Dapatkan segera info rasmi yang lengkap di sistemguruonline.my ⏬️

5 Guru Burnout Boleh Jadi Gila Jika Berlarutan dan Tidak di Ubati Segera

PENTADBIR PUNCA GURU BURNOUT
Burnout

Isu guru burnout sebenarnya bukan lagi benda asing di negara kita. Bukan bermakna profesion lain tidak ada kes burnout tetapi hari ini kita cuba fokus kepada profesion perguruan sahaja.

Apa itu Burnout?

Pertamanya, adakah kita semua tahu apa yang dimaksudkan dengan BURNOUT? Sebenarnya, perkataan “BURNOUT” ini kerap digunakan sejak akhir-akhir ini di sekolah bagi menyatakan situasi tertekan atau stress melampau di sekolah.

Sekolah yang menjadi tempat murid menimba ilmu dan pengetahuan menjadi medan sumber tekanan hidup dan perasaan para guru yang akhirnya membawa kepada masalah mental. Selain nampak tertekan, kemurungan juga salah satu tanda seseorang guru itu mula mengalami situasi burnout.

3 Petanda Besar Guru Sudah Mengalami Burnout

Mengikut pembacaan, terdapat 3 jenis tanda-tanda besar burnout yang jelas, ianya ialah tanda secara fizikal, emosi dan tingkah laku.

1. Tanda-tanda dari segi fizikal

  • Guru akan merasa sentiasa penat dan ini ialah yang paling mudah kita lihat. Bila bercakap tentang penat, ianya termasuk penat dari segi fizikal dan mental.
  • Biasanya ketika burnout ini, guru akan sentiasa kurang sihat. Ianya bukan alasan, tetapi sebagai tindak balas yang tidak dapat dikawal dimana badan akan mudah jatuh sakit.
  • Antaranya guru akan cepat demam, mudah sakit kepala atau migrain, mengalami sakit otot dan sakit belakang dan ramai juga yang akan mengalami gangguan sistem penghadapan sama ada terasa badan penuh angin atau sukar untuk membuang air besar.
  • Selain itu, guru juga akan mengalami masalah kurang tidur kerana mata sukar untuk dilelapkan. Sebab itu, ramai guru yang terpaksa mengambil ubat tidur.

2. Tanda besar burnout dari segi emosi

  • Guru yang burnout biasanya lebh suka untuk menyendiri.
  • Terdapat juga mereka yang tidak dapat fokus atau kurang daya tumpuan dalam melakukan sesuatu pekerjaan sama ada menaip, menulis atau mengajar.
  • Paling biasa, guru sudah tiada semangat dan tidak ada motivasi diri.
  • Mereka juga dilihat akan hilang keyakinan diri dan makin tidak suka akan kerjaya guru.
  • Guru yang mengalami burnout yang teruk akan sukar untuk mengawal perasaan dan jangan pelik jika ada guru yang dilihat akan mudah mengamuk untuk sesuatu perkara yang kecil.
  • Tidak kurang juga ada yang akan menjadi sensetif dan mudah tersentuh.

3. Tanda Burnout yang terakhir ialah perubahan tingkah laku

  • Guru pada saat ini sudah semakin tidak menjaga penampilan diri. Rambut kusut masai, pakai pakaian tidak bergosok juga salah satu tanda jelas.
  • Prestasi kerja guru akan mula menurun dan banyak kerja-kerja yang diberikan sudah tidak mampu untuk dibuat lagi. Ketika ini, ada guru yang memohon untuk mengundurkan diri dari setiap tugasan yang diberikan pentadbir.

3 Faktor Utama Menjadi Penyebab Berlakunya Burnout di Sekolah

1. Faktor Beban Kerja yang Berlebihan Kepada Guru

Beban kerja yang semakin hari semakin pelik dan berat nampaknya makin menjadi-jadi di kalangan institusi pendidikan. Budaya tidak sihat ini nampak berlaku kerana faktor-faktor yang jelas seperti kekurangan staf, pembahagian tugas yang tidak adil, ketidakbolehan rakan guru untuk melakukan sesuatu tugas dan ketidakadilan pentadbir dalam membahagi tugas.

Sebagai pentadbir, secara jelas mereka akan tahu guru mana yang boleh melakukan kerja, guru mana yang tidak boleh diharap dan guru mana yang kaki ampu. Biasanya yang paling menerima kesan buruk situasi ini ialah guru yang memang bermotivasi tinggi dan rajin bekerja.

