Dapatkan segera info rasmi yang lengkap di sistemguruonline.my ⏬️

5 Tempat Menarik di Johor untuk Dilawati Sewaktu Cuti Sekolah

5 Tempat Menarik di Johor untuk Dilawati Sewaktu Cuti Sekolah

5 Tempat Menarik di Johor untuk Dilawati Sewaktu Cuti Sekolah ini mampu mengisi masa lapang cuti sekolah anak-anak anda agar lebih berfaedah dan menyeronokkan. Dalam perkongsian kali ini, kami akan berkongsi tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar negeri Johor.

Johor atau lebih dikenali sebagai Johor Darul Takzim merupakan sebuah negeri yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia. Lokasi Negeri Johor terletak di kawasan yang strategik kerana mempunyai sempadan dengan pelbagai negeri seperti Pahang, Melaka, Negeri Sembilan.

Johor juga bersempadanan secara maritim dengan Negara Singapura dan Indonesia. Hal ini telah menyebabkan ramai kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan keindahan negeri Johor.

5 Tempat Menarik di Johor untuk Dilawati Sewaktu Cuti Sekolah

Berikut merupakan senarai tempat-tempat menarik yang boleh anda lawati sewaktu cuti sekolah. Antaranya ialah:

1. Tempat Menarik Legoland Malaysia

Tempat pertama mendahului dalam senarai ini merupakan sebuah taman tema yang terletak di Nusajaya, Johor Bahru, Johor. Taman tema ini merupakan taman tema Legoland yang pertama dibuka di rantau Asia. Legoland Malaysia telah dibuka secara rasmi kepada para pengunjung pada 22 September 2012 dan dirasmikan oleh Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Legoland Malaysia menawarkan pelbagai tarikan dan aktiviti-aktiviti yang menarik buat seisi keluarga seperti mempunyai sekurang-kurangnya 40 tunggangan interaktif, persembahan dan tarikan. Legoland Malaysia menawarkan 8 taman tema yang boleh diterokai oleh ibu bapa dan anak-anak mereka apabila berkunjung di sini:

Senarai Taman Tempat Menarik

  • The Beginning
  • LEGO Technic
  • LEGO City
  • LEGO Kingdoms
  • Miniland
  • Imagination
  • Land of Adventure
  • LEGO NINJAGO WORLD

Taman-taman tema yang dibina ini akan memberikan pengalaman yang bermakna kepada ibubapa dan anak-anak kerana mereka berpeluang untuk merasai ‘dunia-dunia’ yang terdapat di Legoland Malaysia.

Harga bagi kemasukan ke dalam taman tema ini adalah berbeza-beza mengikut pakej yang ditawarkan kepada warganegara Malaysia iaitu:

  • 1-Day Theme Park  – RM149 (kanak-kanak) dan RM189 (dewasa)
  • 1-Day Double-Park (Theme Park + Sea Life) – RM200 (kanak-kanak) dan RM249 (dewasa)
  • 1-Day Triple-Park (Theme Park + Water Park + Sea Life) – RM259 (kanak-kanak) dan RM313 (dewasa)

Bukan itu sahaja, Legoland Malaysia turut menawarkan taman tema air Lego iaitu Legoland Malaysia Water Park bagi ibu bapa dan anak-anak yang meminati aktiviti permainan air. Penerokaan alam hidupan laut turut disediakan di Legoland Malaysia untuk anak-anak dan ibu bapa mempelajari tentang hidupan air di SEALIFE. Harga tiket bagi kemasukan kedua-dua tempat ini adalah berbeza dengan 8 taman tema yang telah disenaraikan tadi.

