Dapatkan segera info rasmi yang lengkap di sistemguruonline.my ⏬️

10 Tips Membeli Kereta Terpakai yang Berbaloi

Tips membeli kereta terpakai
Tips membeli kereta terpakai

10 Tips Membeli Kereta Terpakai yang Berbaloi merupakan perkongsian kami pada kali ini mengenai ilmu bidang automotif. Teruskan membaca untuk mengetahui pelbagai tips dan info yang menarik dalam membeli kereta terpakai.

Pada zaman yang serba moden, pemilikan kereta bukanlah suatu perkara asing bagi seseorang individu mahupun keluarga. Hal ini demikian kerana, kereta dapat membantu memudahkan urusan seseorang untuk pergi dari destinasi A ke destinasi B dengan cepat dan selamat. Kini terdapat banyak lambakan kereta di pasaran yang boleh dipilih, sama ada kereta baharu mahupun kereta terpakai.

Keputusan untuk memiliki kereta baharu kadangkala boleh menyebabkan seseorang itu berbelanja dengan lebih banyak dari kadar kemampuan yang sedia ada. Lebih buruk lagi jika tersilap langkah, pemilik kereta akan terpaksa menanggung liabiliti dalam suatu jangka masa yang panjang bergantung kepada tempoh pinjaman bayaran ansuran iaitu sekitar 5 – 9 tahun. Terdapat banyak perkara yang perlu dititikberatkan sebelum membeli sesebuah kereta iaitu dengan mengambil kira tentang kos penyelenggaran, komitmen bayaran ansuran bulanan, kos bahan api dan sebagainya.

Disebabkan faktor-faktor yang telah dinyatakan di atas, ramai dalam kalangan masyarakat pada hari ini mula mempertimbangkan untuk membeli kereta terpakai sebagai pilihan utama berbanding dengan membeli kereta baharu. Meskipun begitu, proses untuk membeli kereta terpakai memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi agar kereta yang dibeli mempunyai nilai untuk wang (value for money) dan berbaloi. Jika bernasib baik, pembelian kereta terpakai boleh menjadi pelaburan jangka masa panjang yang menguntungkan manakala jika tersilap langkah, ia boleh menjadi suatu bebanan yang boleh mengganggu dan merugikan.

Pada bahagian berikutnya, kami akan menyenaraikan beberapa tips dan info-info yang dirasakan berguna untuk dijadikan sebagai panduan dalam membeli kereta terpakai.

Tips Membeli Kereta Terpakai

1. Tetapkan Bajet 

josh appel NeTPASr bmQ unsplash
Tips membeli kereta terpakai

Tips membeli kereta terpakai pertama ini merupakan tips yang paling penting apabila hendak membeli sesebuah kereta second hand atau kereta terpakai. Anda hendaklah menetapkan bajet terlebih dahulu mengikut tahap kemampuan kewangan. Melalui penetapan bajet yang tertentu, anda secara tidak langsung akan dapat mengetahui model kereta apakah yang sesuai untuk dibeli dan mungkin menepati citarasa anda.

Sebagai contoh, penetapan bajet sekitar RM25,000 anda mungkin boleh membeli kereta terpakai seperti:

  • Perodua Viva EZ 1.0 (2013)
  • Perodua Axia G 1.0 (2014)
  • Ford Fiesta Sport 1.5 (2013)
  • Kia Picanto TA 1.2 (2014)
  • dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, penetapan bajet dari segi had bayaran pinjaman bulanan yang mampu dibayar juga boleh dilakukan. Anda boleh menetapkan bajet seperti RM300 – RM500 sebulan dengan tempoh bayaran selama 5 – 7 tahun. Penetapan bajet sebegini dapat membantu anda dalam menyusun komitmen bulanan sedia ada agar tidak berlebihan dan melebihi kemampuan.

Formula untuk Membeli Kereta Berdasarkan Gaji

  1. Pastikan harga kereta yang anda ingin miliki tidak melebihi gaji tahunan. Contohnya, gaji bulanan anda ialah sebanyak RM3000/bulan. Harga kereta yang boleh dibeli mestilah tidak melebihi RM36,000 (RM3000 x 12 bulan).
  2. Bayaran ansuran juga mestilah tidak melebihi 15% daripada keseluruhan gaji bulanan anda. Lebih rendah bayaran ansuran, lebih baik. Jika anda mempunyai gaji sebanyak RM3000, bayaran ansuran bulanan yang ideal ialah sekitar RM450 – RM550.
  3. Perlu diingatkan bahawa membeli sesebuah kereta hendaklah mengikut keperluan dan bukan mengikut kehendak.

