Teks Perutusan Hari Guru 2018. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Alhamdulillah, dapat juga admin kongsikan teks perutusan bagi sambutan Hari Guru tahun 2018.
Teks perutusan ini adalah daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia:
Dapatkan “Teks Perutusan Hari Guru 2018” di sini
Isi Kandungan
Di sini admin nak kongsikan bahan tersebut. Sila download menggunakan link yang telah disediakan.
Format dokumen ini adalah dalam ‘PDF’
Download : Teks Perutusan Hari Guru 2018
TEKS PERUTUSAN HARI GURU TAHUN 2018
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
TEMA:
“GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN”
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Tuan-tuan, puan-puan, warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,
PENDAHULUAN
- Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul untuk menyambut Hari Guru 2018 yang bertemakan “Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”. Saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik tidak kira walau di mana sahaja anda bertugas di seluruh pelosok negara.
Terima Kasih Cikgu!
TEMA SAMBUTAN HARI GURU 2018
- Tema Sambutan Hari Guru tahun ini membuktikan bahawa dalam menjayakan Transformasi Pendidikan Negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, guru merupakan agen utama dalam memperteguh transformasi pendidikan ke arah merealisasikan Wawasan 2020. Guru memainkan peranan penting bagi memastikan agenda transformasi negara tercapai dengan pantas dan berkesan melalui keberhasilan modal insan yang bersedia mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
- Tema Hari Guru 2018, iaitu ‘Guru Pemacu Transformasi Pendidikan’ telah dilancarkan pada 23 Mac 2018. Tema ini bertepatan dengan peranan guru sebagai agen yang mampu membawa perubahan dalam dunia pendidikan kepada pembaharuan yang lebih cemerlang. Tema ini membawa erti besar yang bermaksud guru berada di barisan hadapan bagi menjayakan pelan transformasi pendidikan negara. Maka, sewajarnya guru berperanan sebagai pemacu transformasi yang berganding bahu dengan ibu bapa dan komuniti bagi menggerakkan program pendidikan yang bermatlamat untuk meningkatkan keberhasilan murid.
- Konsep Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 ini menumpukan kepada usaha menggerakkan gelombang guru di seluruh pelosok negara untuk bersama-sama Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Perayaan ini merupakan platform untuk lebih merapatkan perpaduan barisan para guru seluruh negara dalam mendokong aspirasi nasional menerusi bidang pendidikan.
- Sesungguhnya di sanubari setiap guru sentiasa tersemat satu iltizam perubahan untuk melahirkan insan yang cemerlang. Akal budi murid terus dibangunkan dan diperkukuh, rohani murid dibimbing dan diperteguh, emosi murid dibelai dan disentuh, sahsiah murid dipimpin dan diasuh, jasmani murid dicergaskan dan disegarkan, hinggalah seluruh potensi murid disuburkan dan dimajukan. Syabas semua guru! Peranan guru sebagai pemacu transformasi pendidikan negara amat bertepatan bahkan terus disanjung, dijulang dan berkekalan selamanya.
Hadirin dan hadirat sekalian,
SAMBUTAN HARI GURU 2018
- Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pada tahun ini, kita dapat menyambut Hari Guru kali ke-47 bersama-sama seluruh rakyat Malaysia. KPM menerusi Jawatankuasa Pengelola Perayaan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan telah membuat transformasi penganjuran sambutan dengan melibatkan pelbagai pihak khususnya kumpulan penggerak ibu bapa, komuniti dan juga pihak swasta untuk menzahirkan secara terbuka dan mengucapkan “terima kasih cikgu” agar guru rasa dihormati dan dihargai.
- KPM turut mengatur pelbagai program dan aktiviti menarik bagi memastikan Perayaan Sambutan Hari Guru lebih meriah dan mencapai objektifnya. Antara program yang telah dilaksanakan bagi menyemarakkan dan menghangatkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ialah Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan, Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Ikon Guru, Anugerah Guru Cemerlang, Forum Mengenai Kemenjadian Murid, Acara Sukan serta Majlis Solat Hajat, Bacaan Tahlil dan Yasin.