Ibu bapa dan anak-anak yang berminat untuk mengunjungi Legoland Malaysia Water Park dan SEALIFE akan dikenakan bayaran bermula dari:

  • 1-Day Water Park – RM114 (kanak-kanak) dan RM139 (dewasa)
  • 1-Day SEALIFE – RM69 (kanak-kanak) dan RM89 (dewasa)

Sekiranya ibu bapa dan anak-anak ingin mendapatkan pengalaman menginap di kawasan Legoland Malaysia yang sebesar 5,500,000 kaki persegi ini, terdapat sebuah hotel yang begitu menarik untuk dijadikan sebagai tempat penginapan iaitu Legoland Hotel. Hotel ini mempunyai pelbagai kemudahan yang menarik seperti para pengunjung dapat memilih bilik tidur yang bertemakan fantasi. Justeru itu, anak-anak dan ibu bapa akan berasa seperti dalam dunia khayalan mereka sambil menikmati percutian yang menyeronokkan. Terdapat 4 jenis tema bilik yang boleh dipilih serendah RM690/malam yang mampu memuatkan 5 orang ahli keluarga iaitu:

  1. Pirate Themed – Bilik Lego bertemakan kehidupan lanun dan terdapat harta karun
  2. Kingdom Themed – Bilik Lego bertemakan kehidupan zaman pemerintan purba
  3. Adventure Themed – Bilik Lego bertemakan kehidupan zaman Mesir Purba
  4. NINJAGO Premium – Bilik Lego bertemakan karakter seorang ninja

2. Tempat Menarik Johor Premium Outlets (JPO)

Johor Premium Outlets atau singkatannya JPO merupakan salah sebuah pusat beli-belah yang terkemuka di Johor. Pusat beli-belah ini terletak di Indahpura, Kulai, Johor dan berdekatan dengan Lebuhraya Utara-Selatan selepas Persimpangan Senai Utara. Johor Premium Outlets merupakan premium outlets yang pertama dibina Asia Tenggara sebelum wujudnya Freeport A’Famosa Outlet dan Genting Highlands Premium Outlets.

Kami telah memilih Johor Premium Outlets sebagai salah satu daripada tempat menarik di Johor adalah kerana pusat beli-belah ini menawarkan pelbagai barangan berjenama dan bertaraf antarabangsa seperti Adidas, Calvin Klein, Victoria’s Secret, Padini Outlet Store, Toy World, Cotton On Kids dan lain-lain dengan potongan harga sebanyak 20% hingga 70%. Tawaran potongan harga sebegini amatlah berbaloi untuk dinikmati oleh para pengunjung. Tambahan pula, terdapat banyak pilihan kedai yang beraneka jenis untuk dilawati oleh ibu bapa dan anak-anak mengikut kesesuaian masing-masing.

Oleh itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka untuk berkunjung ke pusat beli-belah ini untuk tujuan membeli belah dan beriadah bersama ahli keluarga memandangkan pusat beli-belah ini mempunyai pelbagai fasiliti yang lengkap seperti restoran, kolam air pancut, kawasan permainan kanak-kanak, vending machines, surau dan bermacam-macam lagi.

3. Tempat Menarik Danga Bay (Teluk Danga)

Danga Bay atau dalam Bahasa Malaysia dikenali sebagai Teluk Danga merupakan sebuah pusat rekreasi terbesar yang terdapat di bandar Johor Bahru, Johor. Pusat rekreasi ini terletak berhampiran dengan Istana Bukit Serene iaitu merupakan Istana Rasmi Kerajaan Negeri Johor. Kawasan Danga Bay telah dibangunkan oleh Tan Sri Datuk Lim Kang Hoo melalui Syarikat Ecovest Berhad. Kawasan ini menyediakan pelbagai aktiviti dan tarikan berkonsepkan mewah dan glamor yang sesuai dikunjungi oleh para pengunjung dari pelbagai lapisan umur.

Salah satu tarikan yang ada di Danga Bay ialah Danga Bay Recreational Park. Taman rekreasi ini amatlah sesuai kepada semua ahli keluarga yang berkunjung pada hujung minggu atau ketika musim cuti bagi mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti seperti:

  1. Menaiki tram
  2. Menaiki basikal dan basikal roda tiga (tricycle)
  3. Menaiki papan selaju (skateboard)
  4. Perlumbaan kereta rali (rally car racing)
  5.  Bermain di taman permainan kanak-kanak (playground)

Aktiviti-aktiviti seperti ini sememangnya amat baik kepada ibu bapa dan anak-anak untuk mengeluarkan peluh dan dapat menyihatkan lagi tubuh badan. Anak-anak dan ibu bapa pasti akan berasa gembira apabila dapat menelusuri perjalanan yang mengasyikkan dengan menaiki tram sepanjang kawasan Danga Bay. Fasiliti-fasiliti yang disediakan di sini juga berada dalam keadaan cantik dan baik.