Sekiranya anda masih lagi sangsi tentang penetapan bajet, kami cadangkan anda untuk cuba menggunakan kalkulator pinjaman kereta (car loan calculator). Cara ini amatlah mudah kerana anda hanya perlu memasukkan maklumat seperti bajet, wang pendahuluan (down payment), tempoh bayaran pinjaman dan lain-lain. Kalkulator tersebut akan mengira dan memberikan hasil carian yang sesuai untuk anda.

 2. Tinjauan Atas Talian

car dealership digital marketing
Tips membeli kereta terpakai

Kini anda tidak perlu bersusah payah untuk pergi ke premis menjual kereta terpakai kerana maklumat-maklumat yang diperlukan boleh didapati secara atas talian. Terdapat pelbagai laman web yang menawarkan urusan jual beli kereta terpakai seperti Carlist.my, Motor Traders Online, mudah.my dan lain-lain lagi.

Tips membeli kereta terpakai kedua ialah anda disarankan untuk melakukan tinjauan atas talian terlebih dahulu kerana kaedah seperti ini dapat membantu anda dalam membuat keputusan yang lebih rasional berbanding terus ke premis menjual kereta. Hal ini demikian kerana, laman web urusan jual kereta pada hari ini mempunyai fitur seperti ‘filter’ yang membolehkan anda menetapkan kriteria yang bersesuaian dan mengikut keperluan. Jika anda terus ke premis menjual kereta tanpa mempunyai sebarang ilmu, dikhuatiri anda akan mudah terpukau dengan kemahiran membujuk penjual kereta. Tanpa anda sedari, anda mungkin telah membuat keputusan tanpa memikirkan had bajet yang anda tetapkan.

3. Tetapkan Usia Kereta

Screenshot 73
Tips membeli kereta terpakai

Tips membeli kereta terpakai ketiga ialah menetapkan usia kereta yang ingin dibeli. Sebagai contoh, dengan bajet sebanyak RM25,000 anda akan dipamerkan dengan pelbagai pilihan kereta terpakai daripada jenama buatan tempatan sehinggalah kepada jenama luar negara.

Berdasarkan pilihan-pilihan yang ada itu, anda kecilkan lagi ruang lingkup carian iaitu dengan menetapkan usia kereta yang diinginkan. Sebagai contoh, anda hanya akan mencari kereta di bawah umur 5 tahun sahaja. Jika tiada model kereta yang dipaparkan menepati pilihan anda, sesuaikan penetapan mengikut keadaan seperti menaikkan carian usia kereta dari 5 tahun kepada 7 tahun.

4. Semak Perbatuan (Mileage)

speed 4742195 640 rotated e1619447221631
Tips membeli kereta terpakai

Pada Tips membeli kereta terpakai ini, anda disarankan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan perbatuan (mileage) yang dipaparkan pada meter kereta terpakai. Hal ini demikian kerana, terdapat sebilangan penjual kereta tidak jujur telah memanipulasi perbatuan (mileage) kereta yang dijual agar kelihatan seperti baru dan jarang dipandu oleh pemilik terdahulu.

Secara amnya, semakin tinggi nilai perbatuan (mileage) sesebuah kereta, semakin rendah nilai harga kereta tersebut boleh dijual. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa penjual kereta tidak jujur akan melakukan perkara sedemikian. Anda sebagai pengguna perlulah bijak dalam memilih kereta terpakai iaitu dengan menyemak nilai perbatuan terlebih dahulu dan memilih kereta yang mempunyai nilai perbatuan rendah atau sederhana sahaja.

Sekadar perkongsian, purata perbatuan (mileage) bagi sesebuah kereta adalah sekitar 15,000km – 20,000km setahun. Bagi kereta yang sudah berusia 5 tahun, perbatuan kereta tersebut mestilah dalam lingkungan purata 75,000km – 100,000km. Jika angka yang ditunjukkan pada meter kereta itu kurang dari lingkungan purata, anda perlulah mempunyai rasa skeptikal terhadap perbatuan kereta tersebut.

