Dapatkan segera info rasmi yang lengkap di sistemguruonline.my ⏬️

Ibadah Puasa dan Keistimewaan Bulan Ramadan

Ibadah Puasa

Ibadah puasa adalah merupakan perkongsian kami pada kali ini tentang ilmu keagamaan atau lebih spesifiknya ialah agama Islam.

Perkataan puasa dalam bahasa arab iaitu (صوم) bermaksud meninggalkan. Dari segi bahasa, puasa ialah suatu perbuatan yang menahan diri daripada melakukan sesuatu. Manakala dari segi istilah, ia merujuk kepada perlakuan yang dilakukan untuk menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa bermula dari terbit fajar sidik sehingga terbenam matahari (hendaklah dimulakan dengan niat terlebih dahulu).

Bukan itu sahaja, umat Islam yang berpuasa juga hendaklah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan tidak berfaedah seperti menipu, mengeluarkan kata-kata kesat atau sia-sia, bertengkar dan sering bergaduh. Hal ini demikian kerana, ibadah puasa merupakan suatu latihan untuk memupuk tahap kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur dalam diri. Sekiranya perkara-perkara ini dapat dicapai, amalan ibadah puasa akan dapat membantu menyuburkan sikap murni dalam diri umat Islam.

Ibadah Puasa dan Keistimewaan Bulan Ramadan

Berdasarkan terjemahan secara harfiah, perkataan Ramadan (رمضان) bermaksud panas terik. Manakala dalam agama Islam, Ramadan ini dirujuk sebagai bulan ke-9 dalam kalendar Islam dan dianggap suci bagi semua umat Islam. Hal ini demikian kerana pada bulan Ramadan, umat Islam akan berpeluang untuk menambah pelbagai ibadah dan memperbanyakkan amalan kepada Allah S.W.T seperti melakukan ibadah Solat Tarawih dan membayar Zakat Fitrah. Seperti bulan-bulan yang terdapat dalam kalendar Islam, bulan Ramadan mempunyai jumlah hari sebanyak 29 atau 30 hari.

Dalil Wajib Ibadah Puasa di Bulan Ramadan

ibadah puasa
Kitab Al-Quran

Terdapat beberapa dalil yang mewajibkan orang Islam untuk ibadah puasa di bulan Ramadan. Antaranya ialah melalui:

  • Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.”
– (Surah Al-Baqarah: 183)

  • Rasulullah S.A.W juga telah menegaskan dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i dan Al Baihaqi daripada Abu Hurairah, yang bermaksud:

” Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu, dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…….”

Berdasarkan dalil yang telah dinyatakan di atas, kita sebagai seorang umat Islam yang beriman kepada Allah dan Rasul hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan taat ibadah puasa di bulan Ramadan dan menuruti segala perintahNya agar sentiasa memperoleh keberkatan dalam hidup.

Rukun-Rukun Ibadah Puasa

masjid pogung dalangan GClYQv8I3So unsplash

Ibadah puasa mempunyai rukun-rukunnya yang perlu dipatuhi oleh semua umat Islam. Hal ini demikian kerana, rukun puasa berfungsi untuk membantu umat Islam agar tidak tersasar daripada perkara yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Berikut adalah 3 rukun ibadah puasa iaitu:

Orang yang Berpuasa

  1. Seseorang yang berpuasa itu mestilah seorang muslim, akil baligh, berakal waras, berkeupayaan dan bersih daripada haid dan nifas.
  2. Ibadah puasa adalah tidak sah bagi orang kafir kerana ibadah puasa merupakan suatu ibadah dan orang kafir tidak tergolong dalam ahli ibadah.
  3. Ibadah Puasa tidak wajib dikenakan ke atas kanak-kanak yang belum akil baligh tetapi mereka hendaklah dididik untuk berpuasa sejak dari kecil lagi.
  4. Ibadah Puasa juga tidak diwajibkan kepada golongan yang terlalu tua atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Perkara ini diberikan keringanan oleh agama Islam adalah bertujuan untuk mengelakkan kemudaratan kepada umatnya yang sedang sakit. Namun begitu, mereka diwajibkan untuk menggantikan dengan secupak makanan bagi setiap hari ibadah puasa yang telah mereka ditinggalkan.
  5. Bagi golongan wanita yang datang haid atau nifas maka hukumnya adalah tidak sah ibadah puasa mereka pada hari datangnya haid dan nifas. Jika haid dan nifas itu berlaku pada siang hari, maka terbatal puasanya pada hari tersebut. Sekiranya bersih daripada haid pada malam hari, wajib ke atasnya untuk berpuasa pada keesokan harinya meskipun belum sempat melakukan mandi wajib. Golongan wanita ini hendaklah menggantikan ibadah puasa tersebut mengikut bilangan hari yang telah mereka tinggalkan selepas bulan Ramadan.
  6. Orang yang bermusafir diharuskan untuk berbuka ibadah puasa sekiranya khuatir akan memudaratkan kesihatan diri. Namun begitu, musafir tersebut wajib menggantikan ibadah puasa yang telah ditinggalkan selepas bulan Ramadan. Sekiranya tidak mendatangkan sebarang mudarat, maka adalah lebih afdal untuk musafir tersebut terus berpuasa.
  7. Hukumnya harus untuk berbuka ibadah puasa bagi golongan yang sedang sakit, mengandung dan menyusukan anak sekiranya mereka bimbang akan mendatangkan kemudaratan kepada diri atau anaknya. Bagi golongan ini, mereka wajib menggantikannya semula selepas bulan Ramadan. Untuk golongan yang mempunyai sakit biasa, mereka tidak boleh meninggalkan ibadah puasa.

Niat

  1. Puasa ramadan tidak akan sah tanpa niat.
  2. Niat perlu dilakukan di dalam hati dan bukannya dengan lisan di mana tidak disyaratkan ‘Talaffuz‘ (menyebut niat dengan lisan).
  3. Ketika sedang berniat puasa, adalah diwajibkan untuk menentukan jenis puasa seperti Ramadan bagi ibadah berpuasa di bulan Ramadan.
  4. Bagi puasa-puasa yang wajib, niat hendaklah dibuat pada malam hari iaitu selepas terbenam matahari hingga sebelum subuh. Dalam pendapat sahih Mazhab Shafie, adalah tidak sah niat yang serentak dengan ketibaan waktu fajar. Namun bagi puasa sunat, dibolehkan berniat pada waktu siang selagi sebelum tergelincir matahari (masuk waktu zuhur).
  5. Niat untuk berpuasa hendaklah dilakukan pada setiap malam untuk setiap hari puasa yang dilakukan. Pendapat ini adalah berdasarkan daripada pendapat Imam Syafie, Abu Hanifah dan paling sahih dari Imam Ahmad. Mengikut pendapat Imam Malik dan riwayat dari Imam Ahmad pula, hanya cukup sekali sehaja niat untuk satu bulan Ramadan dan hendaklah niat itu dilakukan pada malam pertama ramadan.

Meninggalkan Perkara-Perkara yang Boleh Membatalkan Puasa

  1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja sama ada benda yang boleh dimakan ataupun tidak boleh dimakan temasuklah rokok. Ijmak Ulama telah memfatwakan bahawa puasa akan terbatal apabila seseorang itu makan dan minum. Suntikan melalui kemaluan atau dubur juga adalah membatalkan puasa. Manakala bagi suntikan melalui kulit, ulama dalam Mazhab Syafie mempunyai percanggahan pendapat. Menurut pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi, ia tidak membatalkan puasa. Namun begitu, perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan seperti habuk jalan dan air liur adalah tidak membatalkan puasa. Puasa akan terbatal apabila seseorang itu menelan kahak yang keluar dari kepala atau dada dengan sengaja. Batal puasa juga boleh terjadi apabila memasukkan jari atau sebagainya ke dalam dubur atau faraj. Ibadah ini turut terbatal apabila memasukkan sesuatu ke dalam telinga secara sengaja. Jika kesemua perkara tadi dilakukan secara tidak sengaja, tersilap atau terlupa maka ia tidak akan membatalkan puasa.
  2. Muntah dengan sengaja (kerana memasukkan jari ke dalam mulut) adalah membatalkan puasa dan wajib diganti. Bagi muntah yang tidak sengaja atau menjadi kebiasaannya muntah maka itu tidak akan membatalkan puasa.
  3. Keluar darah haid dan nifas walaupun di penghujung waktu puasa juga dikira sebagai membatalkan puasa dan wajib diganti.
  4. Keluar mani dengan sengaja kerana bercumbuan atau memeluk isteri atau menggunakan tangan turut membatalkan puasa dan wajib diganti puasanya. Namun begitu, jika air mani keluar kerana mimpi atau berangan-angan tidak membatalkan puasa. Keluar air mazi juga tidak membatalkan puasa seseorang.
  5. Haram berjimak (bersetubuh) bagi orang yang berpuasa pada siang hari dan hukumnya membatalkan puasa tidak kira sama ada perlakuan tersebut dilakukan di faraj atau dubur, keluar air mani ataupun tidak. Liwat yang dilakukan pada lelaki, kanak-kanak atau binatang juga adalah membatalkan puasa. Suami dan isteri yang melakukan perbuatan jimak adalah wajib ke atas kedua-duanya menggantikan semula puasa mereka yang terbatal. Kaffarah (denda) hanya wajib ke atas lelaki (suami) dan tidak wajib ke atas perempuan. Kadar kaffarah ialah membebaskan seseorang hamba. Bagi yang tidak mempunyai hamba, maka ia hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sekiranya tidak mampu, lelaki tersebut hendaklah memberikan makanan kepada 60 orang fakir miskin.
  6. Ulama bersepakat bahawa sesiapa yang murtad maka terbatal puasanya dan wajib qada’ hari yang dia murtad, sekiranya dia kembali memeluk Islam.
  7. Seseorang yang gila atau pengsan sepanjang hari dan dia tidak sedar walaupun satu saat maka batal puasanya.
  8. Sesiapa yang menukarkan niat atau berniat buruk untuk berbuka puasa maka batal puasanya. Pendapat ini dipegang oleh Imam Syafie, Abu Thaur, Abu Hanifah dan pendapat yang paling jelas dalam Mazhab Hanbali.