Sekiranya ibu bapa inginkan pengalaman makan malam yang mewah di atas kapal persiaran sewaktu cuti bersama anak-anak tersayang, terdapat Danga Bay Cruise 8 yang harus dikunjungi untuk merasai pengalaman tersebut. Kapal persiaran mewah ini akan bergerak di sepanjang kawasan Laut Selat Johor. Oleh itu, para pengunjung akan dapat menyaksikan kecantikan Teluk Danga pada waktu malam dengan dihidangkan pelbagai pilihan makanan berkonsepkan bufet seperti:

  • spageti
  • buah-buahan dan sayur-sayuran segar
  • minuman dan pelbagai lagi makanan

Danga Bay Cruise 8 ini mampu memuatkan sekitar 800 orang dan hanya beroperasi bermula jam 8 malam sehingga larut malam. Restoran kapal persiaran ini juga hanya dibuka pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Harga bagi makan malam ini adalah sekitar RM50/orang. Sekiranya ingin ke sana, anda dinasihatkan agar membuat tempahan terlebih dahulu memandangkan ramai pengunjung tempatan dan luar negara yang memenuhi Danga Bay Cruise 8 ini.

Destinasi menarik seterusnya yang mesti dikunjungi oleh ibu bapa dan anak-anak semasa berada di Danga Bay ialah Rumah Limas. Rumah Limas merupakan sebuah bangunan yang kaya dengan pelbagai ciri-ciri dan budaya masyarakat yang terdapat di daerah-daerah negeri Johor seperti Johor Bahru, Muar, Pontian, Mersing, Segamat, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi.

Rumah Limas ini diberi nama berdasarkan perkataan ‘Limas’ yang membawa maksud nama bagi bumbung rumah berkenaan. Bumbung rumah ini mempunyai bentuk seakan-akan piramid yang berbentuk panjang dan lebar. Keunikan rumah replika yang dibina ditengah-tengah bandar tersebut telah menarik minat ramai pengunjung untuk melihat dan mempelajari seni bina rumah tradisi Johor.

Walaupun Rumah Limas ini berfungsi sebagai tarikan dari segi senibina negeri Johor, rumah ini sebenarnya turut menawarkan hidangan makanan yang berkonsepkan restoran di dalam bangunan tersebut. Restoran yang terdapat di dalam Rumah Limas ini berfokuskan kepada makanan tradisional Melayu dengan menggunakan resepi turun-temurun. Antara makanan yang popular di sini ialah:

  1. Nasi Lemak
  2. Mi Bandung
  3. Mi Rebus
  4. Asam Pedas

Nasi Baryani dan kuih muih juga turut dihasilkan sekiranya mendapat permintaan daripada pengunjung. Setiap Rumah Limas yang ada di sana turut menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan seperti tarian tradisional abad ke-19 mengikut daerah-daerah yang terdapat di dalam negeri Johor untuk dipersembahkan. Pengunjung juga dapat membeli dan membawa pulang buah tangan sebagai tanda kenang-kenangan. Oleh itu, Rumah Limas semestinya merupakan destinasi yang mesti dituju oleh ibu bapa dan anak-anak kerana disamping mereka beriadah, mereka dapat menimba ilmu dan mengenal adat budaya di Johor.

4. Tempat Menarik Bazar Karat Johor Bahru 

Bazar Karat Johor Bahru atau dikenali dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai Tempat Menarik Bazar Karat JB merupakan antara tempat menarik yang boleh anda kunjungi bersama keluarga semasa berada di Johor. Bazar Karat JB ini mula beroperasi sekitar jam 6 petang sehingga 12 tengah malam setiap hari. Pada waktu malam, Bazar Karat ini sungguh meriah kerana dihiasi dengan lampu-lampu yang dipasang di khemah para peniaga untuk menarik minat pengunjung.