Anda disarankan untuk terus bertanya dengan pihak penjual kereta tentang persoalan nilai perbatuan yang tidak normal itu. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengatasi perkara ini dengan meneliti sendiri keadaan dalaman (interior) kereta. Logiknya, kereta yang mempunyai nilai perbatuan yang tinggi akan lebih ketara menunjukkan keadaan wear and tear terutamanya pada bahagian stereng kereta (getah terkopek-kopek), pedal semakin terhakis dan haus, kerusi kereta kelihatan lusuh dan sebagainya. Jika perkara seperti ini berlaku, anda digalakkan untuk tidak membelinya bagi mengelakkan masalah yang lebih serius akan berlaku pada masa hadapan.

5. Periksa Sejarah/Latar Belakang Kereta

kindle 1867751 640
Tips membeli kereta terpakai

Tips membeli kereta terpakai yang seterusnya ialah semasa hendak membeli kereta terpakai, pastikan anda memeriksa sejarah atau latar belakang kereta tersebut sebelum membuat keputusan untuk membelinya. Biasanya kereta terpakai yang dijual pada harga lebih murah mempunyai sejarah tersembunyi. Selidiki dahulu latar belakang sama ada kereta itu pernah terlibat dalam kemalangan serius, ditenggelami banjir, mempunyai had perbatuan (mileage) tinggi atau telah kerap kali bertukar pemilik (3-5 orang).

Elakkan diri anda daripada ditipu dengan hanya melihat luaran kereta sahaja. Bahagian luaran kereta mungkin kelihatan cantik dan sempurna, namun keadaan sebenar kereta hanya boleh diketahui selepas beberapa bulan menggunakannya.

6. Dapatkan Jadual Servis

19030600188 f e1619495836218
Tips membeli kereta terpakai

Dalam Tips membeli kereta terpakai ke-6 ini, kami menasihatkan anda agar mendapatkan buku jadual servis kereta yang hendak dibeli. Hal ini demikian kerana, kereta yang diservis secara konsisten mengikut jadual yang telah ditetapkan menggambarkan kereta itu berada dalam jagaan yang baik oleh pemilik terdahulu. Jika boleh, carilah pemilik kereta yang setia menggunakan perkhidmatan pusat servis jenama masing-masing.

Setiap kereta yang diselenggara di pusat servis rasmi, mekanik bertauliah akan merekodkan segala penyelenggaraan yang pernah dibuat iaitu dengan cara mencatatkannya di dalam buku jadual servis ataupun di dalam sistem mereka.

Maklumat penyelenggaraan kereta adalah penting untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai maklumat jenis alat ganti yang pernah ditukar atau rekod kerosakan besar seperti kotak gear (gearbox) atau enjin. Bukan itu sahaja, anda juga secara tidak langsung dapat mengetahui barang alat ganti yang digunakan sememangnya asli daripada jenama pengilang.

Jika anda mempunyai rakan-rakan bekerja di pusat perkhidmatan servis jenama kereta yang anda inginkan, anda boleh meminta bantuan mereka untuk menyemak nombor pendaftaran kereta terpakai tersebut. Dengan cara itu, anda akan mendapat rekod penyelenggaran atau resit alat ganti daripada pemilik terdahulu sebagai bukti kukuh yang menunjukkan dia tidak berurusan di bengkel biasa.

7. Periksa Bahagian Luaran Kereta

Pada bahagian ini anda perlulah menjadi sedikit cerewet dalam membuat keputusan. Apabila anda sudah membeli dan membawa kereta terpakai keluar dari ruang pameran, segala kerosakan dan kos membaik pilih selepas itu akan ditanggung oleh diri anda sendiri. Justeru itu, periksa keadaan bahagian luaran kereta dengan mengenal pasti sama ada terdapat sebarang kerosakan atau kecacatan.

  • Perhatikan bahagian luaran kereta
Proton Persona Preview 2 630x420 1
kredit gambar – paultan.org

Pertama sekali apabila melihat kereta terpakai yang ingin dibeli, anda mestilah perhatikan keadaan keseluruhan luaran kereta. Berikan tumpuan dengan melihat kepada keseluruhan warna cat kereta dari pelbagai sudut seperti di kawasan kiri, kanan, depan dan belakang. Periksa juga warna yang terdapat pada pintu kereta. Kadangkala, pintu tersebut bukan pintu yang asli dan dicat semula setelah dibeli di kedai kereta skrap (scrap car shop).

Jika terdapat sebarang pengaratan pada kerangka badan kereta, anda perlulah bertanya kepada penjual untuk mendapatkan jawapan. Pengaratan yang berlaku pada bahagian enjin berdekatan dengan bateri adalah normal kerana mungkin disebabkan air bateri yang tertumpah semasa mengisinya. Namun begitu jika pengaratan berlaku pada bahagian yang lain, kemungkinan besar kereta itu pernah terlibat dalam kemalangan. Perubahan warna yang ketara atau kesan touch up juga menunjukkan tanda yang tidak baik kerana ia juga merujuk kepada kereta tersebut pernah terlibat dalam kemalangan dan dibaiki semula agar kelihatan seperti baharu.

