Ketahui Penyakit Darah Tinggi Hipertensi dan Cara-Cara untuk Merawatnya adalah perbincangan mengenai ilmu kesihatan yang kami persembahkan pada kali ini. Pada bahagian yang berikutnya, anda akan dapat mengetahui tentang penyakit darah tinggi dengan lebih mendalam.
Kenali Darah Tinggi Hipertensi
Isi Kandungan
- 1 Kenali Darah Tinggi Hipertensi
- 2 Bagaimana Tekanan Darah Tinggi Berlaku?
- 3 Cara Semulajadi Badan Mengawal Tekanan Darah
- 4 Cara Membaca Tekanan Darah dan Maksud di Sebaliknya
- 5 Adakah Penyakit Darah Tinggi Sering Berlaku?
- 6 Perkara yang Menyumbang kepada Kenaikan Penyakit Hipertensi di Seluruh Dunia
- 7 Jenis-Jenis Tekanan Darah Tinggi
- 8 Faktor-Faktor Tekanan Darah Tinggi Berlaku
- 9 Merokok dan Darah Tinggi Hipertensi
- 10 Cara-Cara untuk Mengenal Pasti Jika Mempunyai Penyakit Darah Tinggi Hipertensi
- 11 Awas Tekanan Darah yang Sangat Tinggi
- 12 Bagaimanakah Cara untuk Mengawal Tekanan Darah Tinggi?
- 13 Ubat-Ubat untuk Merawat Penyakit Tekanan Darah Tinggi
Penyakit Darah Tinggi Hipertensi (High Blood Pressure) atau lebih dikenali sebagai Hipertensi (HT atau HTN) merupakan penyakit jangka masa panjang yang disebabkan oleh tekanan darah di dalam bahagian arteri meningkat secara berterusan. Penyakit ini biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala yang signifikan kepada pesakit.
Namun begitu, kesan jangka masa panjang bagi penyakit darah tinggi boleh meningkatkan risiko hadirnya pelbagai penyakit berbahaya lain seperti strok, penyakit koronari arteri, fibrilasi atrium (gangguan irama jantung berterusan), penyakit arteri periferi, kegagalan fungsi jantung, penyakit buah pinggang kronik, hilang daya penglihatan dan demensia (masalah berkaitan daya ingatan).
Bidang kajian bagi penyakit hipertensi ini merupakan salah satu cabang yang terdapat di dalam perubatan atau lebih spesifiknya dikenali sebagai bidang kardiologi (kajian berkaitan masalah jantung dan sistem peredaran darah).
Bagaimana Tekanan Darah Tinggi Berlaku?
Setiap kali jantung berdenyut, darah akan dipam melalui rangkaian saluran darah dan seterusnya tersebar ke seluruh tubuh badan. Tekanan darah iaitu blood pressure (BP) akan terhasil apabila berlakunya penekanan darah pada dinding arteri (salur darah). Sekiranya tekanan darah yang berlaku itu melebihi paras yang biasa dan selamat, maka akan berlaku masalah penyakit darah tinggi atau dalam istilah perubatannya ialah hipertensi.
Cara Semulajadi Badan Mengawal Tekanan Darah
Badan manusia sememangnya mempunyai kebolehan dalam meningkatkan atau menurunkan tekanan darah (blood pressure – BP) dengan menggunakan mekanismenya yang tersendiri. Cara semulajadi ini dikawal oleh organ jantung dan buah pinggang. Berikut merupakan contoh situasi yang boleh menyebabkan berlakunya peningkatan atau penurunan tekanan darah yang dikawal oleh sistem di dalam badan:
Situasi 1: Untuk meningkatkan tekanan darah
- Organ jantung akan berdegup dengan lebih cepat atau lebih kerap untuk meningkatkan aliran darah di dalam arteri.
- Arteri kecil boleh menjadi lebih sempit untuk memaksa darah mengalir dalam kawasan yang sempit.
