Jom Ulangkaji Bab Puasa Ramadhan. Kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya kita diberikan kebarkatan, keimanan, keselamatan untuk kita menjadi benar-benar mampu untuk menempuhi Ramadhan dengan acara-acara ibadah dan antaranya yang dapat kami sebutkan di sini dalam menyambut kedatangan Ramadhan ialah:
Anas bin Malik RA berkata: “Rasulullah ﷺ berdoa sebaik sahaja datangnya bulan Rejab.”
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: “Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya’ban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadhan”
Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (2346)
Daripada Talhah bin Ubaidillah RA, Rasulullah ﷺ berdoa apabila melihat anak bulan Ramadhan.
اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلامَةِ وَالْإِسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ
Maksudnya: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”
Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (1397). Syeikh Ahmad Syakir mengatakan isnadnya hasan manakala Syeikh Syu’aib al-Arnaut mengatakan hadith ini hasan dengan syawahid yang lain.
Sertai kami di Telegram:
Begitu juga dikatakan ramai di kalangan salaf al-soleh berdoa untuk mendapatkan Ramadhan supaya diisi dengan pelbagai amalan yang soleh. Antara doa mereka ialah:
اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”
Diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Du’a (913) dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’ (3/69)
Sikap Kita…
Hendaklah kita merasa gembira dengan Ramadhan yang bakal menjelma dengan tawaran tuhan yang lumayan. Sebaliknya golongan munafiq pula merasa gelisah, buntu dengan Ramadhan. Maka benarlah sabda Nabi ﷺ :
أَظَلَّكُمْ شَهْرُكُمْ هَذَا بِمَحْلُوفِ رَسُولِ اللهِ، مَا مَرَّ بِالْمُؤْمِنِينَ شَهْرٌ خَيْرٌ لَهُمْ مِنْهُ، وَلَا بِالْمُنَافِقِينَ شَهْرٌ شَرٌّ لَهُمْ مِنْهُ، إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَكْتُبُ أَجْرَهُ وَنَوَافِلَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُدْخِلَهُ، وَيَكْتُبُ إِصْرَهُ وَشَقَاءَهُ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُدْخِلَهُ
Maksudnya: “Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadhan ini dengan Rasulullah ﷺ bersumpah: “Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadhan dan tidaklah kepada munafiq itu lebih teruk daripada bulan Ramadhan. Sesungguhnya Allah ﷻ menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadhan.”
Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya (8870) & Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya (1884). Sanadnya dho’if kerana terdapatnya Tamim maula Abu Rumanah.
Jom Ulangkaji Bab Puasa Ramadhan
Isi Kandungan
Syarat Wajib Puasa
Bil. | Syarat Wajib Puasa :- |
1 | Islam |
2 | Baligh |
3 | Berakal |
4 | Sihat |
5 | Bermukim (Tidak Musafir) |
6 | Suci (Dari Haid Dan Nifas) |
Syarat Sah Puasa
Bil. | Syarat Sah Puasa :- |
1 | Islam |
2 | Berakal & Mumayyiz |
