Akaun Tabung Harapan Malaysia. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada kali ini, admin berkongsi berkaitan salah satu perkembangan terkini daripada Kementerian Kewangan Malaysia, iaitu penubuhan Akaun Tabung Harapan Malaysia.
Pengenalan
Isi Kandungan
Berdasarkan kepada perkembangan semasa ekonomi negara dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, wujud kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu Kerajaan. Rakyat secara sukarela ingin berkongsi pendapatan mereka dengan menyalurkan derma dan sumbangan ikhlas mereka kepada Kerajaan bagi menangani isu tersebut.
Sehubungan ini, bagi membolehkan derma dan sumbangan tersebut diuruskan secara sistematik dan telus satu tabung amanah yang dikenali sebagai Tabung Harapan Malaysia (THM) ditubuhkan dan diuruskan oleh Kementerian Kewangan .
Derma dan sumbangan yang boleh dihulurkan adalah dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja . Sumbangan kepada THM boleh disalurkan melalui akaun Malayan Banking Berhad: 566010626452 .
Bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan dan segala sumbangan ikhlas rakyat Malaysia dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa.
- Updated 2/7/2018 : TERBARU Cuepacs Cadang Potong Gaji Kakitangan Awam untuk Tabung Harapan
AMARAN! Awas Kepada Nombor Akaun Tabung Harapan Malaysia yang Palsu
Sedang viral sekarang ada mereka yang tidak bertanggungjawab telah viralkan 1 gambar nombor akaun palsu bagi Tabung Harapan Malaysia ini. Jadi hati-hati ya semua dan jangan tertipu!
Hal ini turut mendapat respon dari pihak kerajaan Malaysia dengan pantas sekali.
‘Tabung Harapan Malaysia’ untuk rakyat bantu pulih kewangan negara – PM
Kerajaan akan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia untuk menerima dana daripada rakyat yang ingin membantu kedudukan kewangan kerajaan.
Perkara itu diumumkan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu sidang media khas yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri, sebentar tadi.
Menurut Dr Mahathir, inisiatif itu adalah susulan inisiatif patriotik rakyat yang ingin membantu menyelesaikan hutang negara.
“Terdapat ramai rakyat yang apabila diketahui kedudukan kewangan negara sudah menjadi begitu buruk, mereka sanggup untuk memberi derma kepada kerajaan.
“Kita mengalu-alukan sikap patriotik mereka ini, dan kita mengucapkan terima kasih kepada mereka,” kata Dr Mahathir.
Menurutnya, kutipan dana tersebut akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan.
“Bagi menentukan derma-derma ini sampai kepada pihak yang bertanggungjawab, kerajaan akan menentukan semua derma ini diberi kepada Kementerian Kewangan,” jelas beliau.
Tambah Mahathir lagi, maklumat akaun akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini menyebut bahawa sumbangan kepada tabung tersebut boleh disalurkan melalui akaun Maybank 566010626452 atas nama Jabatan Akauntan Negara.
SUMBER : ASTRO AWANI
Jom Bantu Kerajaan Bayar Hutang Negara
TIDAKLAH saya bermimpi rupa-rupanya. Ketika membuat artikel ‘Jom kita pakat bayar hutang negara’ saya tidak dapat ramalkan reaksi umum.
Saya cuma berdoa agar lambat-laun akan ada individu dan kumpulan tampil memberi sumbangan.
Tetapi tekaan saya tersasar. Hanya sehari selepas artikel itu disiarkan dalam Sinar Harian Rabu lalu, sudah ada beberapa pihak mengambil inisiatif menimbulkan isu serupa atau sudah mula memberi sumbangan.
Seorang pegawai undang-undang, Nik Shazarina Bakti dilaporkan melancarkan gerakan mengumpul dana untuk membantu meringankan beban hutang negara yang mencecah RM1 trilion itu. Beliau menggunakan laman sesawang sebagai medium.
“Rabu lepas, terdetik idea untuk kumpul sumbangan daripada seluruh rakyat Malaysia untuk menolong kerajaan, melalui ‘fund-raising platform’,” katanya kepada Sinar Harian.
Nik Shazarina, 27, sering membaca di akhbar luar negara tentang inisiatif seperti ini jika mereka menghadapi masalah kesihatan, bencana alam atau untuk penambahbaikan kemudahan untuk komuniti setempat, seperti pembinaan sekolah, membaiki paip air atau jalan.
Beliau melancarkan fund-raising platform itu dengan pertolongan keluarga, rakan-rakan, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin dan aktivis masyarakat, Datin Paduka Marina Mahathir. Beliau akan salurkan sumbangan itu kepada Kementerian Kewangan.
Jumaat lalu, empat wakil rakyat DAP Perak mengumumkan sumbangan untuk tujuan sama.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berjanji akan memberi RM16,000 gajinya sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan untuk bulan ini.
Jika dihitung katanya, setiap rakyat Malaysia termasuk yang baru lahir terpaksa membayar RM32,000 akibat daripada ketirisan dan penyelewengan pengurusan ketika pentadbiran kerajaan dahulu.
Timbalan Pengerusi DAP negeri, V Sivakumar; Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh akan mendermakan sebahagian gaji sebagai ahli Parlimen berjumlah RM8,000 setiap seorang kepada kerajaan untuk tujuan sama. Adun Kepayang, Dr Ko Chung Sen mengumumkan akan menyumbang RM10,000.
Setakat yang saya tahu, antara individu pertama yang menyumbang adalah dari Berjuntai Bestari.
“Walaupun sumbangan saya sedikit sahaja, saya harap ia membantu meringankan beban kerajaan baharu membayar hutang,” kata individu yang mengirim RM100 kepada Jabatan Perdana Menteri.