- Vena juga boleh mengecut untuk memaksa darah agar cepat untuk masuk ke dalam arteri.
Situasi 2: Untuk menurunkan tekanan darah
- Pada keadaan ini, jantung tidak akan berdegup dengan cepat dan kerap.
- Arteri kecil juga akan menjadi lebar.
- Vena turut melebar bentuknya.
Disebabkan mekanisme semulajadi seperti ini berlaku di dalam badan, kita semua pasti pernah merasai peningkatan tekanan darah yang sementara seperti ketika sedang memecut berlari atau sedang berasa marah. Hal ini dapat mencerminkan bahawa organ-organ di dalam badan mampu bertindak balas terhadap perubahan yang berlaku dan sentiasa memastikan tekanan darah sentiasa kekal pada tahap yang normal. Jika organ di dalam badan gagal untuk mengekalkan tekanan darah pada tahap optimum, anda akan berdepan masalah kesihatan yang serius.
Cara Membaca Tekanan Darah dan Maksud di Sebaliknya
Untuk mengukur tekanan darah manusia, mesin sfigmomanometer diperlukan. Mesin ini turut dikenali sebagai meter tekanan darah atau tolok tekanan darah. Mesin sfigmomanometer merupakan suatu alat yang digunakan untuk mengukur tekanan darah yang terdiri daripada manset boleh kembung untuk menguncup dan kemudian membebaskan arteri di bawah manset dalam cara terkawal dan manometer raksa (aneroid) untuk mengukur tekanan.
Selepas proses mengukur tekanan darah selesai dengan menggunakan mesin sfigmomanometer, hasil bacaan tekanan darah akan dipaparkan. Bacaan tekanan darah (blood pressure – BP) terdiri daripada dua set nombor yang dipisahkan dengan garis condong (slash) contohnya 120/80 mmHg (mmHg dibaca sebagai milimeter merkuri).
Nombor pertama dipanggil sebagai tekanan darah sistolik yang merujuk kepada tekanan yang berlaku apabila jantung mengecut. Manakala nombor kedua selepas garis condong (slash) ialah tekanan darah diastolik yang merujuk kepada tekanan apabila jantung mengendur di antara denyutan. Jadual di bawah memaparkan kategori tekanan darah bagi golongan dewasa yang berumur 18 tahun ke atas:
Kadar bacaan untuk tekanan darah yang sihat adalah di bawah 130 (sistolik) dan/atau di bawah 85 (diastolik). Bagi anda yang mempunyai tekanan darah sekitar 130 – 139 (sistolik) dan/atau 85 – 89 (diastolik), anda hendak berjaga-jaga kerana pada keadaan ini mungkin petanda awal bahawa anda sedang mengalami pra-hipertensi. Jika bacaan melebihi 140 (sistolik) dan/atau 90 (diastolik), anda ketika ini berisiko atau sudah menghidap penyakit hipertensi seperti yang terdapat dalam jadual di atas.
Adakah Penyakit Darah Tinggi Sering Berlaku?
Berdasarkan statistik yang diperoleh, terdapat seramai 1 bilion orang di dunia mempunyai tekanan darah tinggi. Perkara ini dilihat sering berlaku di negara-negara yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana berbanding dengan negara-negara berpendapatan tinggi. Hal ini demikian kerana, kekurangan alatan yang canggih telah menyebabkan ramai masyarakat tidak dapat didiagnos, dirawat dan mempunyai tekanan darah yang tinggi sehingga tidak terkawal. Kesannya, seramai 9 juta kematian berlaku pada setiap tahun akibat daripada komplikasi tekanan darah tinggi (high blood pressure).