3 | Suci (Dari Haid Dan Nifas) |
4 | Nyata masuknya bulan Ramadhan |
Rukun-Rukun Puasa
Bil. | Rukun-Rukun Puasa:- |
1 | Orang Yang Puasa |
2 | Berniat |
3 | Menahan Diri Daripada Perkara Yang Membatalkan Puasa |
Perkara Yang Membatalkan Puasa
Bil. | Perkara Yang Membatalkan Puasa :- |
1 | Makan Dan Minum Dengan Sengaja |
2 | Memasukkan Dengan Sengaja Benda Ke Dalam Rongga Yang Terbuka |
3 | Muntah Dengan Sengaja |
4 | Keluar Haid & Nifas |
5 | Gila |
6 | Murtad |
7 | Keluar Mani Dengan Sengaja |
8 | Bersetubuh Di Siang Hari |
Perkara Sunat Ketika Puasa
Bil. | Perkara Sunat Ketika Puasa :- |
1 | Segera Berbuka Puasa |
2 | Berbuka Dengan Kurma/Juadah Manis |
3 | Baca Doa |
4 | Melambatkan Bersahur |
5 | Banyakkan Baca Al-Quran, Berzikir, Berselawat Dan Membuat Amal Kebajikan |
6 | Sentiasa Bersedekah |
7 | Jauhkan Diri Daripada Bercakap Perkara Yang Sia-Sia Dan Perbuatan Yang Tidak Membawa Manfaat |
8 | Mandi Junub Lebih awal Sebelum Masuk Waktu Subuh |
Makruh Ketika Puasa
Bil. | Makruh Ketika Puasa :- |
1 | Bersuntik |
2 | Berbekam |
3 | Berkumur-Kumur |
4 | Memasukkan Air Ke Dalam Rongga Hidung Secara Berlebihan |
5 | Mandi Yang Berlebihan |
6 | Rasa Makanan Di Hujung Lidah |
Golongan Yang Wajib Qada’ Puasa
Bil | Golongan Yang Wajib Qada’ Puasa :- |
1 | Orang Sakit Yang Ada Harapan Untuk Sembuh |
2 | Orang Yang Musafir (Bukan Kerana Maksiat) |
3 | Orang Yang Kedatangan Haid Dan Nifas |
4 | Orang Yang Meninggalkan Niat Puasa |
5 | Orang Yang Sengaja Melakukan Perkara2 Yang Membatalkan Puasa |
6 | Orang Yang Pitam/Mabuk |
7 | Orang Yang Sangat Lapar Dan Dahaga |
Mereka Yang Di Kenakan Membayar Fidyah Puasa
Bil. | Mereka Yang Di Kenakan Membayar Fidyah Puasa :- |
1 | Mereka Yang Tidak Dapat Mngqada’kan Puasa Sehingga Masuk Ramadhan Kali Kedua – (Fidyahnya : 1 Cupak Beras Untuk Setiap Hari Yang Di Tinggalkan Di Samping Mengqada’ Puasa) Bagi Setahun Tertinggal.. Kalau Tidak Di Qada’ Sehingga Melampaui 2 Tahun Maka Di Kenakan 2 Cupak Tetapi Puasa Tetap Juga 1 Hari (Tiada Tambahan) |
2 | Orang Sakit Yang Tidak Ada Harapan Untuk Sembuh |
3 | Orang Yang Terlalu Tua Dan Tidak Berdaya Untuk Berpuasa |
4 | Orang Yang Ada Qada’ Puasa Tetapi Meninggal Dunia Sebelum Sempat Berbuat Demikian (Fidyahnya : Di Buat Oleh Kerabat Si Mati/Di Ambil Daripada Harta Pusakanya) |
5 | Perempuan Yang Mengandung/Yang Menyusukan Anaknya Perlu Mengqada’ Puasa Dan Membayar Fidyah 1 Cupak Beras Bagi Setiap Hari Yang Di Tinggalkan Sekiranya Dia Meninggalkan Puasa Kerana Bimbangkan Anaknya Tetapi Sekiranya Dia Takut Memudaratkan Pada Dirinya Dia Hanya Wajib Mengqada’ Puasanya |
Kifarat Bersetubuh Di Bulan Ramadhan
Orang Yang Bersetubuh Pada Siang Hari Bulan Ramadhan, Maka Kedua2 Suami Isteri Tersebut Perlu Mengqada’ Puasa Berkenaan Dan Suami Wajib Membayar Kifarat (Denda) Seperti :-
Bil. | Kifarat Bersetubuh Di Bulan Ramadhan |
1 | Memerdekakan Seorang Hamba Mukmin L/P (Sekiranya Tidak Mampu) |