Niat Puasa Ramadan

rachid oucharia 5KiYzyuqV8 unsplash

Hukum niat berpuasa dengan menggunakan bahasa Arab adalah tidak wajib dan tidak sunat. Apa-apa bahasa juga boleh digunakan asalkan boleh difahami. Sungguhpun begitu, adalah lebih baik jika kita mengamalkan niat berpuasa dalam bahasa Arab untuk menunjukkan rasa cinta kepada bahasa Nabi Muhammad S.A.W. dan kitab Al-Quran yang agung. Berikut merupakan lafaz niat untuk berpuasa (lafazkan setiap waktu malam) di bulan ramadan:

Niat secara ringkas

نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Niat: Sahaja aku berpuasa Ramadan kerana Allah Taala. atau;

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Niat: Sahaja aku berpuasa esok kerana Allah Taala.

Lafaz Niat yang Lengkap

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Tranliterasi: Nawaitu Sauma Ghadin An Ada-i Fardi Ramadana Hazihis Sanati Lillahi Taala

Niat: Sahaja aku berpuasa esok hari bagi menunaikan puasa Ramadan tahun ini kerana Allah Taala.

Waktu Berniat Ibadah Puasa

clock 3179167 640

Sesungguhnya, umat Islam disarankan untuk berniat puasa bermula dari waktu matahari terbenam (waktu sembahyang fardhu maghrib) sehinggalah sebelum tibanya waktu terbit fajar sidik (waktu subuh). Oleh yang demikian, niat untuk berpuasa boleh dilakukan pada man-mana bahagian daripada waktu tersebut meskipun semasa berbuka puasa.

Namun begitu, ada pendapat yang menggalakkan umat Islam untuk berniat puasa dengan sekali niat sahaja pada malam pertama Ramadan. Hal ini diperbolehkan kerana bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa untuk berniat pada malamnya. Kebanyakan umat Islam di Malaysia mengikut pendapat Imam Malik yang membolehkan seseorang itu berniat untuk berpuasa di bulan Ramadan selama sebulan sekaligus.

Keistimewaan Bulan Ramadan

ramadan 5055660 640

Bulan Ramadan sememangnya bulan yang penuh dengan keberkatan. Hal ini dapat dibuktikan melalui sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlomba-lombanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.”
– (Hadis Riwayat At-Thabrani)

dan

 “Wahai segenap manusia, telah datang kepada kalian bulan yang agung penuh berkah bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Allah menjadikan puasa di siang harinya sebagai kewajiban, dan qiyam di malam harinya sebagai sunnah. Barangsiapa menunaikan ibadah yang difardhukan, maka pekerjaan itu setara dengan orang mengerjakan 70 kewajiban. Ramadhan merupakan bulan kesabaran dan balasan kesabaran adalah syurga. Ramadhan merupakan bulan santunan, bulan yang di mana Allah melapangkan rezeki setiap hamba-Nya. Barangsiapa yang memberikan hidangan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, maka akan diampuni dosanya, dan dibebaskan dari belenggu neraka, serta mendapatkan pahala setimpal dengan orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa tersebut.”
– (Hadis Riwayat Khuzaimah)

Berdasarkan sabda Nabi Muhammad S.A.W., dapat dilihat bahawa baginda amat gembira dengan kedatangan bulan Ramadan. Sebagai umat Islam, kita hendaklah menjadi seperti baginda Rasulullah dengan menyambut dan mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia ini.

Terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan yang ada pada bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Antaranya ialah:

  1. Syahrun Azhim (Bulan yang agung)

Perkataan Azhim digunakan untuk menunjukkan kekaguman terhadap kebesaran dan kemuliaan sesuatu. Sesuatu yang diagungkan Rasulullah SAW tentulah memiliki nilai yang jauh lebih besar dan sangat mulia dengan sesuatu yang diagungkan oleh manusia biasa. Antara sebab bulan Ramadan perlu diagungkan ialah Allah S.W.T. juga mengagungkan bulan ini. Firman Allah S.W.T:

“Demikianlah (perintah Allah SWT). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati.”
– (QS Al-Hajj: 32)

Allah S.W.T mengagungkan bulan Ramadan kerana bulan ini merupakan bulan yang mewajibkan seluruh hambanya untuk berpuasa. Puasa merupakan salah satu daripada lima rukun Islam. Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang telah menetapkan dan mensucikan bulan ini dan kemudiannya memberikan segala kemurahan, kasih sayang, dan kemudahan bagi hamba-hamba yang ingin mendekatkan diri kepadaNya.

2. Syahrul Mubarak (Bulan Keberkatan)

Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan manfaat. Detik demi detik di bulan Suci ini bagaikan rangkaian berlian yang sangat berharga bagi orang beriman kerana semua perbuatan kita ketika berpuasa menjadi ibadah berpahala yang mendapat balasan langsung dari Allah S.W.T. Segala amalan termasuklah amal baik sekecil mana sekalipun akan dilipatgandakan asalkan berlapang dada dan sentiasa ikhlas.

Keberkatan bulan Ramadhan secara kasar dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu 10 malam pertama yang dipenuhi rahmat Allah SWT, 10 malam berikutnya diisi dengan pengampunan (maghfirah), manakala 10 malam terakhir merupakan pembebasan manusia dari api neraka. Keberkatan yang Allah SWT berikan ini akan dicapai sekiranya kita menggunakan waktu yang terhad untuk mendekatkan diri kepadaNya sebagaimana saranan Rasulullah SAW dalam sabdanya iaitu:

“Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya, dan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipatnya bahkan sampai tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman: “Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang langsung membalasnya. la telah meninggalkan syahwat, makan dan minumnya kerana-Ku.” Orang yang berpuasa mendapatkan dua kesenangan,iaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sungguh, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada aroma kasturi.”
– (HR Bukhari dan Muslim)

3. Syahru Nuzulil Qur’an (Bulan Quran Diturunkan)

Allah SWT mengistimewakan Ramadhan sekaligus menyediakan sasaran terbesar, iaitu menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup untuk hambanya. Firman Allah SWT:

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan furqan (pembeda di antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.”
– (QS Al-Baqarah: 185)

Ayat Al-Quran di atas menjelaskan bahawa tujuan utama amalan pada bulan Ramadhan ialah untuk membentuk insan bertakwa yang menjadikan Kitabullah sebagai manhajul hayat (pedoman hidup). Dapat dikatakan bahawa Ramadan tidak dapat dipisahkan dengan Al-Quran. Rasulullah S.A.W menerima wahyu pertama pada bulan Ramadan dan di setiap bulan Ramadan, Malaikat Jibril AS akan datang sehingga dua kali untuk menguji hafalan dan pemahaman Rasulullah SAW terhadap Al-Quran.

4. Syahrus Siyam

Firman Allah SWT: 

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
– (QS Al-Baqarah: 183)

Sejak awal hingga akhir bulan Ramadhan kita menegakkan satu daripada lima rukun Islam yang sangat penting, iaitu ibadah puasa. Kewajiban berpuasa di bulan Ramadan adalah penting sebagaimana kewajiban solat 5 waktu dalam sehari. Maka sebulan penuh seseorang Muslim itu mestilah menumpukan diri untuk beribadah sebagaimana dia mendirikan solat Subuh atau Maghrib yang memakan waktu beberapa minit sahaja.

