Bantuan IPT Pulau Pinang merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk meringankan beban kewangan pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT). Bantuan ini diberikan khusus kepada pelajar yang berasal dari Pulau Pinang atau mempunyai ibu bapa atau penjaga yang merupakan pengundi di negeri ini.
Program ini memberi bantuan pendaftaran kepada pelajar yang mendaftar bagi program Diploma atau Ijazah Sarjana Muda di institusi tempatan.
Apa itu Bantuan IPT Pulau Pinang?
Isi Kandungan
Bantuan IPT Pulau Pinang iaitu Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi Negeri Pulau Pinang (IBITA) adalah program bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membantu pelajar yang memulakan pengajian di IPT tempatan.
Bantuan ini diberikan dalam bentuk kewangan untuk meringankan kos pendaftaran pelajar bagi Program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa. Inisiatif ini bertujuan memastikan lebih ramai pelajar dari Pulau Pinang berpeluang melanjutkan pelajaran tanpa terbeban dengan kos pendaftaran yang tinggi. Rujuk juga bantuan IPT Negeri Kedah.
Syarat-Syarat Bantuan IPT Pulau Pinang
- Pemohon WAJIB mengisi borang permohonan secara atas talian (ONLINE) di laman web ibita.penang.gov.my.
- Pendapatan isi rumah (ibu/bapa/penjaga) tidak melebihi RM8,000.00. (Gaji pokok sahaja, tidak termasuk elaun tetap).
- Pemohon merupakan anak kelahiran Pulau Pinang ATAU ibu / bapa / penjaga / pemohon (salah seorang) merupakan pengundi berdaftar di Pulau Pinang.
- Pelajar yang ditawarkan ke Program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa pada tahun semasa sahaja.
- Pemohon hanya layak menerima bantuan pendaftaran sekali sahaja sepanjang tempoh pengajian bagi peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda.
Kadar Bantuan IPT Pulau Pinang
- Universiti di Semenanjung Malaysia = RM1,000.00
- Universiti di Sabah dan Sarawak = RM1,200.00
- Politeknik Malaysia = RM300.00
Dokumen yang Diperlukan untuk Bantuan IPT Pulau Pinang
Pemohon perlu mengemukakan dokumen-dokumen sokongan berikut bersama borang permohonan yang dicetak melalui portal iBITA:
- Borang Permohonan dan Senarai Semak Dokumen yang dicetak melalui laman sesawang iBITA.
- Salinan Surat Tawaran Kemasukan ke IPTA/IPTS/Politeknik. (Tarikh pendaftaran/kemasukan pelajar, tidak termasuk pra-pendaftaran atau orientasi).
- Salinan Resit Pembayaran Yuran Pendaftaran.
- Salinan Kad Pengenalan Pelajar yang jelas.
- Salinan Kad Pengenalan Ibu DAN Bapa atau Penjaga yang jelas.
- Salinan Semakan Daftar Pemilih dari laman MySPR.
- Salinan Penyata Gaji terkini/Kad Pesara ibu DAN bapa atau penjaga.
- Salinan Penyata Bank pelajar.
- Penyata Pendapatan pasangan (bagi pemohon yang sudah berkahwin).
- Akuan Bersumpah atau dokumen pengesahan pendapatan bagi ibu bapa atau penjaga yang tiada penyata gaji tetap.
- Bagi anak yatim atau tinggal bersama penjaga, perlu disertakan Akuan Bersumpah/Sijil Kematian/Sijil Cerai/Sijil Anak Angkat. Semua dokumen hendaklah disahkan oleh Pegawai Kerajaan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41 dan ke atas) atau Penghulu.
- Kegagalan menghantar dokumen sokongan selepas tarikh tutup akan menyebabkan permohonan ditolak.
Cara Mohon Bantuan IPT Pulau Pinang
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi iBITA di pautan berikut Laman Permohonnan Bantuan IBITA.
Maklumat Pertanyaan
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pemohon boleh merujuk kepada laman web rasmi iaitu
Laman Web IBITA.