KPM Mansuhkan Cuti Penggal?
Ramai yang memohon agar KPM Mansuhkan Cuti Penggal dan ini berlaku semenjak negara dilanda wabak covid-19, proses pembelajaran dan pengajaran dijalankan di rumah dalam tempoh yang panjang untuk membantu mengurangkan penularan wabak ini. Namun, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membuka sesi persekolahan bagi melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka.
Sepanjang sesi persekolahan ini, negara masih mencatatkan angka kes pesakit covid-19 yang tinggi dan perkara ini menjadi kebimbangan bagi pihak ibu bapa tentang keselamatan anak-anak mereka. Seperti yang berlaku pada sesi persekolahan tahun 2020, terdapat lebih daripada 1,000 pelajar sekolah dijangkiti wabak covid-19 dan melibatkan tiga sekolah di Negeri Sembilan dan Johor, dua buah sekolah di Kuala Lumpur, sebuah sekolah di Pulau Pinang, Melaka, Putrajaya dan Sarawak.
Walaupun dengan pelaksanaan SOP yang ketat, kita masih tidak mampu untuk mengawal penularan wabak ini dengan baik sebagai contoh pada bulan Februari 2021, negara merekodkan seramai 41 pelajar calon SPM sekolah berasrama telah disahkan positif di Machang, Kelantan. Pemansuhan cuti penggal yang dinyatakan oleh pihak Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MIMBAR) perlulah dipertimbangkan daripada aspek keselamatan pelajar.
Pelajar juga dapat mengulangkaji pelajaran walaupun cuti penggal berlangsung kerana pada masa kini, terdapat pelbagai medium pendidikan yang telah disediakan oleh pihak sekolah dan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) .
Antara contoh medium terbaru yang disediakan oleh pihak KPM ialah Didik TV yang telah mula beroperasi pada 17 Februari 2021 yang lalu. Didik TV ini bermula pada 7 pagi sehingga 12 tengah malam dan menyediakan program pengajaran pelbagai subjek untuk sekolah menengah dan juga sekolah rendah serta memberikan peluang kepada pelajar yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan capaian internet agar tidak ketinggalan dalam mengakses bahan pembelajaran.
Sebelum cuti penggal bermula, guru-guru tentunya telah mengambil inisiatif dalam memastikan para pelajarnya sentiasa mengulangkaji pelajaran dengan menyediakan bahan-bahan serta latihan-latihan intensif untuk para pelajar. Dengan adanya bahan-bahan ini, pelajar dapat mengulangkaji pelajaran walaupun tidak berada di sekolah. Jika pelajar ingin bersemuka dengan guru, ianya boleh dilakukan secara atas talian iaitu melakukan perbincangan menggunakan aplikasi-aplikasi komunikasi seperti Whatsapp, Telegram dan sebagainya. Teknologi pada masa kini jangan hanya dihadkan bagi tujuan hiburan tetapi gunakanlah teknologi untuk tujuan pendidikan. Jadi, ibu bapa dan guru tidak perlu risau dengan keadaan pelajar apabila tibanya cuti persekolahan.
Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah melaksanakan penjajaran kandungan kurikulum pendidikan bagi tujuan menjamin kesinambungan pembelajaran murid yang terkesan akibat penutupan sekolah. Penggubalan Dokumen Penjajaran Kurikulum ini turut memudahkan para guru untuk menyesuaikan keadaan pembelajaran dan pengajaran dengan keadaan pandemik sekarang. Jadi, dengan pelaksanaan cuti penggal ini ia tidak akan mengganggu pelan pendidikan guru kerana telah digubal mengikut situasi pada masa ini. Justeru secara tidak langsung dapat mengubah semula perjalanan takwim persekolahan seperti tahun-tahun yang lepas.
Sudah menjadi kelaziman, apabila tibanya cuti persekolahan ibu bapa akan membawa anak-anak ke pusat-pusat pelancongan. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam pemulihan ekonomi setempat. Tambahan pula, kerajaan telah membuka sempadan daerah dan ini memudahkan ibu bapa untuk membawa anak-anak bagi mengurangkan tekanan setelah sekian lama menjalani sesi persekolahan.
Setelah topik ini dibincangkan, apakah pendapat anda sebagai ibu bapa mahupun guru. Adakah wajar cuti penggal ini dimansuhkan?
Sebelum ini, kami ada kongsikan beberapa bahan asas untuk kemudahan pada guru:
- Pembahagi Fail Rancangan Pengajaran Harian (RPH) Hari Kelepasan Am Persekutuan 2021
- Modul Latihan Badminton untuk Guru
- Fail Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Anda juga boleh mendapatkan informasi terkini di laman rasmi Sistem Guru Online.