Dapatkan segera info rasmi yang lengkap di sistemguruonline.my ⏬️

6 Perkhidmatan Penstriman Video Berkualiti di Malaysia

perkhidmatan penstriman video

6 Perkhidmatan Penstriman Video Berkualiti di Malaysia merupakan perkongsian kami tentang info teknologi yang hangat diperkatakan pada masa kini. Kebanyakan penduduk Malaysia mahupun di serata dunia telah berubah mengikut trend semasa dalam mendapatkan kandungan digital seperti berita, video, buku dan sebagainya.

Akibat daripada perubahan tabiat tersebut, muncul pelbagai perkhidmatan penstriman video yang boleh dilanggan terutamanya dalam pasaran pengedaran video seperti filem-filem dan siri televisyen. Malaysia juga tidak terkecuali dalam perkembangan teknologi ini. Setakat hari ini, terdapat banyak perkhidmatan penstriman video berkualiti yang ditawarkan di Malaysia. Namun begitu, kami hanya menyenaraikan 6 perkhidmatan penstriman video yang kami rasakan anda patut untuk mencubanya. Teruskan membaca pada bahagian di bawah.

6 Perkhidmatan Penstriman Video Berkualiti di Malaysia

1. Netflix

netflix perkhidmatan penstriman video

Netflix ialah sebuah syarikat penerbitan dan penyedia perkhidmatan media Amerika Syarikat yang mempunyai ibu pejabat di Los Gatos, California. Syarikat Netflix telah ditubuhkan pada tahun 1997 oleh Reed Hastings dan Mark Randolph. Matlamat utama perniagaan Netflix ialah membekal perkhidmatan penstriman berasaskan langganan secara atas talian dengan menyediakan pelbagai kandungan seakan-akan perpustakaan untuk filem dan rancangan-rancangan televisyen termasuklah yang diterbitkan di dalam rumah.

Syarikat Netflix merupakan pelopor dunia perkhidmatan penstriman video dalam talian. Berdasarkan statistik yang diperolehi sehingga bulan April 2019, Netflix sudah mempunyai lebih daripada 148 juta langganan berbayar di seluruh dunia termasuklah 60 juta di Amerika Syarikat dan lebih daripada 154 juta jumlah langganan termasuk tempoh percubaan percuma.

Perkhidmatan penstriman video ini boleh didapati di seluruh dunia kecuali di beberapa buah negara seperti Tanah Besar China (disekat oleh Kerajaan China), Syria, Korea Utara dan Crimea (atas sebab sekatan Amerika Syarikat). Selain mempunyai ibu pejabat di Amerika Syarikat, Netflix turut mempunyai pejabat di Jepun, Korea Selatan, India, Brazil dan Belanda untuk melancarkan urusan perniagaannya. Syarikat ini juga tergolong dalam ahli Motion Picture Association of America (MPA).

Perkhidmatan penstriman video Netflix menawarkan pelbagai kandungan yang menarik seperti dari Hollywood, tempatan, Eropah dan Asia. Antara kandungan yang terdapat di dalam Netflix ialah:

  • Filem
  • Siri Televisyen
  • Drama
  • Dokumentari
  • Siri realiti
  • dan lain-lain.

Filem-filem dan rancangan terkenal seperti Ejen Ali: The Movie, Bad Genius, The Conjuring, Us, The Fast and The Furious, Money Heist, Descendant of dan Attack on Titan turut tersedia untuk ditonton. Netflix juga ada menawarkan rancangan eksklusif buat para pelanggannya dan hanya boleh ditonton di dalam platform ini sahaja.

Sekiranya anda berminat untuk melanggan perkhidmatan penstriman video Netflix di Malaysia, anda akan dikenakan bayaran berbeza-beza mengikut pelan yang telah ditetapkan. Setiap pelan yang ditawarkan mempunyai perbezaan masing-masing mengikut keperluan pelanggan. Perbezaan ketara pelan yang ditawarkan adalah dari segi bilangan peranti boleh digunakan ketika menonton rancangan dalam satu masa dan kualiti video yang dimainkan.

Netflix boleh diakses di pelbagai peranti berbilang platform termasuklah Android, Apple iOS dan iPadOS, Windows, Roku, Playstation, Xbox, Google Chromecast, Amazon Fire TV Stick, Apple TV dan Smart TV. 