Puasa Ramadhan dilakukan tiap hari dari terbit fajar sehingga terbenam matahari (Maghrib). Perkataan Siyam bermaksud menahan diri dari makan, minum dan berjimak serta dari segala maksiat di siang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Oleh itu untuk mencapai kesempurnaan ibadah puasa, selain menahan diri dari makan, minum dan jimak, kita juga perlu menahan diri dengan meninggalkan perbuatan maksiat dan perkara-perkara makruh.

5. Syahrul Qiyam

Bulan Ramadan menggalakkan seluruh umat Islam untuk melakukan amalan orang-orang yang soleh seperti menunaikan solat dan membaca Al-Quran. Di bulan Ramadan, setiap mukmin sangat dianjurkan untuk melakukan solat tarawih dan witir sebagai satu latihan agar dapat mengamalkan qiyamullail nanti di luar waktu bulan Ramadan. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa mendirikan solat malam di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”
– (HR Muttafaqun ‘Alaih)

6. Syahrus Sabr (Bulan Sabar)

Bulan Ramadan sebenarnya melatih jiwa umat Islam untuk sentiasa bersabar, tidak mengeluh dan tahan uji di dalam keadaan lapar dan dahaga. Sabar adalah kekuatan jiwa dari segala bentuk kelemahan mental dan spiritual. Orang yang sabar akan bersama Allah S.W.T. Balasan bagi orang-orang yang sabar adalah syurga.

Sabar sememangnya akan lahir apabila kita melakukan kerja besar berisiko yang memerlukan pengorbanan seperti dakwah dan jihad fi sabilillah. Bulan Ramadan mampu melatih umat Islam beramal dalam berjamaah untuk meninggikan kalimah Allah S.W.T. Sabda Rasulullah SAW:

“Puasa itu setengah kesabaran. Kesabaran itu setengah dari iman.”
– (HR Tirmidzi, Abu Na’im, dan Abu Mas’ud)

7. Syahrul Musawwah (Bulan Santunan)

Ramadan menjadi bulan santunan apabila orang-orang beriman sedar sepenuhnya bahawa puasa mendidik mereka untuk memiliki rasa simpati terhadap golongan fakir miskin kerana merasakan lapar dan dahaga sebagaimana yang biasa dirasai oleh golongan tersebut. Oleh sebab itu, kaum Muslimin dianjurkan supaya sentiasa bermurah hati untuk membantu golongan yang memerlukan. Sifat memberi tanpa mengharapkan balasan harus ditanam di dalam setiap diri umat Islam.

“Nabi SAW adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadan, lalu membacakan kepadanya Al-Qur’an. Rasulullah SAW ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.”
– (HR Bukhari dan Muslim)

Segala amal berkaitan dengan harta seperti zakat fitrah, zakat harta, sedekah, infak, wakaf, dan lain-lain sebaiknya dilakukan pada bulan yang mulia ini. Meskipun nilai yang diberikan itu sedikit, namun ia mempunyai nilai yang besar di sisi Allah S.W.T. Sesiapa yang memberi makan atau minum kepada orang yang berpuasa walaupun hanya seteguk air, mendapat pahala ibadah puasa seperti yang diperolehi oleh orang yang ibadah puasa.

8. Syahrul Yuzdaadu fiihi Rizqul Mu’min (Bulan Rezeki Untuk Orang2 Mukmin)

Bulan Ramadan merupakan rezeki bagi orang-orang beriman kerana pada waktu ini akan bertambah kerana segala kemudahan dibuka oleh Allah SWT seluas-luasnya. Para pedagang akan beruntung, orang yang menjadi pekerja mendapat kelebihan pendapatan dan sebagainya. Namun rezeki terbesar adalah hidayah Allah SWT kemudian hikmah dan ilmu yang begitu mudah diperoleh di bulan yang mulia ini.

Akhir kata, diharapkan perkongsian mengenai Ibadah Puasa dan Keistimewaan Bulan Ramadan ini dapat memberikan manfaat kepada anda semua. Semoga ibadah puasa pada tahun ini akan menjadikan kita sebagai hambanya yang lebih bertaqwa dan beramal soleh. InsyaAllah.

Sir Mohd Afizi
Sir Mohd Afizihttps://www.sistemguruonline.my/
Fulltime Writer at Sistem Guru Online. "There are two days in the year that we can't do anything, yesterday and tomorrow!"

Anda Mungkin Meminati