“Trend Mengejutkan” Guru Bersara Awal Membimbangkan? Ikuti Sebab-Sebabnya. Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk orang lain. Itulah ungkapan yang dapat diberikan kepada seorang guru. Guru tugasnya mendidik dan membimbing anak-anak dari peringkat tadika ke peringkat tinggi. Tanpa guru siapalah kita diwaktu ini,mungkin tidak akan mengenal, membaca, menulis dan berfikir kehadapan.
Tugasan guru pada mulanya menjadi pendidik yang ikhlas membimbing anak bangsa kian menjadi bebanan kepada sesetengah guru. Manakan tidaknya, jika tugasan ‘mendidik’ adalah tidak cukup bagi seorang guru. Demikianlah kehidupan seorang guru yang tugasnya bukan sahaja mendidik diwaktu sekolah.
Isu semasa yang sedang hangat diperkatakan adalah “Trend Mengejut” guru yang memilih untuk bersara awal. Ini adalah perkara yang membimbangkan kerana kita akan terkesan dengan kekurangan guru yang akan membawa kepada masalah lain dalam sistem pendidikan Malaysia. Persoalannya, mengapakah trend guru bersara awal kian meningkat saban hari?
“Trend Guru Bersara Awal Dimanakah Silapnya?”
Ramai orang yang berfikir tugas menjadi seorang guru itu ‘mudah’. Tetapi hakikatnya jauh sekali dari tanggapan orang ramai.
“Bila jadi guru senang sahaja kerjanya, pagi mengajar budak-budak. Tengahhari dah boleh balik rumah dah..”
Itulah silap orang kita. Ramai yang menganggap kerja guru itu amatlah mudah. Tapi tahukah anda? Tugas guru tidaklah berhenti di sekolah semata. Hakikat yang pahit ditelah oleh seorang guru adalah apabila terpaksa mengheret kerja guru di luar masa pembelajaran sekolah. Boleh jadi guru juga perlu untuk bertugas diluar masa kerja sekolah di rumah. Ada guru yang banyak menghabiskan masa di rumah usai pulang dari sekolah untuk menyiapkan kerja sampingan seperti penandaan markah buku, kertas ujian dan dalam masa yang sama perlu menyiapkan juga tugasan pengkeranian harian guru.
Semua itu harus dilakukan oleh guru. Kerja ‘multitask’ inilah antara punca ramai guru mengambil keputusan untuk berhenti dari kerjaya guru. Suatu yang harus Kementerian Pendidikan Malaysia ambil cakna untuk memudahkan urusan guru yang kini banyak terbeban dengan pelbagai tugasan dan memahami persekitaran guru.
Dianggarkan lebih 10,000 guru menghantar permohonan bersara awal setiap tahun
Menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dianggarkan lebih 10,000 guru menghantar permohonan bersara awal setiap tahun sejak beberapa tahun lalu. Jumlah berkenaan menyamai kadar guru bersara wajib.
Berdasarkan laporan dari seluruh negara, sebahagiannya merupakan mereka yang berusia awal atau pertengahan usia 50-an. Ini adalah trend membimbangkan kerana negara kehilangan guru berpengalaman.
Ramai yang tidak sedar pada mulanya trend ini sedang meningkat tahun ke tahun. Ini adalah kerana ramai yang menganggap kerja guru adalah “kerja mudah”. Tapi tak ramai yang tahu ramai guru yang makan hati.
Menurut Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) ,Mohd Azizee Hasan melalui hantarannya di dalam Facebook, Berikut merupakan antara faktor luaran dan dalaman yang mendorong kepada trend guru bersara awal :-
1. Faktor kesihatan – ada guru yang mengalami penyakit yang berisiko tinggi seperti strok,masalah jantung, kanser dan sebagainya. Ini menjejaskan prestasi kerja mereka.
2. Masalah tekanan mental yang menyebabkan stress, kemurungan dan anxiaty.
3. Persekitaran kerja yang tidak menyeronokkan seperti beban tugas kerja, masalah komunikasi dengan rakan guru dan pentadbir.
4. Guru terpaksa adaptasi kemahiran baharu terutama ketika pendemik iaitu kemahiran pengajaran secara digital. Kemahiran yang memerlukan penguasaan teknologi digital dan ini memberikan kesukaran kepada guru- guru senior yang tidak terbiasa dengan pendekatan abad 21.
5. Masih melaksanakan kerja- kerja pengkeranian yang bukan major seperti membuat pelaporan PBD, Pajsk, pengurusan data murid B40, pengagihan BAP dan sebagainya.
6. Berdepan masalah guru duka lara akibat kejauhan setelah berkali- kali permohonan pertukaran tidak dilayan. Pilihan untuk kesejahteraan ialah mengutamakan keluarga dahulu.
7. Tawaran kerja lain yang memberikan pendapatan yang lumayan dan kepuasan bekerja. Tempat kerja baharu yang menyeronokkan.
8. Guru sudah hilang minat untuk menjadi guru.
kredit: Facebook Mohd Azizee Hasan
Guru perlu dibantu, bukan dipersalahkan
Melihatkan faktor-faktor tersebut jelaslah kerjaya guru di Malaysia perlu diberi perhatian untuk menyelesaikan masalah yang melanda para guru. Kementerian Pendidikan Malaysia haruslah memainkan peranan penting dalam memastikan psikologi seorang guru terjaga. Disamping itu, KPM haruslah menyelaras semula tugasan-tugasan sebenar seorang guru yang mana tugas sebenar guru adalah mengajar dan membimbing bukanlah seorang yang dibebani dengan kerja-kerja kerani.
Isu duka lara seorang guru juga perlu diberi perhatian oleh KPM, perlu menempatkan semula guru berdekatan dengan pasangan masing-masing demi menjaga keharmonian rumahtangga. Selain itu, sistem guru juga perlu diperkemaskan semula dan mestilah mesra guru. KPM wajar untuk mendengar luahan para guru yang terkesan. Tindakan wajar harus diambil segera untuk menangani isu guru bersara awal. Guru juga seorang manusia biasa, mereka juga perlu dibantu.