Hadirin dan hadirat sekalian,
PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH CIKGU
- KPM amat berbangga dan berterima kasih atas jasa guru dan sumbangan yang dicurahkan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Walaupun memikul tanggungjawab mengajar dan mendidik di sekolah, para guru turut memberi komitmen sepenuhnya bagi menjayakan pelbagai aktiviti dan program pendidikan dalam dan luar negara. Penyertaan para guru dan murid dalam pelbagai pertandingan telah berjaya merangkul banyak anugerah dan pingat sehingga mengharumkan nama negara. Antara pencapaian cemerlang ialah penyertaan atlet murid dan guru dalam Kejohanan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017 Kuala Lumpur yang berjaya menyumbang pungutan pingat emas terbaik kepada negara. Kejayaan cemerlang dalam kejohanan sukan tersebut membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet bertaraf dunia. Lebih membanggakan, sebilangan besar atlet yang terlibat dalam kejohanan ini adalah dalam kalangan atlet murid dan guru. Syabas dan tahniah kepada semua!
- Kita turut menyaksikan kejayaan guru dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pencapaian sekolah yang menjuarai pelbagai anugerah. Tahniah dan syabas diucapkan kepada guru yang telah berjaya dinobatkan sebagai calon Anugerah Guru Global 2018 anjuran Yayasan Varkey, London, United Kingdom, para guru yang menerima Anugerah Community Award for Citizenship di Majlis Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards 2018, dan juga atlet Sukan Goalball Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang turut memenangi pingat emas dalam Sukan Para ASEAN kali ke-9. Kita juga berbangga atas kejayaan guru yang memenangi pingat emas sempena Pameran Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition dalam Majlis Thailand Inventor Day 2018. Sesungguhnya terdapat banyak lagi kejayaan guru dan murid yang tidak dapat disenaraikan satu persatu di sini. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat!
- Kita berasa bangga kerana pengiktirafan antarabangsa diberi bukan hanya kepada Kementerian, tetapi juga pengiktirafan terhadap kejayaan anak-anak dan guru-guru kita di peringkat dunia. Sememangnya jasa guru amat dihargai kerana berusaha untuk membimbing dan melatih pasukan murid hingga berjaya ke peringkat antarabangsa dalam bidang akademik dan kokurikulum. Jelas di sini, hasil usaha gigih dan komitmen yang jitu oleh para guru telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan hal ini pasti memberi inspirasi kepada rakan-rakan guru dan murid yang lain.
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025
- Sesungguhnya guru merupakan penggerak utama inisiatif pembangunan pendidikan dalam mendepani cabaran transformasi pendidikan negara berlandaskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Sepanjang lima tahun lalu, kita telah berjaya melalui fasa transformasi yang mencabar dalam pelaksanaan PPPM yang menuntut kebijaksanaan dan kewajaran untuk menggunakan sumber sedia ada secara optimum.Justeru, KPM terus kekal memberikan keutamaan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelaksanaan semua dasar dan inisiatif pendidikan supaya sasaran akhir untuk memacu peningkatan sistem pendidikan dalam Gelombang 2 PPPM 2013-2025 dapat direalisasikan.
- Seperti yang kita semua telah sedia maklum, PPPM dirangka berasaskan Aspirasi Murid yang memperincikan enam ciri utama yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing pada peringkat global dan lima Aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia. Dalam Gelombang 2 ini, sebanyak 19 inisiatif utama dan 8 inisiatif sokongan telah disusun sejajar dengan pencapaian yang telah diraih semasa di Gelombang 1.
- Pencapaian ini melambangkan usaha seluruh warga KPM yang tidak berbelah-bahagi serta komitmen yang berterusan demi melestarikan serta memartabatkan sistem pendidikan negara. Sekali lagi, hal ini menunjukkan keupayaan dan kemampuan warga KPM baik di peringkat pusat, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), institusi dan sekolah dalam menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang. Syabas dan tahniah kepada semua warga pendidikan!
Hadirin dan hadirat sekalian,
PEMBELAJARAN ABAD KE-21
- Keseimbangan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek di samping kemahiran personel dan interpersonel dalam pendidikan dapat menyediakan generasi masa hadapan seiring dengan perubahan landskap pendidikan tinggi dan cabaran abad ke-21. Konsep Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Abad ke-21 menerapkan pembelajaran yang kondusif, terbuka, interaktif, menarik dan berpusatkan murid. Proses pembelajaran abad ke-21 yang berpusatkan murid adalah berteraskan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kreatif serta aplikasi nilai murni dan etika.
- Keberkesanan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dalam meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran insaniah dalam kalangan murid bergantung kepada kemahiran strategi guru dalam menggemblengkan fakta, pengetahuan dan kemahiran yang ingin diterapkan kepada murid dalam pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan pelbagai alat dalam pendidikan – alat bukan ICT dan alat ICT. Salah satu kaedah memanfaatkan peralatan ICT sebagai pengupaya pembelajaran adalah melalui penyediaan Bilik Darjah Pintar bagi meningkatkan pembelajaran berasaskan pemikiran kreatif dan inovatif.