2 | Berpuasa 2 Bulan Berturut-Turut Tanpa Terputus (Kalau Tidak Berdaya) |
3 | Memberi Makan Kepada 60 Orang Fakir Miskin Walau Bagaimana Pun, Jika Persetubuhan Itu Di Lakukan Kerana Terlupa, Jahil Tentang Haramnya/Di Paksa Ke Atasnya Tidaklah Wajib Kifarat |
Tingkatan Puasa
Bil | Tingkatan Puasa:- |
1 | Puasa Umum – Sekadar Menahan Makan, Minum Dan Keinginan Berjimak |
2 | Puasa Khusus – Memelihara Mata, Telinga, Lidah, Tangan Dan Kaki Daripada Melakukan Dosa Selain Menahan Diri Daripada Perkara Di Atas |
3 | Puasa Khusus Al-Khusus – Merangkumi puasa Di Atas Dan Di Sempurnakan Pula Dengan Puasa Hati Daripada Semua Keinginan Zahir Dan Batin |
Mereka Yang Di Benarkan Meninggalkan Puasa
Bil. | Mereka Yang Di Benarkan Meninggalkan Puasa :- |
1 | Orang Yang Hilang Daya Upaya Seperti Sakit Yang Apabila Berpuasa Akan Menambahkan Keuzuran |
2 | Orang Musafir |
3 | Org Yang Terlalu Tua Dan Amat Lemah |
4 | Orang Yang Tersangat Lapar Dan Dahaga |
5 | Perempuan Hamil/Menyusukan Anaknya Yang Apabila Berpuasa Boleh Memudaratkan Diri/Anak Yang Di Susui Itu |
Baca juga:
- Cara Mudah Daftar SSM Secara Online (EzBiz)
- Permohonan Baru STR 2023 & Kemaskini Maklumat Pemohon
- Bantuan Musim Tengkujuh BMT 2023 : Tarikh Untuk Bayaran & Semakan
Akhir kalam, ingin kami katakan di sini bahawa Ramadhan bakal membawa seribu satu macam kebaikan yang mana sudah barang pasti dapat dimanfaatkan oleh mukmin sejati sama ada amalan yang wajib atau yang sunat seperti tadarus al-Quran, qiyammullail, solat taraweh dan lain-lain. Begitu juga dengan mengkaji sejarah Ramadhan melalui kemenangan umat Islam sejak zaman Rasulullah ﷺ lagi sehingga kepada mutakhir ini. Sudah pasti kita dapati kemenangan Islam banyak berlaku pada bulan Ramadhan, seolah-olah mengisyaratkan kepada kita bahawa bulan Ramadhan memberi kekuatan kerohanian, spiritual dan juga semangat yang kental sehingga dapat melakarkan kemuncak kejayaan.
Sebenarnya isu tentang puasa, ibadat pada bulan Ramadhan amat banyak dan sentiasa terdapat permasalahan yang baru dan ianya amat memerlukan kita untuk menelaah dan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain agar benar-benar menepati syariat Islam. Antara caranya untuk meningkatkan kefahaman mengenai hukum-hakam mengenai ibadah puasa ini adalah dengan membaca dan juga menghadiri kuliah-kuliah yang berkaitan serta jangan segan untuk bertanya kepada mereka yang layak.
Semoga dengan ketibaan Ramadhan pada kali ini akan menatijahkan taqwa dalam hati sanubari kita sehingga mendapat mardhatillah yang akhirnya melayakkan kita menjadi hamba yang rabbani. Ingatlah sabda Nabi ﷺ:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah ﷻ, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.
Riwayat Al-Bukhari (38)
Oleh itu, marilah sama-sama kita menjadikan bulan Ramadhan al-Mubarak kali ini sebagai Madrasah Rohaniah dan Fikriyyah yang boleh melonjakkan kita ke persada kejayaan. Sekian, wassalam. [Dr. Zulkifli Albakry]