  • Periksa keadaan Wheelhouse 
Inkedwpid photo 22 sep 2013 17011 LI
kredit gambar – axng.wordpress.com

Cara untuk memeriksa wheelhouse kereta adalah mudah. Anda hanya perlu membuka bonet hadapan dan pastikan kedua-dua wheelhouse pada bahagian kiri dan kanan mempunyai pateri rivet yang asli dari kilang. Wheelhouse kereta yang pernah terlibat dalam kemalangan akan berbeza dari segi rupa iaitu pada bahagian tersebut akan mempunyai kecacatan atau kesan simen yang agak ketara.

Wheelhouse adalah sangat penting kepada sesebuah kereta. Wheelhouse yang pernah rosak meskipun telah dibaiki tetap akan menyebabkan alignment kereta menjadi tidak stabil selamanya. Dalam kalangan pengemar kereta, mereka menggelarkan keadaan kereta ini sebagai “ketam” kerana pemanduan akan menjadi tidak selesa seperti terhuyung-hayang.

  • Periksa Panel Bumbung Bonet Hadapan (Hood)
An example of Car bonnet
kredit gambar – www.researchgate.net

Perhatikan pada bahagian panel bumbung bonet hadapan (hood). Cara untuk memeriksa keadaan panel bumbung bonet hadapan kereta ialah dengan membuka panel bumbung bonet terlebih dahulu. Setelah dibuka, lihat pada bahagian “bibir” bumbung tersebut. Bumbung bonet hadapan yang asli dan tidak pernah terlibat dalam kemalangan akan mempunyai pateri rivet asli dari kilang. Jika pernah terlibat dalam kemalangan, pateri rivet pada “bibir” bumbung bonet (hood) tersebut tidak akan kelihatan sempurna dan mempunyai kesan simen yang tidak sekata.

Anda juga hendaklah memeriksa pada bahagian bar hadapan enjin yang berdekatan dengan radiator. Pastikan besi bar tersebut terletak dalam keadaan yang sempurna dan tidak mempunyai sebarang jarak (gap) antara besi yang lain.

  • Periksa Stiker dan Marking Pada Bahagian Bonet
1200px Honda K24A Engine 01
kredit gambar – www.wikiwand.com

Kereta yang mempunyai panel bumbung bonet hadapan (hood) asli akan mempunyai tanda atau stiker asli daripada pihak pengilang rasmi. Anda juga perlulah meneliti tentang marking yang terdapat pada setiap komponen-komponen di dalam enjin kereta.

Marking yang diletakkan pada setiap komponen enjin kereta sebenarnya berfungsi untuk menandakan bahawa komponen itu merupakan komponen yang asli dan tidak pernah ditukar lagi sepanjang kereta itu sudah dibeli. Jika tiada marking pada bahagian komponen tertentu, anda sudah mengetahui bahawa komponen itu sudah pun digantikan dengan alat ganti yang lain atas faktor kerosakan.

Keadaan skru yang mengikat pada bahagian besi pemegang enjin (engine mounting) juga boleh diperhatikan. Jika skru tersebut pernah dibuka atau diganti dengan yang lain, terdapat perubahan warna atau meninggalkan kesan cela seterusnya menjadi indikator bahawa komponen di dalam enjin itu pernah ditukar.

  • Periksa Warna Air Radiator
coolant radiator tank
kredit gambar – www.mekanika.com.my

Anda dinasihatkan untuk memeriksa warna air radiator kereta. Pastikan warna cecair penyejuk (coolant) berada dalam keadaan yang jernih dan tidak berkarat. Jika warna cecair penyejuk berwarna karat, ini menunjukkan bahawa keadaan enjin kereta terpakai tersebut tidak berada dalam keadaan yang baik.

  • Periksa Warna Minyak Hitam
minyak enjin hitam e1458237865425
kredit gambar – pandulaju.com.my

Cara untuk memeriksa keadaan minyak hitam kereta adalah dengan menarik keluar besi penyukat minyak hitam. Apabila sudah ditarik keluar, perhatikan warna minyak hitam yang melekat pada besi penyukat minyak hitam tersebut. Keadaan warna minyak hitam yang baik di dalam enjin ialah mempunyai warna yang cerah dan bukannya terlalu gelap. 