REVOLUSI PERINDUSTRIAN KEEMPAT (IR 4.0)
- Guru adalah penjana yang mampu menyediakan modal insan negara yang berdaya saing dan sama taraf dengan negara maju yang lain di dunia. Maka, dalam merealisasikan Pendidikan Abad Ke-21 sejajar dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) ini, guru bukan sahaja umpama lilin yang memberi cahaya kepada anak didiknya, malah bertindak sebagai peranti perubahan dan perisian ilmu yang boleh dikongsikan dalam era gajet yang pantas ditular sesama rakan guru, warga sekolah, PPD, JPN dan Kementerian.
- Guru adalah pencetus pelbagai usaha perubahan khasnya PdPc guru kepada murid yang lebih kreatif dan inovatif. Langkah ini dapat meningkatkan kemahiran murid dan menyediakan modal insan yang seiring dengan ledakan IR 4.0. Selain itu, Inisiatif Perkukuhan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan diteruskan dan diperkasakan lagi pada tahun 2018 untuk menyediakan tenaga kerja yang mahir selaras dengan teknologi IR 4.0.
Warga pendidik yang diraikan sekalian,
HARAPAN
- Pelbagai penambahbaikan yang telah diterima oleh golongan guru diharap dapat memberi suntikan semangat agar guru sentiasa bersedia menerima perubahan dan berani meneroka idea dan inovasi baharu, melaksanakan tugas dengan efektif, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi. Guru juga berperanan membentuk murid agar berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baharu, mempunyai daya tahan dan berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang dinamik. Di samping itu, selaku warga pendidik, kita perlu melestarikan pembangunan profesionalisme keguruan melalui nilai tambah dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan amalan profesional keguruan bagi menyokong usaha pelaksanaan transformasi pendidikan negara.
- Saya yakin tanggungjawab berat yang digalas oleh para guru dan pelbagai cabaran yang harus dihadapi tidak sedikit pun melunturkan rasa kasih sayang kepada anak-anak didik semua. Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah permata yang menunggu untuk digilap hingga bergemerlapan yang akhirnya membentuk individu berdaya saing, berfikiran logik, berbudi pekerti mulia dan berjati diri kukuh sebagaimana yang dihasratkan dalam Rukun Negara.
- Besarlah harapan saya agar kita semua dapat terus melaksanakan amanah yang diberikan dengan tulus dan ikhlas, berpegang teguh kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan bertunjangkan integriti serta etika perkhidmatan awam. Sebagai Guru Malaysia yang berkemahiran melalui skim latihan profesional keguruan, guru menjadi pemangkin kepada penerokaan baharu dalam PdPc semasa sesi pembelajaran dalam kelas mahupun luar kelas selari dengan pendidikan abad ke-21. Sebagai individu yang berintegriti, guru merupakan rakan pembimbing murid dalam meneroka pelbagai bidang ilmu. Sesungguhnya setiap ilmu yang baik itu jika dimanfaatkan akan dikurniakan rahmat sepanjang hayat di dunia dan di akhirat kelak.
Teruskanlah tugasmu wahai guru, “Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”.
Para pendidik yang dikasihi sekalian,
PENUTUP
- Kita sebagai seorang guru dan pemimpin anak bangsa, seharusnya menjaga keperibadian dan menjadi contoh kepada insan lain dengan mengamalkan ilmu yang tersemat di dada. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik sesungguhnya mempunyai kedudukan mulia yang tersendiri dalam masyarakat, sentiasa disegani dan dipandang tinggi. Perjuangan guru tetap berterusan dan merupakan satu perjuangan ilmu yang mencabar. Jadi, teruskanlah khidmat baktimu yang mulia ini. Terima kasih Cikgu dan sekali lagi saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru.
- Akhir kata, saya sudahi dengan dua rangkap pantun:
Para guru harapan negara bangsa,
Memacu perubahan pendidikan diperkasa;
Timbunan budimu mahkota jasa,
Takkan dilupa dalam ingatan sentiasa.
Pengetua dan Guru Besar pemimpin ilmu,
Transformasi dibudaya timba pengetahuan;
Selamat menyambut perayaan hari guru,
Guru Pemacu Transformasi Pendidikan.
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian. Terima kasih.
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA 16 MEI 2018
Penutup
Semoga perkongsian pada kali ini iaitu Teks Perutusan Hari Guru 2018 memberikan manfaat buat kita semua. Teruskan menyokong kami di Sistem Guru Online, Komuniti Pendidikan Malaysia.