Harga langganan Netflix (semasa artikel ini ditulis) adalah seperti berikut:

  1. Mobile Plan – RM 17/bulan
  2. Basic Plan – RM 35/bulan
  3. Standard Plan – RM 45/bulan
  4. Premium Plan – RM 55/bulan

Layari maklumat lanjut di:

  Netflix  

2. Amazon Prime Video

amazon prime video perkhidmatan penstriman video

Amazon Prime Video atau ringkasnya dipanggil Prime Video merupakan antara pesaing perkhidmatan penstriman video yang ada ditawarkan di Malaysia. Perkhidmatan penstriman ini mempunyai ibu pejabat di Seattle, Washington, Amerika Syarikat. Sebenarnya, Amazon Prime Video adalah salah satu daripada cabang Amazon Prime’s Subscription yang telah diwujudkan oleh syarikat multinasional gergasi di Amerika Syarikat iaitu Amazon.com, Inc.

Perkhidmatan penstriman video ini turut menawarkan perkhidmatan yang hampir sama dengan Netflix iaitu menawarkan kandungan penstriman video secara atas talian dan video-atas-permintaan (Video On Demand, VOD). Umumnya, perkhidmatan Prime Video boleh dilanggan berdasarkan pakej yang sekali ditawarkan oleh Amazon atau secara tunggal.

Kebanyakan filem dan siri televisyen yang ditawarkan kepada para pelanggan merupakan kandungan-kandungan yang dihasilkan sendiri oleh Amazon Studios atau telah mendapat perlesenan dari pihak Amazon untuk ditayangkan. Kandungan-kandungan eksklusif sebegini dikenali sebagai Prime Original atau Amazon Original/Exclusive.

Antara filem-filem terkenal yang terdapat di dalam platform perkhidmatan penstriman video ini ialah Jaws, Borat Subsequent Moviefilm, Mission Impossible, Darbar, Suspiria, One Night in Miami…, The Aeronauts dan Brittany Runs a Marathon.

Bukan itu sahaja, platform perkhidmatan penstriman video ini turut menawarkan kandungan-kandungan menarik seperti acara sukan secara langsung (live sporting events), penyewaan video, pembelian perkhidmatan (purchasing services), tambahan kandungan (content add-ons) dan kandungan-kandungan daripada rakan penyedia media yang lain seperti Curiosity Stream, Starz, Showtime, HBO, Cinemax dan lain-lain (perlu dibeli secara berasingan).

Amazon Prime Video boleh diakses dengan menggunakan pelbagai peranti seperti Android, Apple iOS dan iPadOS, Windows, Roku, PlayStation, Xbox, Google Chromecast, Amazon Fire TV Stick, Apple TV dan Smart TV.

Sekiranya anda ingin melanggan Amazon Prime Video, anda perlu membayar Harga langganan dengan menggunakan mata wang Dollar Amerika Syarikat iaitu sebanyak $5.99/bulan atau sekitar RM24.62 (semasa artikel ini ditulis) dan boleh ditonton dengan menggunakan 3 peranti secara serentak.

Layari maklumat lanjut di:

  Amazon Prime Video  

3. HBO GO Asia

HBO (Home Box Office) ialah syarikat penyiaran televisyen Amerika Syarikat yang berbayar dan dimiliki oleh WarnerMedia Studios & Networks. Syarikat penyiaran ini bernaung di bawah syarikat induk iaitu Home Box Office, Inc. Sejajar dengan perkembangan terkini, HBO telah mewujudkan perkhidmatan penstriman video yang diberi nama HBO GO untuk para pelanggan yang berada diluar kawasan Amerika agar dapat menikmati kandungan-kandungan menarik.

HBO GO secara asasnya ialah perkhidmatan penstriman video televisyen antarabangsa di mana sahaja berdasarkan video-atas-permintaan (Video On Demand, VOD) dan mempunyai ibu pejabat di New York, Amerika Syarikat. Antara kawasan yang boleh mengakses HBO GO ialah di kawasan Amerika Selatan, Eropah Tengah dan Eropah Timur, Eropah Nordik, Sepanyol, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Bagi tontonan untuk orang Asia, HBO GO mempunyai versinya yang tersendiri iaitu HBO GO Asia. Versi inilah yang ditawarkan di Malaysia. Antara kandungan yang terdapat di dalam HBO GO Asia ialah:

  • Filem-filem bertaraf box office
  • Siri televisyen
  • Acara Khas
  • Acara Sukan Khas
  • Dokumentari
  • dan lain-lain

HBO GO Asia juga menawarkan kandungan eksklusif khas untuk para pelanggannya. Perkhidmatan penstriman video ini boleh ditonton di pelbagai platform seperti laman web HBO, Android, Apple iOS dan iPadOS, konsol permainan dan pemain media digital. HBO GO Asia boleh dilanggan secara terus melalui Apple iTunes atau Google Play. Langganan melalui penyedia media digital Astro turut boleh dilakukan dengan mudah.

