi penyakit diabetes jenis 2, gejala-gejala yang muncul adalah lebih perlahan, mungkin tidak ketara atau tidak hadir sebarang gejala langsung.

Beberapa tanda-tanda dan gejala lain juga boleh menjadi indikator bermulanya penyakit kencing manis ini menyerang. Antara gejala lain yang dimaksudkan termasuklah berlakunya:

  1. penglihatan menjadi kabur (akibat kenaikan paras gula yang tinggi dan berlaku penyerapan glukosa ke dalam kanta mata yang membawa kepada perubahan bentuknya).
  2. sakit kepala.
  3. keletihan / berasa lesu.
  4. mulut berasa kering.
  5. berasa loya dan muntah.
  6. luka atau kudis menjadi lambat sembuh.
  7. kulit mengalami kegatalan.
  8. terdapat jangkitan yis (di antara jejari dan jari kaki, di bawah payudara, dalam atau di sekeliling alat reproduktif).
  9. berasa sakit atau kebas di kawasan kaki dan betis.
  10. ruam pada kulit (terjadi dalam penyakit kencing manis secara kolektif atau lebih dikenali sebagai kencing manis dermadrom).

Cara Membuat Pemeriksaan untuk Penyakit Kencing Manis Jenis 1 dan Jenis 2

national cancer institute DK 4VWK1tw unsplash

Jika anda mengalami gejala-gejala seperti yang telah dinyatakan di atas, segeralah berjumpa dengan doktor atau pakar perubatan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan. Namun sekiranya anda tidak mempunyai sebarang tanda-tanda atau simptom tersebut, anda masih disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan jika mempunyai risiko seperti:

  1. Mempunyai berat badan berlebihan (overweight)
  2. Obesiti
  3. Mempunyai ahli keluarga yang menghidap diabetes seperti ibu, ayah, kakak, abang
  4. Sejarah penyakit kardiovaskular
  5. Menghidap penyakit tekanan darah tinggi
  6. Pernah mengalami diabetes gestasi semasa hamil
  7. Mengambil ubat-ubat tertentu
  8. Tidak aktif dan tidak melakukan aktiviti fizikal secara kerap

Sekiranya perkara-perkara diatas tidak melibatkan diri anda, anda masih perlu menjalani pemeriksaan diabetes setiap tahun untuk mengetahui tahap kesihatan diri terutamanya apabila anda sudah berumur 30 tahun ke atas.

Ujian yang Boleh Dilakukan Untuk Memeriksa Penyakit Kencing Manis

  • Ujian Darah 

Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk memeriksa penyakit kencing manis ialah melalui ujian darah. Ujian darah atau dikenali sebagai ujian HbA1c merupakan ujian yang bertujuan untuk menunjukkan bilangan purata paras gula dalam darah bagi jangka masa 3 bulan sebelumnya. Meskipun begitu, ujian ini mempunyai kelemahannya kerana pada keadaan tertentu ia tidak sesuai dijalankan apabila seseorang itu sedang hamil, berumur kurang dari 18 tahun, mengambil tambahan zat besi atau mempunyai hemoglobin (protein dalam sel darah merah) yang tidak biasa dijumpai.

  • Ujian Tolerans Glukosa Oral

Ujian tolerans glukosa oral atau dalam bahasa Inggeris ialah oral glucose tolerance test (OGTTOGTT) ini memerlukan pesakit untuk berpuasa terlebih dahulu sepanjang malam. Setelah mereka berpuasa, paras glukosa dalam darah akan diuji. Selepas itu, mereka akan diminta untuk minum minuman bergula dan seterusnya paras gula dalam darah akan diuji semula selepas tempoh 2 jam.