Mungkin pada awalnya hanya 3,4 tugas yang diberikan, namun semakin lama pasti tugas-tugas sampingan akan datang dan beban kerja yang semakin bertambah inilah yang menyebabkan guru yang cemerlang tadi akan mengalami burnout.

2. Guru diberikan Tugas diluar Bidang dan Minat Mereka

Sebagai pentadbir, jangan ambil ringan kebolehan guru dalam melakukan sesuatu tugas. Pentadbir yang baik akan memastikan tugas diberikan mengikut kepakaran guru masing-masing. Sebagai contohnya, ada guru yang memang mahir dalam komputer dan ICT, maka tugas-tugas seperti ini wajar diberikan kepada mereka. Namun, pada waktu ini dilihat hampir semua tugas memerlukan kemahiran ICT, jadi adalah perlu untuk semua guru mahir asas-asas ICT agar tidak berlaku timbunan tugas kepada guru yang lebih mahir dalam ICT.

Selain itu, ada guru yang memang suka dan berbakat bila berada di padang terutama dalam sukan. Jika diberikan tugas untuk membentuk kemenjadian murid dalam sukan itu suatu yang perlu untuk guru tersebut, maka railah mereka dan berikan tugas melibatkan padang kepada mereka.

3. Peribadi dan Personaliti Guru

Setiap orang ada cara masing-masing dan keadaan ini memainkan peranan besar juga dalam berlakunya burnout. Guru atau pentadbir yang terlalu mementingkan kesempurnaan dalam semua tugasan juga akan memburukkan lagi masalah.
Target yang tinggi diletakkan untuk dicapai menjadikan guru tertekan dan akhirnya menjadi burnout.

Begitu juga dengan pentadbir, pentadbir perlu ada sikap ehsan kepada para guru dan tidak meletakkan kesempurnaan melampau kepada para guru dalam melakukan kerja. Ini akan menimbulkan persekitaran yang negatif, saling membenci dan sebagainya.

Bagaimana Cara Untuk Mengatasi Masalah Burnout di Sekolah?

Banyak sudah idea dan cadangan yang telah di war-warkan kepada para guru untuk dilakukan bagi mengatasi masalah burnout dalam diri masing-masing di sekolah. Antaranya ialah :

1. Banyakkan berehat dan minta cuti CRK jika tanda-tanda burnout mula muncul.
2. Lakukan aktiviti fizikal bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menenagkan jiwa.
3. Amalkan pemakanan yang seimbang dan pastikan guru tidur dengan cukup.
4. Kurangkan masa bersama gajet atau telefon bimbit sebaliknya banyakkan berkomunikasi dengan pasangan dan anak-anak.
5. Pastikan ada jadual khas dan tidak campur aduk kerja dengan kehidupan di rumah.

Pentadbir Orang Utama Memastikan Masalah Burnout di Sekolah Dapat di Kurangkan

Mungkin ramai yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju tetapi itulah hakikat yang jelas dapat dilihat dari perspektif seorang guru. Semua guru mendambakan barisan pentadbir yang hebat. Hebat bukan sahaja adil dalam pembahagian tugas tetapi mempunyai rasa belas ehsan, berperikemanusiaan dan bijak dalam membuat keputusan.

Pastikan ada ehsan dalam pemberian cuti CRK para guru, bertolak ansur dengan para guru dalam pelbagai perkara dan elakkan mengganggu “me time” atau “family time” para guru selepas waktu bekerja.

Ingat, pentadbir yang bijak dan disayangi semasa berkhidmat pasti akan tetapi disayangi semasa sudah pencen. Kalau masa jadi pentadbir orang dah benci, jangan sampai dah pencen nanti ada yang sedih bersendirian. Sama-sama bekerja sama antara guru dan pentadbir, insyaAllah masalah burnout akan dapat diatasi.

Namun begitu, masalah antara guru dan pentadbir yang tidak berkesudahan ini kerana sikap ingin menjadi napoleon kecil ini bukan satu-satunya asbab berlakunya burnout dalam kalangan guru. Isu lain seperti masalah peribadi, gagal egtukar, dan sebagainya juga antara faktor penyumbang yang besar dalam isu ini. Cuma dalam artikel kali ini kami ingin ketengahkan salah satu punca utama sahaja, nampaknya untuk punca utama lain kita mungkin akan ulas dalam artikel yang lain terutama mengenai nasib para guru yang gagal egtukar.

Sir Mohd Afizi
Sir Mohd Afizihttps://www.sistemguruonline.my/
Fulltime Writer at Sistem Guru Online. "There are two days in the year that we can't do anything, yesterday and tomorrow!"

Anda Mungkin Meminati