Berbeza dengan keadaan yang berlaku di Malaysia, 30.5% orang dewasa mempunyai tekanan darah tinggi dan 3 daripada 5 orang tersebut tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit ini. Kadar bilangan orang yang mempunyai tekanan darah tinggi meningkat seiring dengan kenaikan umur. Kebanyakan yang menghidap penyakit ini adalah berumur sekitar 70 – 74 tahun (75.4%). Jika dilihat dari sudut demografi penduduk, pesakit hipertensi di kawasan luar bandar adalah lebih tinggi iaitu sebanyak 33.5% berbanding dengan 29.3% bagi penduduk di bandar. Kadar bilangan penyakit ini juga tidak mempunyai perbezaan bagi gender lelaki dan wanita.
Perkara yang Menyumbang kepada Kenaikan Penyakit Hipertensi di Seluruh Dunia
Terdapat banyak perkara yang menyumbang kepada kenaikan penyakit hipertensi di seluruh dunia, antaranya disebabkan oleh:
- Perkembangan populasi penduduk.
- Diet pemakanan yang tidak sihat.
- Umur penduduk yang semakin meningkat (terdedah kepada penyakit).
- Gaya hidup yang tidak sihat dan tidak aktif.
- Mempunyai tabiat meminum arak secara berlebihan.
- Tekanan (stres)
- Obesiti
Jenis-Jenis Tekanan Darah Tinggi
Penyakit tekanan darah tinggi atau hipertensi mempunyai jenis-jenisnya seperti:
1. Hipertensi Primer
Tekanan darah tinggi jenis ini biasanya berlaku tanpa sebab yang tertentu. Penyakit jenis hipertensi primer dihidap oleh 85% hingga 95% individu yang mempunyai tekanan darah tinggi. Meskipun tidak diketahui punca kenaikan darah tinggi berlaku, namun ia mungkin disebabkan oleh gabungan perubahan di dalam jantung dan saluran darah. Perubahan yang dimaksudkan dalam konteks ini termasuklah jumlah darah yang dipam bertambah, saluran darah mengecut, jumlah garam (Na) dalam badan berlebihan atau kekurangan bahan-bahan yang boleh mengembangkan arteri kecil.
2. Hipertensi Sekunder
Individu-individu yang mengetahui penyebab mereka menghidap tekanan darah tinggi dikatakan mempunyai hipertensi sekunder. Penyakit jenis ini selalunya disebabkan oleh masalah buah pinggang. Hal ini demikian kerana, buah pinggang memainkan peranan yang sangat penting dalam mengawal tekanan darah. Namun begitu, hipertensi sekunder juga boleh berlaku disebabkan oleh gangguan hormon dan penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti pil pencegah kehamilan.
Faktor-Faktor Tekanan Darah Tinggi Berlaku
Pelbagai faktor yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi berlaku kepada seseorang dan faktor-faktor ini boleh dipecahkan kepada 3 kategori iaitu:
1. Faktor Penentu dan Dorongan Sosial
- Persekitaran tidak sihat disebabkan urbanisasi yang cepat dan tidak terancang mendorong kepada gaya hidup tidak sihat.
- Pengerasan saluran darah akibat daripada proses penuaan seseorang juga boleh menyumbang kepada masalah hipertensi ini.
- Pendapatan, pendidikan dan perumahan merupakan penentu kesihatan sosial kerana ia menyumbang kepada masalah tingkah laku seperti pertengkaran dan sebagainya yang boleh memicu kepada penyakit tekanan darah tinggi.
2. Faktor-Faktor Risiko
- Pengamalan diet yang tidak sihat seperti banyak mengambil makanan yang tinggi dengan garam (Na) dan lemak. Pengurangan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan juga mendorong kepada penyakit hipertensi ini.
- Tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal atau kurang bersenam seperti berjalan kaki, berjoging, berbasikal, berenang dan lain-lain.
- Pengurusan tekanan (stres) yang tidak baik juga merupakan salah satu faktor risiko bagi penyakit tekanan darah tinggi.
- Kerap menghisap rokok atau menggunakan produk tembakau dalam kehidupan seharian.