  • Ujian Darah Rawak/ Ujian Gula Darah

Bagi membantu membuat diagnosis penyakit kencing manis atau pradiabetes, ujian gula darah rawak dan ujian gula darah puasa juga boleh dilakukan. Ujian gula darah rawak dilakukan pada masa yang rawak manakala ujian gula darah puasa pula dilakukan dengan mengambil sampel darah pesakit setelah mereka berpuasa untuk satu malam. Setelah ujian ini mengeluarkan hasil, air kencing pesakit yang disyaki menghidap diabetes jenis 1 akan diuji untuk kesan keton. Keton adalah sejenis bahan kimia yang terhasil apabila terdapat kekurangan paras insulin dalam darah, otot dan tisu lemak yang digunakan sebagai sumber tenaga dalam badan.

Sekiranya anda menghidap penyakit kencing manis atau diabetes, anda perlulah mengetahui cara-cara bagaimana untuk merawat dan menangani penyakit kronik ini. Hal ini demikian kerana, jika dibiarkan berlarutan kadar gula dalam darah akan terus meningkat dan boleh membahayakan kesihatan.

Penghidap diabetes yang tidak dirawat akan lebih berpotensi sebanyak 5 kali ganda untuk mendapat penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok berbanding dengan seseorang yang tidak mempunyai penyakit diabetes. Bukan itu sahaja, diabetes juga mampu menyebabkan kehilangan penglihatan, kerosakan saraf, kegagalan buah pinggang malah lebih teruk lagi boleh mengakibatkan anggota bahagian bawah badan dipotong.

Berikut merupakan cara-cara untuk merawat penyakit diabetes. Cara merawat yang di senaraikan di bawah ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu dari segi perubahan gaya hidup dan dari segi ubat-ubatan:

Perubahan Gaya Hidup

  • Mengubah tabiat diet

Mendisiplinkan diri dengan mengubah tabiat diet boleh dilakukan sekiranya anda berisiko atau menghidap penyakit diabetes jenis 2. Perkara ini dapat dilakukan dengan cara memakan makanan yang mengandungi banyak kandungan serat dan mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi lemak tepu.

Antara makanan mengandungi indeks glisemik (glycaemic index – GI) yang rendah ialah seperti beras perang, beras basmathi, muesli dan roti bijian sempurna. Anda perlulah mengelakkan untuk memakan makanan yang tinggi nilai indeks glisemik (GI) iaitu beras putih, beras pulut, roti putih dan kepingan jagung bagi menurunkan tahap glukosa dalam darah selepas makan.

  • Melakukan aktiviti fizikal

Bagi anda yang berisiko atau menghidap penyakit kencing manis, anda disarankan untuk melakukan senaman sekurang-kurangnya sebanyak 5 kali dalam seminggu. Bukan itu sahaja, anda juga hendaklah sentiasa kekal aktif seperti menggunakan tangga berbanding lif jika ingin ke lantai atas dan melakukan aktiviti mengemas rumah. Dengan cara sebegini, penyakit diabetes dapat diuruskan dan dicegah dengan baik.

Melakukan aktiviti yang mempunyai keamatan sederhana seperti berbasikal iaitu minimum sebanyak 150 minit per minggu juga adalah baik. Jika anda mampu, anda boleh juga melakukan aktiviti yang bertahap keamatan tinggi seperti berjoging dan berenang. Aktiviti berkeamatan tinggi disarankan untuk dilakukan selama 90 minit per minggu untuk mendapatkan kesan positif.

  • Mengawal berat badan 

Pengawalan berat badan juga penting bagi mengurangkan risiko diabetes. Sekiranya anda tergolong dalam kategori berat badan berlebihan, anda perlulah mempunyai sasaran untuk menurunkan berat badan sebanyak 5% – 10% dalam masa setengah tahun. Bagi orang Asia, indeks jisim badan (BMI) hendaklah dalam lingkungan 18.5 ke 23. Lilitan pinggang yang baik adalah sekitar bawah 90cm untuk lelaki dan bawah 80cm untuk wanita.

Jika anda sedang hamil, anda hendaklah memastikan bahawa BMI berada di bawah nilai 27 bagi mengelakkan risiko mendapat diabetes gestasi.

