
KUALA LUMPUR 2 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan pemotongan RM10 gaji kakitangan awam pada bulan Ogos untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia.
Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, cadangan itu akan dpanjangkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
“Setelah mesyuarat buat kali pertama pada tahun ini Cuepacs telah memutuskan supaya penjawat-penjawat awam menyumbang secara sukarela kepada Tabung Harapan Malaysia.
“Secara majoritinya Kongress telah bersetuju untuk memanjangkan cadangan ini kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan kebenaran dari kerajaan serta agensi kerajaan,” kata Azih dalam sidang akhbar hari ini.
Sehingga kini Tabung Harapan Malaysia telah menerima sejumlah RM132,075,418.12 dari orang perseorangan dan syarikat. Tabung tersebut bagi membiayai pembayaran hutang negara yang didakwa mencecah RM1 trilion.
Azih berkata, pihak Cuepacs berharap penjawat awam dapat menyumbang secara ikhlas.
“Kami tidak mengenakan apa-apa paksaan kepada mereka dan kami berharap mereka menganggap ini adalah sebagai kerja kebajikan untuk negara.
“Harapan dan sasaran kami adalah sebanyak RM10 juta dan hasil kutipan tersebut akan kami umumkan,” kata Azih. -UTUSAN ONLINE
Apa itu Tabung Harapan?
Berdasarkan kepada perkembangan semasa ekonomi negara dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, wujud kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu Kerajaan. Rakyat secara sukarela ingin berkongsi pendapatan mereka dengan menyalurkan derma dan sumbangan ikhlas mereka kepada Kerajaan bagi menangani isu tersebut.
Sehubungan ini, bagi membolehkan derma dan sumbangan tersebut diuruskan secara sistematik dan telus satu tabung amanah yang dikenali sebagai Tabung Harapan Malaysia (THM) ditubuhkan dan diuruskan oleh Kementerian Kewangan.
Anda Setuju Untuk Potong Gaji Anda dan Masukkan ke Dalam Tabung Harapan?
Semestinya tidak adil jika admin pukul rata menyatakan semua orang tidak setuju. Betul tak? Dan pastinya lagi tidak adil kalau kita anggap semua setuju. Jadi sila tinggalkan komen anda dan mari kita lihat pihak mana yang lebih ramai.
Adakah ramai setuju potong gaji untuk masukkan ke dalam Tabung Harapan atau tidak? Dan diharap pihak Cuepacs adalah membaca diruangan ini agar mereka tahu dan dapat feedback dari kita.