Melalui kaedah pemeriksaan minyak hitam, anda juga akan dapat mengetahui jika minyak hitam itu ada bercampur dengan air di dalam enjin. Jika terdapat buih-buih yang kelihatan, kemungkinan besar kereta itu pernah mengalami overheating dan tidak baik kepada kesihatan enjin kereta. Pemeriksaan minyak yang ada pada tangki power steering kereta turut boleh dilakukan untuk memastikan tiada sebarang kebocoran.

  • Periksa Keadaan Pilar Kereta
main qimg 8751c0633b51b846feff3596b5e64291
kredit gambar – www.quora.com

Anda hendaklah membuat pemeriksaan terhadap pilar kereta. Hal ini demikian kerana, pilar kereta merupakan bahagian rangka kereta yang menyerap hentakan semasa berlaku kemalangan. Cara untuk memeriksa keadaan pilar kereta adalah mudah.

Pertama sekali, buka pintu di bahagian pemandu terlebih dahulu. Kemudian, tanggalkan getah yang terdapat pada pilar A. Setelah ditanggalkan, anda akan dapat melihat keadaan sebenar pilar A tersebut. Jika pilar A masih dalam keadaan yang sempurna iaitu mempunyai pateri rivet dari kilang maka bahagian tersebut tidak pernah mengalami sebarang kemalangan. Ulangi langkah ini untuk memeriksa bahagian pilar yang lain.

  • Periksa Bahagian Belakang Kereta
kredit gambar – www.youtube.com (Luke Mods)

Bahagian ini semestinya perlu diberikan perhatian yang sama seperti pada bahagian-bahagian yang lain. Sebagai pembeli yang bijak, anda hendaklah memeriksa bahagian belakang kereta iaitu dengan membuka ruang but kereta sehingga pada bahagian penyimpanan tayar ganti (spare tyre). 

Pada ruang ini anda hendaklah memerhatikan keadaan gam atau simen yang dilekatkan. Sekiranya terdapat gam atau simen yang kemas, ia menandakan bahagian itu tidak pernah mengalami kemalangan. Sebaliknya, kereta yang pernah mengalami kemalangan pada bahagian belakang tidak akan mempunyai simen yang sempurna malah akan terus diwarnakan dengan menggunakan cat bagi menutupi kerosakan bahagian itu.

Lekuk yang kemas pada bahagian tempat penyimpanan tayar ganti (spare parts) juga menunjukkan bahawa kereta itu tidak pernah berlaku kemalangan dan sebaliknya tidak mempunyai lekuk menunjukkan keadaan yang berlawanan.

  • Periksa Panel Bumbung But Belakang
KLIMS18 Proton X70 Premium 60 630x420 1
kredit gambar – paultan.org

Sama seperti memeriksa keadaan pada panel bumbung bonet hadapan (hood), perhatikan pada “bibir” bumbung but belakang sama ada mempunyai pateri rivet dari kilang ataupun tidak. Kemudian cuba untuk tutup panel bumbung but belakang. Pastikan proses ketika menutup panel bumbung but belakang berlaku dengan mudah dan tidak memerlukan daya yang kuat. Perhatikan jarak (gap) antara panel bumbung but belakang dengan kerangka kereta. Jarak bagi setiap kawasan hendaklah sama dan tidak renggang atau senget. Sekiranya senget atau ada renggang, maka bahagian belakang kereta pernah mengalami kemalangan.

Sekiranya terdapat kerosakan atau kecacatan pada kereta, cubalah untuk berunding dengan penjual untuk mendapatkan diskaun. Rundingan sebegini perlulah dilakukan kerana kos untuk membaik pulih kereta boleh menelan kos yang banyak.

8. Periksa Bahagian Dalaman, Kelengkapan dan Peralatan Asas

kredit gambar – www.carlist.my

Setelah selesai memeriksa keadaan bahagian luaran, anda perlulah memeriksa bahagian dalaman, kelengkapan dan peralatan asas kereta. Perlu diingatkan, bahagian dalaman kereta merupakan elemen yang terpenting kerana kebanyakan masa, anda akan habiskan waktu untuk memandu di dalam kenderaan tersebut.

