Dapatkan segera info rasmi yang lengkap di sistemguruonline.my ⏬️

Senarai 10 Amalan Sunnah Yang Penuh Ganjaran di Bulan Ramadan

Senarai 10 Amalan Sunnah Yang Penuh Ganjaran di Bulan Ramadan
Senarai 10 Amalan Sunnah Yang Penuh Ganjaran di Bulan Ramadan 4

Bulan Ramadan atau Bulan Puasa ialah bulan kesembilan dalam kalendar Islam yang paling ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia. Ibadah puasa bukan sahaja mendapat ganjaran dan pahala tetapi mengajar erti sabar, disiplin dan amalan memberi iaitu bersedekah.

Amalan sunnah yang penuh ganjaran ini banyak dapat diperolehi pada bulan puasa kerana setiap amalan akan dilipat kali gandakan. Jadi pada itu, marilah kita mengetahui dan memperbanyakkan amalan sunnah pada bulan puasa ini.

Pengertian Bulan Ramadan

Senarai Amalan Sunnah 1
Senarai 10 Amalan Sunnah Yang Penuh Ganjaran di Bulan Ramadan 5

Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa buat lebih kurang 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia. Bulan rahmat ini jatuh pada bulan kesembilan mengikut kalendar Islam Hijrah.

Pada bulan Ramadan, umat Islam akan berpuasa dengan tidak akan makan dan minum bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari. Tujuan utama umat Islam diseru untuk berpuasa adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah (Maha Pencipta), mendisiplinkan diri, mengawal diri, merehatkan dan membersihkan sistem pencernaan dan menzahirkan rasa syukur atas segala nikmat yang telah diberikan.

10 Amalan Sunnah di Bulan Ramadan Beserta hadis

Senarai Amalan Sunnah 2
Senarai 10 Amalan Sunnah Yang Penuh Ganjaran di Bulan Ramadan 6

1. Bersahur dan mengakhirkan makan sahur

Maksud bersahur ialah memakan atau meminum sesuatu sebelum masuk waktu fajar (Subuh) dengan niat ingin berpuasa.  Sangat digalakkan kita agar bersahur kerana ia adalah anjuran Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dan Baginda mengatakan padanya terdapat keberkatan.

Dari Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا؛ فَإنَّ في السُّحُورِ بَرَكَةً

“Bersahurlah kamu sekalian! Kerana sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” (HR al-Bukhari & Muslim)

2. Menyegerakan berbuka puasa

Apabila telah yakin masuk waktu berbuka puasa (masuk waktu Maghrib), maka sebaik-baiknya teruslah berbuka puasa.  Jangan sibukkan dengan perkara lain lagi melainkan berbuka puasa.

Dari Sahl bin Sa`d radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ

“Manusia itu selalu dalam kebaikan selagi mereka segera berbuka puasa.”(HR al-Bukhari & Muslim)

3. Berbuka puasa dengan tamar atau air

Sebaik-baiknya kita berbuka puasa dengan tamar atau air kosong sebagaimana saranan Nabi Muhammad SAW. Dari Salman bin `Amir adh-Dhabiy as-Sahabi RA dari Nabi SAW bersabda:

إِذَا أفْطَرَ أحَدُكُمْ، فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ، فَإنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى مَاءٍ؛ فإنَّهُ طَهُورٌ

“Apabila salah seorang di antara kamu sekalian berbuka puasa maka berbukalah dengan tamar, jika tidak memperolehinya maka berbukalah dengan air kerana sesungguhnya air itu dapat membersihkan.”  (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi.  Kata at-Tirmidzi hadith ini hasan sahih)

4. Perbanyak berdoa

Sangat digalakkan supaya kita memperbanyakkan doa kepada ALLAH dalam bulan Ramadhan khususnya pada waktu sahur, siang hari berpuasa dan ketika hendak berbuka.

Waktu sahur: Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

“TUHAN kita Tabaraka wa Ta`ala turun ke langit dunia pada setiap malam ketika berbaki 1/3 malam akhir.  DIA berfirman:  “Sesiapa yang berdoa kepadaKU maka AKU akan perkenankan untuknya, sesiapa yang meminta kepadaKU maka akan AKU berikan, sesiapa yang memohon keampunan dariKU maka akan AKU ampunkan untuknya”.”(HR al-Bukhari dan Muslim)

5. Menjauhi perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.

Seseorang hendaklah menjaga dirinya dari melakukan perkara-perkara dosa, lebih-lebih lagi ketika sedang berpuasa.  Makan dan minum yang hukum asalnya adalah harus pun kita disuruh menahan diri dari melakukannya ketika berpuasa, apatah lagi  kalau perkara haram.  Maka, jagalah anggota pancaindera kita dari melakukan dosa khususnya dosa lidah.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ، فَلا يَرْفُثْ وَلا يَصْخَبْ، فَإنْ سَابَّهُ أحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ، فَلْيَقُلْ: إنِّي صَائِمٌ

“Apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak.  Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata:  “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.” (HR al-Bukhari & Muslim)

6. Bersedekah termasuk memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa

Janganlah melepaskan peluang memperbanyakkan derma dalam bulan Ramadhan.  Ini kerana Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam berganda-ganda sifat kedermawaannya pada bulan Ramadhan lantaran keberkatan yang terdapat padanya.

Dari Ibnu Abbas radhiAllahu `anhuma katanya:

كَانَ رسول الله صلى الله عليه وسلم أجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ في رَمَضَانَ حِيْنَ يَلْقَاهُ جِبْريلُ، وَكَانَ جِبْريلُ يَلْقَاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرسول الله صلى الله عليه وسلم حِيْنَ يَلْقَاهُ جِبرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِن الرِّيحِ المُرْسَلَةِ

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril.  Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, diajaknya mempelajari al-Quran.  Maka Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR al-Bukhari)

7. Tadarus Al Quran dan mengkhatamkannya

Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.

Justeru, membaca dan mempelajari al-Quran adalah amalan sunat yang sangat wajar diberi perhatian oleh ummat Islam sepanjang bulan Ramadhan.  Dikatakan apabila tiba Ramadhan, para ulama malah akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan aktiviti tilawah, tadarus dan tadabbur kepada al-Quran.

8. Amalan sunnah memberi makan untuk berbuka puasa.

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا، كَانَ لَهُ مِثْلُ أجْرِهِ، غَيْرَ أنَّهُ لاَ يُنْقَصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْءٌ

“Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At-Tirmidzi dan katanya hadith ini hasan sahih)

9. Qiyam Ramadhan (Shalat Tarawih & Shalat malam lainnya)

Malam-malam Ramadhan sebaiknya dipenuhi dengan ibadah solat sunat iaitu solat Tarawih, Witir dan lain-lain.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:

مَنْ قَام رَمَضَانَ اِيْمَانًا وَ احْتِسَابًا غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang mendirikan solat sunat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR al-Bukhari & Muslim)

10. Mencari Lailatul-Qadr (Malam Kemuliaan)

Digalakkan mencari Lailatul Qadr pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan, khususnya pada malam-malam yang ganjil.

Daripada Ummul Mukmini, `A’ishah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

“Carilah Malam al-Qadr pada malam ganjil sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadhan.” (HR al-Bukhari)

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Anda Mungkin Meminati