Antara judul-judul filem dan siri televisyen yang boleh ditonton di HBO GO Asia ialah The Nevers, Zack Snyder’s Justice League, Gotham, Genera+ion, Trolls World Tour, A Black Lady Sketch Show, Scoob! dan Mare of Easttown.

Harga Langganan HBO GO Asia ialah sebanyak RM34.90/bulan dan boleh menggunakan 2 peranti secara serentak untuk tujuan menonton.

Layari maklumat lanjut di:

   HBO GO Asia   

4. iFlix

iflix merupakan perkhidmatan penstriman video yang ditawarkan secara percuma dan berbayar dengan menawarkan video-atas-permintaan (Video On Demand, VOD). Platform penstriman ini dimiliki oleh syarikat swasta iaitu Iflix Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Syarikat ini berfungsi sebagai hos dan mengedarkan kandungan digital seperti drama-drama Barat dan Asia yang diperolehi melalui perkongsian dengan lebih 150 studio dan pengedar kandungan secara global termasuklah Metro-Goldwyn-Mayer (MGM), Disney, Warner Bros, Paramount, NBC Universal, FOX, CBS, BBC, Sony Pictures dan Discovery.

Perkhidmatan penstriman video iflix kini boleh didapati di sekitar negara-negara Asia seperti Malaysia, Filipina, Indonesia, Thailand, Brunei, Sri Lanka, Maldives, Vietnam, Pakistan dan Myanmar. Sehingga Julai 2016, iflix sudah mempunyai 4 juta pelanggan.

Berikut merupakan kategori-kategori genre yang ditawarkan di platform penstriman iflix:

  • Filem
  • Siri Televisyen
  • WeTV
  • Tempatan
  • Indo
  • China
  • Seram
  • Korea
  • Terbaharu di iflix
  • Aksi
  • Komedi

Berdasarkan daripada kategori-kategori genre di atas, terdapat filem-filem dan siri televisyen popular yang boleh ditonton seperti Bikers Kental 2, Ombak Rindu The Series, Tak Sempurna Mencintaimu, My Lecturer My Husband, Hello Mr. Gu, The Penthouse War in Life, Danur: I Can See Ghosts dan Ruqyah The Exorcism.

Bagi anda yang beminat untuk melanggan, Harga Langganan iflix adalah seperti berikut:

  1. Percuma – (akses terhad dan mempunyai iklan)
  2. Akses VIP – RM10/bulan (akses tanpa had dan tiada iklan)

Layari maklumat lanjut di:

  iflix  

5. Viu

Viu ialah perkhidmatan penstriman video-atas-permintaan (Video On Demand, VOD) yang dimiliki oleh perusahaan di Hong Kong iaitu Viu International Ltd dan juga merupakan anak syarikat PCCW Group.

Model perniagaan syarikat Viu adalah berteraskan pengendalian model dwi-pendapatan iaitu melalui langganan dan iklan. Oleh sebab itu, Viu boleh ditonton secara percuma dan juga mempunyai pilihan pelan berbayar. Bagi melariskan perkhidmatan penstriman video ini di Malaysia, pihak Viu ada melakukan pelbagai promosi melalui syarikat-syarikat telekomunikasi dan di platform e-dagang seperti Shopee untuk menarik minat pelanggan.

Pada mulanya, Viu hanya dilancarkan untuk para pengguna di Hong Kong sahaja. Kini, Viu telah tersedia di pelbagai pasaran termasuklah di Asia, Afrika dan Timur Tengah. Negara-negara yang boleh mengakses perkhidmatan penstriman Viu ialah:

  1. Malaysia
  2. Hong Kong
  3. India
  4. Singapura
  5. Thailand
  6. Filipina
  7. Emiriah Arab Bersatu (UAE)
  8. Bahrain
  9. Mesir
  10. Indonesia
  11. Jordan
  12. Kuwait
  13. Oman
  14. Qatar
  15. Arab Saudi
  16. Myanmar dan
  17. Afrika Selatan

Berdasarkan statistik sehingga bulan Jun 2020, Viu telah mempunyai lebih daripada 36 juta pengguna aktif bulanan. Perkhidmatan penstriman Viu menawarkan kandungan pelbagai genre daripada penyedia-penyedia media Asia yang terkenal berserta dengan sari kata bahasa tempatan.

Kebanyakan daripada kandungan yang disediakan untuk ditonton terdiri daripada siri televisyen dan filem-filem korea. Beberapa filem dan siri televisyen tempatan juga ditawarkan. Sama seperti platform penstriman yang lain, Viu turut menerbitkan siri cerita daripada produksi aslinya sendiri yang dikenali sebagai Viu Original. 