- Menggunakan alkohol dengan berbahaya sehingga menyumbang kepada masalah penyakit hipertensi.
3. Faktor Lain
- Mempunyai bawan genetik atau sejarah keluarga yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi.
- Tekanan darah tinggi biasa berlaku sewaktu proses kehamilan dan perkara ini dikenali sebagai praeklampsia.
- Penyebab sekunder seperti penyakit buah pinggang, penyakit endokrin dan kecacatan pembentukan saluran darah boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Penyakit-penyakit sebegini perlu diperiksa secara teliti terutamanya kepada golongan umur di bawah 40 tahun.
Merokok dan Darah Tinggi Hipertensi
Seperti yang telah dinyatakan pada bahagian faktor-faktor risiko di atas, tabiat merokok sememangnya antara penyebab Darah Tinggi Hipertensi. Semasa merokok, tekanan darah akan naik untuk sementara waktu dan keadaan ini akan meningkatkan risiko kerosakan pada arteri. Tabiat Merokok secara berterusan juga akan merangsang pengecutan dan pengerasan arteri seseorang. Lebih buruk lagi, kesannya akan kekal selama satu dekad meskipun telah berhenti merokok.
Kandungan tembakau dalam rokok dapat memberikan kesan buruk seperti mendapat komplikasi kardiovaskular sekunder. Perokok akan berhadapan dengan masalah serangan jantung, strok dan memburukkan lagi kerosakan pada buah pinggang. Keburukan rokok tidak berhenti di situ sahaja, asap rokok mampu mengakibatkan penyakit jantung kepada golongan yang tidak merokok jika mereka menghidunya. Oleh hal yang demikian, anda disarankan untuk berhenti merokok bagi tujuan mengawal tekanan darah sekaligus untuk menjaga kesihatan diri sendiri dan orang sekeliling.
Cara-Cara untuk Mengenal Pasti Jika Mempunyai Penyakit Darah Tinggi Hipertensi
Penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi) biasanya tidak mempunyai sebarang simptom. Cara yang terbaik untuk mengesan tekanan darah tinggi adalah dengan mengawasi bacaan tekanan darah. Anda hendaklah memeriksa tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali kerana fenomena tekanan darah tinggi boleh berlaku tanda ada apa-apa petanda.
Berikut adalah contoh situasi dan cara-cara untuk mengenal pasti penyakit darah tinggi:
- Tiada Tekanan Darah Tinggi – Anda hendaklah melakukan pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
- Apabila Umur Semakin Meningkat – Anda dinasihatkan untuk memeriksa setiap tahun tekanan darah kerana risiko penyakit darah tinggi meningkat selari dengan umur.
- Tekanan Darah Lebih Tinggi dari Paras Normal – Anda mestilah membuat pemeriksaan tekanan darah semula dalam masa 3 hingga 6 bulan.
Awas Tekanan Darah yang Sangat Tinggi
Jika anda mendapat bacaan Darah Tinggi Hipertensi (blood pressure – BP) yang sangat tinggi, anda mungkin akan mengalami simptom-simptom berikut:
- Penglihatan menjadi kabur
- Hidung berdarah
- Kesakitan di bahagian dada dan sesak nafas
- Berasa loya dan muntah
- Sakit kepala
- Kelesuan dan berasa gelisah
Bagaimanakah Cara untuk Mengawal Tekanan Darah Tinggi?
Langkah pertama untuk mengawal Darah Tinggi Hipertensi (blood pressure – BP) ialah dengan mengubah gaya hidup. Untuk sesetengah orang, perubahan gaya hidup boleh mengawal tekanan darah dengan baik dan dapat mengurangkan kebergantungan untuk mengambil ubat-ubatan. Berikut merupakan cara-cara yang boleh diambil untuk menurunkan tekanan darah tinggi:
1. Mengurangkan berat badan
Berat badan yang berlebihan akan meningkatkan pelbagai masalah kesihatan seperti hipertensi dan penyakit kardiovaskular. Oleh itu, anda haruslah menurunkan berat badan sehingga ke tahap BMI (Body Mass Index) yang ideal.