Idea menghidupkan usaha sumbangan untuk ringankan beban kerajaan membayar balik hutang negara terlintas dalam fikiran saya juga selepas laporan media mengenai hutang negara yang tersangat banyak itu.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaitkan isu hutang itu sebagai tindakan mencabul kewangan negara pada tahap begitu teruk.
Sebenarnya, sumbangan rakyat untuk membantu kerajaan dan pihak berkaitan bukan baharu.
Seperti yang saya ceritakan minggu lalu, kami murid-murid sekolah rendah bersama rakyat jelata di seluruh negara, menyumbang RM1 masing-masing untuk pembinaan Masjid Negara.
Rakyat juga memberi sumbangan ketika dewan Universiti Malaya terbakar beberapa tahun lalu.
Bagi saya, Malaysia ada 32 juta penduduk sekarang. Kalau setiap daripada kita sumbangkan sedikit wang, ia akan membantu kurangkan beban negara menanggung hutang tersangat banyak itu.
Rakyat biasa boleh sahaja menyumbang RM2 masing-masing melalui potongan gaji selama setahun atau lebih. Hartawan, dermawan dan jutawan boleh sumbang jauh lebih banyak.
Mungkin kerajaan baharu tidak rasa sesuai untuk membebankan rakyat menyumbang kepada kerajaan untuk membayar hutang. Barangkali kerajaan juga tidak mahu ia disalah anggap bahawa kerajaan cuba mengambil kesempatan ke atas rakyat jelata.
Apatah lagi, rakyat sudah pun boleh dikira membuat sumbangan melalui cukai dikenakan.
Tetapi bagi saya, apabila kita sama-sama memikul seorang sedikit tanggungjawab menyumbang, bukan sahaja hutang negara dapat dibayar secara perkongsian, malah ia mengukuhkan penyatuan kita.
Ia memberi makna mendalam kepada maksud kecintaan kita kepada negara. Dengan lain perkataan, ia meningkatkan tahap cinta kita kepada rasa komitmen, tanggungjawab, kesetiaan dan sense of belonging dan sebagainya.
Apa lagi ditunggu. Marilah kita rakyat yang cintakan negara ini terus sumbang untuk membantu kerajaan membayar hutang yang sangat banyak itu. Wallahuaklam!
SUMBER : SINAR HARIAN
Tabung Harapan Malaysia terima derma rakyat
KERAJAAN menubuhkan Tabung Harapan Malaysia untuk menerima derma rakyat bagi mengukuhkan kewangan kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, penubuhan tabung itu adalah bagi memastikan derma rakyat Malaysia yang patriotik akan sampai kepada Kementerian Kewangan.
“Terdapat ramai rakyat Malaysia apabila tahu kedudukan kewangan negara yang buruk, mereka sanggup memberi derma kepada kerajaan.
“Kita mengalu-alukan sikap patriotik mereka dan mengucapkan terima kasih,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Dr Mahathir berkata, nombor akaun sumbangan itu akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.
Pengumuman mengenai hutang negara yang berjumlah RM1 trilion telah mendapat perhatian rakyat Malaysia baru-baru ini dengan ramai antara mereka menyatakan kesediaan untuk menderma kepada kerajaan bagi mengurangkan hutang tersebut di media sosial.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan “Sayangi Malaysiaku” sebagai tema Hari Kebangsaan bagi tahun ini.
Mengenai Program PERMATA, Dr Mahathir berkata, ia akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata, PERMATA akan diteruskan memandangkan ia program yang baik dalam membantu meningkatkan pembangunan dan kebajikan kanak-kanak tetapi ia perlu dikaji dan diaudit terlebih dahulu.
Ditanya mengenai desas-desus Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dibubarkan, Dr Mahathir berkata kedudukan jabatan itu masih belum dibincangkan di peringkat kabinet.
Bagaimanapun, katanya satu kumpulan ulama dan individu berpengetahuan dalam agama Islam akan membincangkan peranan Jakim di negara ini.
“Sama ada Jakim akan dikekalkan seperti sekarang ataupun tujuan asalnya akan dihidupkan semula,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mahu memastikan Islam tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa.
“Itu bukan Islam dan banyak larangan yang ada dalam Islam tidak diamalkan oleh kita, sebaliknya kita fikir cara lain yang tidak datang dari agama Islam untuk menunjukkan Islam agama yang cukup keras dalam pelaksanaannya.
“Dengan perkataan lain, kita lebih suka memaksa sedangkan ajaran al-Quran kata tiada paksaan dalam Islam,” katanya.
Mengenai status Biro Tata Negara (BTN), Dr Mahathir berkata ia juga sedang dalam kajian.
Ditanya mengenai cadangan Hindraf 2.0 supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Bumiputera, Dr Mahathir berkata ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat kabinet tersebut.
Mengulas gesaan Bersih 2.0 supaya Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dan ahli SPR meletak jawatan, Perdana Menteri berkata kerajaan akan meneliti terlebih dahulu beberapa laporan yang diterima mengenai salah laku dalam pengurusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Selepas kajian itu selesai barulah kita fikirkan apa tindakan yang perlu diambil terhadap beliau (Pengerusi SPR),” kata Dr Mahathir.
SUMBER : HARIAN METRO
Penutup
Marilah kita bersama-sama membantu kerajaan sekarang untuk memulihkan keadaan kewangan di negara kita. Semoga perkongsian ini iaitu Akaun Tabung Harapan Malaysia memberikan informasi yang bermanfaat kepada anda semua. Untuk informasi lebih lanjut, admin akan kemas kini informasi ini dari semasa ke semasa. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan perkongsian berkaitan dunia pendidikan dari semasa ke semasa. Sekian, terima kasih.