Bazar Karat JB ini turut menjadi tumpuan para pengunjung kerana di sini terdapat pelbagai barangan yang dijual dengan harga berpatutan seperti:

  1. Makanan
  2. Pakaian
  3. Pakaian terpakai
  4. Produk wangian
  5. Aksesori telefon
  6. Perhiasan
  7. Barang-barang rumah
  8. Permainan

Menariknya lagi, Bazar Karat JB ini juga mempunyai ramai artis jalanan yang berbakat besar. Kebiasaannya mereka akan menghiburkan pengunjung yang datang dengan menyanyikan pelbagai lagu popular yang berbilang genre sambil mencari rezeki. Oleh hal yang demikian, kami mencadangkan Bazar Karat JB ini sebagai salah satu tempat menarik di Johor yang harus dilawati oleh anda sekeluarga.

5. Tempat Menarik Zoo Johor

Zoo sememangnya salah satu tempat yang menjadi pilihan ibu bapa apabila mereka hendak membawa anak-anak untuk beriadah. Oleh itu, pada kali ini kami mencadangkan agar anda memilih Zoo Johor sebagai salah satu destinasi yang dituju sekiranya anda berada di Johor.

Zoo Johor terletak di Jalan Gertak Merah, Taman Istana, Johor Bahru, Johor. Zoo ini telah dibuka pada tahun 1928 dan disempurnakan oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar. Pada ketika itu, Zoo Johor diberikan nama sebagai Kebun Binatang dan merupakan zoo pertama yang dibina di Malaysia dan Asia Tenggara. Pada 1 April 1962, Zoo Johor ini telah menjadi dibawah kelolaan Kerajaan Negeri Johor dan dibuka kepada umum. Zoo ini juga merupakan satu-satunya zoo yang ditadbir oleh kerajaan negeri.

Terdapat lebih Tempat Menarik 100 spesies haiwan yang dipamerkan di Zoo Johor untuk tontonan para pengunjung seperti:

  • Gajah
  • Rusa
  • Buaya
  • Flamingo
  • Kuda
  • Harimau
  • Singa
  • Gorila
  • Unta dan lain-lain

Di samping itu,Tempat Menarik ibu bapa dan anak-anak yang berkunjung ke zoo ini boleh menikmati aktiviti-aktiviti menarik yang telah disediakan oleh pihak Zoo Johor seperti menaiki kuda, menaiki paddle boat di kawasan tasik mini dan bermain di taman permainan (inflatable playground). Sekiranya anda dan keluarga berasa letih berjalan di dalam zoo, terdapat juga kedai-kedai yang menjual makanan dan cenderamata yang boleh dibeli sebagai tanda kenangan semasa berada di sana.

Harga untuk memasuki Tempat Menarik Zoo Johor ini amatlah murah kerana pengunjung hanya dikenakan caj sebanyak RM1 untuk kanak-kanak dan RM2 untuk orang dewasa. Bagi anda yang berminat untuk mengunjungi Zoo Johor ini bersama ahli keluarga, zoo ini dibuka setiap hari pada jam 8:30 pagi – 6:00 petang.

Diharapkan perkongsian mengenai 5 Tempat Menarik di Johor untuk Dilawati Sewaktu Cuti Sekolah ini dapat membantu ibu bapa dalam merancang destinasi percutian yang mampu memberikan pengalaman bermakna kepada anak-anak mereka. Cuti sekolah yang akan tiba tidak lama lagi hendaklah dimanfaatkan dengan sebaiknya agar tidak terbuang begitu sahaja.

Sir Mohd Afizi
Sir Mohd Afizihttps://www.sistemguruonline.my/
Fulltime Writer at Sistem Guru Online. "There are two days in the year that we can't do anything, yesterday and tomorrow!"

Anda Mungkin Meminati