2. Hadkan Pengambilan Alkohol
Pengambilan Alkohol yang berlebihan akan memberikan kesan negatif. Anda dinasihati untuk mengehadkan pengambilan alkohol iaitu tidak melebihi 30ml etanol setiap hari untuk lelaki atau 15ml etanol setiap hari untuk wanita dan mereka yang mempunyai berat badan yang ringan.
3. Kurangkan Pengambilan Garam
Pengambilan garam harian hendaklah kurang daripada 5g (1 sudu teh) setiap hari.
4. Amalkan Pemakanan yang Sihat
Mengamalkan pemakanan yang sihat seperti banyak memakan buah-buahan, sayur-sayuran, produk tenusu (kurang lemak/tanpa lemak) dan tidak memakan makanan yang tinggi dengan lemak.
5. Memastikan Nutrien yang Diperlukan oleh Badan Mencukupi
Pastikan pengambilan nutrien setiap hari mengandungi potasium (K), kalsium (Ca), dan magnesium (Mg) yang mencukupi.
6. Berhenti Merokok
Berhenti merokok merupakan salah satu cara untuk menurunkan paras sistolik dan mengelakkan pengerasan arteri.
7. Melakukan Senaman Aerobik
Pastikan membuat senaman aerobik seperti berjoging dan berjalan pantas sekurang-kurangnya sebanyak 30 minit sehari.
Ubat-Ubat untuk Merawat Penyakit Tekanan Darah Tinggi
Jika perubahan gaya hidup yang telah anda lakukan di atas masih tidak dapat membantu menurunkan tekanan darah, anda memerlukan pengambilan ubat atas nasihat daripada pakar perubatan atau doktor. Terdapat banyak jenis ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi). Ubat-ubat yang digunakan untuk merawat penyakit ini dipanggil sebagai ubat antihipertensi. Antaranya ialah:
- Diuretik
Kadangkala dipanggil sebagai ‘pil air’ yang boleh membantu buah pinggang mengeluarkan sodium (Na) dan air dari badan. Ubat ini biasanya akan menyebabkan orang sering membuang air kecil.
- Beta Blocker
Ubat ini membantu untuk membuka saluran darah dan membuat jantung dapat berdenyut dengan lebih perlahan dan kurang daya untuk mengepam.
- ACE Inhinitors
Membantu saluran darah mengendur dengan menyekat pembentukan bahan kimia yang dibuat oleh badan untuk menyempitkan saluran darah.
- Angiotensin II Receptor Blockers – ARBs
Ubat jenis ini mempunyai fungsi yang seakan sama dengan ubat ACE Inhinitors.
- Calcium Channel Blockers – CCBs
Membantu saluran darah mengendur. Jika anda mengambil ubat jenis ini anda seeloknya berbincang dengan doktor mengenai makanan yang perlu dielakkan seperti jus limau gedang dan sebagainya.
- Renin Inhibitor
Ubat jenis ini dapat memperlahankan penghasilan enzim renin. Ubat Renin Inhibitor tidak boleh diambil sekali dengan ACE Inhinitors dan Angiotensin II Receptor Blockers – ARBs.
Akhir kata, semoga perkongsian mengenai Ketahui Penyakit Darah Tinggi Hipertensi dan Cara-Cara untuk Merawatnya dapat memberikan pengetahuan yang lebih kepada anda tentang penyakit ‘pembunuh senyap’ ini. Oleh itu, anda hendaklah sentiasa menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat agar terhidar daripada penyakit hipertensi. Kesihatan itu merupakan suatu nikmat dan kita janganlah mensia-siakannya. Bagi anda yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi ini, kami mendoakan agar anda sentiasa tidak putus asa dalam mencari penawar dan mudah-mudahan anda akan disembuhkan olehNya.