Antara filem-filem dan siri televisyen yang boleh ditonton di Viu ialah 2021 Running Man, The Penthouse, Isteri Misteri, Mouse, Attack on Titan, True Beauty, Demon Slayer, My Forever Sunshine, My Secret Bride dan Fruits Basket. 

Sekiranya anda merupakan peminat siri televisyen dan filem-filem Korea, anda dicadangkan untuk melanggan perkhidmatan penstriman ini. Harga Langganan Viu adalah seperti berikut:

  1. Percuma – (tidak dapat menonton kandungan berbayar dan mempunyai iklan)
  2. Viu Premium – RM10/bulan (akses kandungan berbayar dan tiada iklan)

Layari maklumat lanjut di:

  Viu  

6. Apple TV+

apple tv perkhidmatan penstriman video

Apple Tv+ merupakan salah satu daripada servis atas talian yang ditawarkan oleh syarikat Apple Inc. Syarikat teknologi multinasional Amerika ini beroperasi di Cupertino, California, Amerika Syarikat. Apple TV+ merupakan suatu platform langganan video-atas-permintaan (Video on Demand, VOD) yang tidak mempunyai sebarang iklan dan telah dilancarkan pada 1 November 2019.

Kini, perkhidmatan penstriman Apple TV+ sudah boleh diakses di 100 buah negara yang terdapat di serata dunia. Meskipun begitu, kandungan-kandungan yang ditawarkan oleh Apple TV+ hanya dapat ditonton melalui platform peranti tertentu sahaja seperti di Apple iOS, Apple iPadOS, Apple MacOS, PC, Apple TV, Smart TV, Roku, Amazon Fire TV, Playstation, Xbox dan Google Chromecast TV.

Berbeza dengan perkhidmatan penstriman yang berada di pasaran, Apple TV+ hanya menawarkan filem-filem dan siri televisyen yang diterbitkan secara eksklusif untuk para pelanggannya. Sehingga bulan Ogos 2019, Apple Inc. dilaporkan telah membelanjakan sebanyak $6 billion untuk mewujudkan kandungan eksklusif berkualiti tinggi.

Bagi mencapai hasrat tersebut, pihak Apple TV+ telah bekerjasama bersama dengan para penerbit dan pengarah filem ternama. Individu-individu yang terlibat dalam menghasilkan kandungan eksklusif berkualiti tinggi di Apple TV+ ialah M. Night Shyamalan, Tony Basgallop, Octavia Spencer, Jason Sudeikis dan lain-lain.

Terdapat pelbagai kategori filem dan siri televisyen yang ditawarkan oleh Apple TV+ dan bilangannya akan bertambah hampir setiap bulan. Berikut merupakan kategori-kategori kandungan yang terdapat di dalam Apple TV+ tersedia untuk di tonton:

  • Drama
  • Komedi
  • Animasi
  • Unscripted
  • Co-production (produksi bersama)
  • Dokumentari
  • Specials
  • dan lain-lain

Disebabkan kandungannya yang bersifat eksklusif, anda hanya boleh menonton filem-filem dan siri televisyen berkualiti tinggi yang terbitkan khas untuk Apple TV+ seperti Servants, The Morning Show, Ted Lasso, Billie Eilish The World’s A Little Blurry, The Snoopy Show, Truth Be Told, For All Mankind, Greyhound, Hala, Defending Jacob dan sebagainya.

Jika anda berminat untuk melanggan perkhidmatan penstriman ini, Harga Langganan Apple TV+ ialah:

  1. Percuma selama setahun – (perlu membeli peranti Apple baharu)
  2. Bulanan – RM19.90 (selepas 7 hari tempoh percubaan)
  3. Pakej Apple One
    – RM19.90 (untuk individu dan mendapat akses Apple Music, Arcade dan iCloud 50GB)
    – RM33.90 (untuk 5 orang ahli keluarga dan mendapat akses Apple Music, Arcade dan iCloud 200GB)

Layari maklumat lanjut di:

   Apple TV+   

Akhir kata, anda patut mencuba 6 Perkhidmatan Penstriman Video Berkualiti di Malaysia ini kerana kesemua platform-platform di atas mampu memberikan kepuasan apabila anda menonton pada waktu lapang. Kehadiran perkhidmatan penstriman di Malaysia seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu anda dan rakyat Malaysia agar tidak menyokong kandungan digital cetak rompak yang tidak baik kepada industri perfileman dan ekonomi negara. Oleh itu, kami berharap perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada anda tentang ilmu teknologi.

Sir Mohd Afizi
Sir Mohd Afizihttps://www.sistemguruonline.my/
Fulltime Writer at Sistem Guru Online. "There are two days in the year that we can't do anything, yesterday and tomorrow!"

Anda Mungkin Meminati