Ubat-Ubatan

  • Suntikan Insulin

Insulin biasanya digunakan untuk membantu merawat pesakit diabetes jenis 2 atau diabetes gestasi kerana badan mereka memerlukan sumber insulin luaran akibat daripada kegagalan pankreas dalam menghasilkan hormon insulin. Insulin luaran yang diberikan ini perlu disuntik dengan menggunakan jarum atau picagari atau pen insulin untuk dimasukkan ke dalam darah. Kaedah ini digunakan kerana ia akan dicerna di dalam perut dan tidak akan berkesan apabila diambil secara oral. Insulin juga boleh diberikan melalui pam. Jenis-jenis insulin yang digunakan adalah berbeza dari segi kecepatannya dalam berfungsi. Pihak perubatan atau doktor akan menentukan insulin yang bersesuaian dengan melihat terlebih dahulu tahap kesihatan dan gaya hidup anda.

  • Metformin 

Ini merupakan ubat pertama yang akan digunakan untuk merawat penyakit diabetes jenis 2. Ubat ni berfungsi untuk menurunkan bilangan glukosa yang dibuat oleh hati dan menyebabkan otot lebih peka kepada insulin. Metformin biasanya tidak akan menyebabkan hipoglisemia (glukosa darah yang terlalu rendah) kerana ia tidak merangsangkan pembuatan insulin.

Namun begitu, kesan sampingan yang biasa berlaku apabila mengambil metformin termasuklah loya dan cirit-birit. Kesan sampingan ubat ini dapat dielakkan dengan memakan ubat dan seterusnya melakukan pengambilan makanan. Anda akan diberikan metformin sekiranya berat badan anda berlebihan kerana ia boleh memberi kestabilan berat badan atau menurunkan berat badan dengan sedikit.

  • Sulphonylurea

Ubat sulphonylurea berfungsi meningkatkan pembuatan insulin di dalam badan dengan merangsang organ pankreas. Ubat ini biasanya diambil 30 minit sebelum makan. Tambahan berat badan dan hipoglisemia adalah salah satu kesan sampingannya. Simptom-simptom hipoglisemia adalah menggigil, berpeluh dan penglihatan akan menjadi kabur. Namun, gejala hipoglisemia yang disebabkan oleh sulphonylurea jarang sekali berlaku dan boleh dicegah dengan mengambil makanan pada waktu yang biasa, tidak lupa makan dan tidak meminum arak dengan kadar berlebihan. Jika anda mengalami hipoglisemia, minumlah minuman yang bergula atau memakan gula (berpada-pada) dan mengambil hidangan snek berkanji seperti roti.

Selain daripada ubat-ubatan yang dinyatakan di atas untuk merawat penyakit diabetes, terdapat banyak lagi ubat-ubatan lain yang boleh digunakan seperti ubat penyekat dipeptidyl peptidase-4 (DPP-4), ubat agonis reseptor GLP-1, ubat meglitinides, ubat penyekat alpha-glukosidasa, ubat thiazolidinediones dan ubat penyekat co-pengangkut sodium glukosa 2 (sodium-glucose co-transporter 2 – SGLT-2). Semua ubat ini digunakan bertujuan untuk membantu memulihkan penyakit diabetes.

Kesimpulan

Akhir kata, diharapkan perkongsian mengenai Memahami Penyakit Kencing Manis dan Cara-Cara untuk Merawatnya ini dapat memberikan kesedaran kepada anda tentang betapa bahayanya penyakit ini.

Penyakit kencing manis atau penyakit diabetes ini bukanlah suatu penyakit yang harus dipandang remeh oleh masyarakat. Hal ini demikian kerana, penyakit diabetes mampu memicu penyakit-penyakit berbahaya yang lain jika tidak diubati terlebih dahulu seperti penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Oleh itu, anda haruslah sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat. Bagi yang menghidap penyakit diabetes ini, kami mendoakan agar anda akan sembuh suatu hari nanti.

Sir Mohd Afizi
Sir Mohd Afizihttp://www.sistemguruonline.my/
Fulltime Writer at Sistem Guru Online. "There are two days in the year that we can't do anything, yesterday and tomorrow!"

Anda Mungkin Meminati