Pastikan anda memeriksa kesemua kelengkapan dan peralatan asas kereta seperti signal, wiper, soket, lampu dan sebagainya berada dalam keadaan yang baik. Jika anda tidak berpuas hati dengan kualiti kereta terpakai yang ingin dibeli, carilah kereta terpakai lain sehinggalah anda menjumpai kereta terpakai yang berbaloi dengan harga yang dibayar. Tidak salah untuk lebih berhati-hati dan berkira-kira sebelum membuat keputusan besar terutamanya melibatkan urusan pembelian kereta sebegini.

Di samping itu, anda juga boleh boleh memeriksa perkara-perkara berikut sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta:

  1. Penyaman udara
  2. Hon kereta
  3. Radio dan pemain cakera padat atau skrin infotaiment sesentuh
  4. Lampu tinggi dan rendah, lampu kabus, lampu kabin dan lampu amaran (hazard light)
  5. Suis power window
  6. Cermin sisi
  7. Soket 2.4V atau palam pencucuh
  8. Pemegang pintu dan ruangan simpanan bahagian hadapan kereta
  9. Picu tangki minyak, bonet dan but kereta
  10. Tali pinggang keledar dan pelaras tempat duduk
  11. Tayar simpanan dan kit alatan (spana, nat dan lain-lain)
  12. Keadaan bunga tayar
  13. Indikator pada panel meter menyala dan terpadam (beg udara, bateri, enjin, Anti-Lock Braking System (ABS), handbrake dan sebagainya)
  14. Bahagian bawah kereta (lihat jika ada sebartang kebocoran)

9. Periksa Enjin

car engine 231213 640

Setelah berpuas hati dengan keadaan dalaman dan luaran kereta, periksa keadaan enjin. Sekiranya anda kurang mahir dalam perkara yang melibatkan teknikal, minta bantuan rakan-rakan yang mahir berkaitan kereta atau mengupah mekanik yang dipercayai untuk mengelakkan daripada ditipu. Mekanik kereta mahir mempunyai pengetahuan yang luas sehinggakan ada di antara mereka yang mendengar bunyi enjin sahaja sudah mengetahui kerosakan yang berlaku pada sesebuah kereta. Namun begitu, jika anda ingin memeriksa dengan sendiri berikut perkara-perkara yang boleh dijadikan panduan:

  • Periksa sama ada terdapat kesan minyak bocor
  • Radiator berada dalam keadaan baik, buka penutup untuk melihat tahap kekeruhan air radiator
  • Tiada kabel sambungan elektrik yang reput atau terputus
  • Tiada komponen yang tertanggal, haus atau rosak
  • Periksa minyak enjin

10. Pandu Uji

car 1149997 640

Sama ada anda berunding terus dengan pemilik atau penjual kereta terpakai, anda mempunyai hak untuk memandu uji kenderaan yang ingin dibeli. Minta kebenaran terlebih dahulu daripada pihak penjual untuk pandu uji kereta yang ingin dibeli bagi memberikan kepuasan dan keyakinan sebelum keputusan muktamad dibuat. Semasa pandu uji, anda perlulah melakukan perkara-perkara ini:

  1. Uji brek kereta secara perlahan dan lakukan brek kecemasan. Kenal pasti jika ada sebarang bunyi pelik semasa membrek tiba-tiba.
  2. Uji stereng semasa belok di selekoh (selekoh tajam atau selekoh biasa). Kenal pasti sama ada terdapat sebarang bunyi semasa membelok atau memutarkan stereng
  3. Pandu uji di kawasan yang tidak rata. Tujuannya untuk mengenal pasti sebarang bunyi seperti pada bahagian kompartmen dan sebagainya
  4. Pandu dalam pelbagai nilai kelajuan untuk menguji bunyi angin, gegaran enjin atau stereng dan sistem suspensi kereta
  5. Uji setiap gear yang ada pada kereta – jika transmisi manual (uji gear 1-5/6), manakala jika transmisi automatik –masukkan gear D4, D3 atau D2 termasuk R. Pastikan gear bergerak lancar dan tidak tersekat-sekat.

Akhir kata, diharapkan perkongsian mengenai 10 Tips Membeli Kereta Terpakai yang Berbaloi ini dapat membantu anda dalam memilih kereta terpakai yang sesuai. Selain itu, kami juga berharap melalui pembacaan artikel ini dapat membantu anda dalam meningkatkan lagi ilmu pengetahuan tentang bidang automotif.

Sir Mohd Afizi
Sir Mohd Afizihttps://www.sistemguruonline.my/
Fulltime Writer at Sistem Guru Online. "There are two days in the year that we can't do anything, yesterday and tomorrow!"

Anda Mungkin Meminati