Vespa Moden Paling Berkuasa

Peminat Vespa di Malaysia kini memiliki pilihan baharu khusus untuk kuasa lebih tinggi dengan pengenalan model GTS 300 HPE, GTS Super Tech.

Dilengkapi enjin satu silinder 300 cc empat lejang suntikan bahan api yang dipadankan bersama transmisi CVT, GTS Super Tech mampu menghasilkan 23.5 kuasa kuda (hp) pada 8,250 rpm dan tork 26 Nm pada 5,250 rpm.

Ternyata langkah pengedar motosikal Vespa di Malaysia, Didi Resources Sdn Bhd membawa masuk GTS Super Tech tepat pada masanya, bagi meningkatkan akses peminat skuter ikonik itu kepada jentera paling berkuasa yang pernah digunakan Vespa.

Varian terkini GTS 300 HPE yang ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Black Vulcano dan Grey Materia dijual pada atas jalan tidak termasuk insurans dan pendaftaran, RM33,300.

Menyentuh mengenai kelebihan GTS Super Tech, varian ini dilengkapi sistem Vespa MIA di mana ia boleh disambungkan kepada telefon pintar, untuk memberikan akses kepada fungsi paparan navigasi, menjawab panggilan, notifikasi mesej, kawalan muzik serta lokasi pusat servis.

Lebih menarik, operasi sistem itu akan terpapar pada skrin TFT 4.3 inci di hadapan penunggang dan boleh dikawal menggunakan butang di bahagian kiri pemegang.

GTS Super Tech juga dilengkapi dengan sistem brek ABS dua saluran serta kawalan cengkaman ASR yang boleh ditutup menggunakan suis di sebelah kiri pemegang.

Brek di kedua-dua roda hadapan dan belakang yang bersaiz 12 inci menggunakan unit cakera.

Antara kelengkapan lain yang terdapat pada GTS Super Tech adalah lampu hadapan dan belakang LED, cermin sisi krom, kemasan lubang udara hadapan warna kuning, bentuk tempat duduk khas, spring penyerap hentak warna kuning, tangki bahan api 8.5 liter, pengecas USB serta ruang tempat letak barangan di bawah tempat duduk.

Peminat vespa jangan lupa masukkan dalam list vespa idaman anda!