Dapatkan segera info rasmi yang lengkap di sistemguruonline.my ⏬️

Bagaimana Permohonan Fasakh Sebagai 1 Pilihan Penceraian dalam Islam

Permohonan Fasakh
Bagaimana Permohonan Fasakh Sebagai 1 Pilihan Penceraian dalam Islam 2

Permohonan fasakh bukanlah suatu kezaliman tetapi ianya salah satu cara untuk membela kaum wanita yang sangat adil dan saksama. Islam itu mudah dan adil mengikut keadaan seseorang. Semua perkahwinan impikan pengakiran yang baik. Bukan mudah untuk mengemudi sesebuah perkahwinan, ianya memerlukan kesabaran dan ilmu yang berterusan.

Ada ketikanya perceraian merupakan jalan yang terbaik bagi mengelak mudharat yang besar dan salah satu perceraian yang dibolehkan adalah melalui FASAKH. Fasakh adalah perceraian jalan keluar bagi sesuatu perkahwinan yang mendatangkan mudharat kepada isteri khususnya.

FASAKH bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan antara suami isteri setelah diminta cerai oleh isteri melalui hakim. Ianya hanya boleh dilakukan oleh pihak yang berkuasa sahaja seperti hakim atau qadi apabila terdapat sesuatu sebab tertentu.

Kebiasaanya perceraian melalui fasakh dibuat oleh isteri ketika mana suami bertegas tidak mahu melafazkan talaq. Namun, tidak semudah itu hakim akan meluluskan tuntutan fasakh tersebut. Pihak-pihak akan melalui beberapa prosedur mahkamah sebelum diberikan keputusan.

Proses Permohonan Fasakh di Mahkamah Syariah

Sebenarnya, proses permohonan fasakh di bawah mahkamah syariah adalah sangat mudah dilakukan kerana ada 1 carta alir yang boleh diikuti dengan mudah. Tetapi sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita lihat senarai alasan yang membenarkan seorang isteri menuntut fasakh.

10 Alasan-alasan yang dibolehkan Kepada Isteri untuk Membuat Permohonan Fasakh

  1. Tempat di mana beradanya suami tidak diketahui selama tempoh lebih dari setahun
  2. Suami telah cuai dalam peruntukan nafkah selama tiga bulan
  3. Bahawa suami telah :
    • Dihukum dengan hukuman penjara selama tempoh satu tahun atau lebih.
    • Dibuang negeri menurut satu perintah dibawah undang-undang yang berhubungan dengan buang negeri.
  4. Suami gagal menunaikan tanpa sebab yang munasabah kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh empat bulan.
  5. Suami mati pucuk.
  6. Isteri yang dikahwin sebelum mencapai umur baligh dan menolak perkahwinan sebelum mencapai umur 18 tahun, dan belum disetubuhi oleh suaminya.
  7. Suami membuat penganiayaan terhadap isteri, antaranya :
    • Sering menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita disebabkan oleh kelakuan suami.
    • Berkawan dengan perempuan yang berperangai jahat atau hidup keji mengikut pandangan syarak.
    • Memaksa isteri hidup dalam keadaan tidak bermoral.
    • Melupuskan harta isteri secara tidak sah disisi undang-undangatau melarang isteri menggunakan haknya disisi undang-undang terhadap harta tersebut.
    • Menghalang isteri dari menunaikan kewajipan agama.
    • Suami mempunyai isteri lebih dari seorang dan gagal berlaku adil terhadap perkahwinan tersebut
  8. Suami sengaja tidak bersetubuh selama lebih empat bulan.
  9. Perkahwinan tersebut diadakan secara paksaan atau tidak sempurna akala tau apa-apa keadaan yang didiktiraf oleh syarak.
  10. Kecelaruan mental yang menyebabkan dia tidak layak untuk berkahwin

Bagaimana Cara untuk Membuat Tuntutan atau Permohonan Fasakh?

Pihak isteri perlu membuat tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah yang berdekatan. Dokumen yang diperlukan adalah:

  1. Kad pengenalan Plaintif
  2. Sijil pernikahan
  3. Sijil lahir anak-anak dan
  4. Segala dokumen yang berkaitan tentang alasan fasakh.

Didalam tuntutan tersebut pihak isteri perlu memberi sebab atau alasan munasabah yang menyebabkan perlunya fasakh tersebut. Kebiasaanya, pihak isteri tidak hanya bergantung kepada satu alasan semata-mata. Tuntutan fasakh tidak perlu kepada proses Sulh @ Alternative Dispute Resolution (ADR) yang pernah kami terangkan dalam artikel “Permohonan Penceraian dalam Islam Secara 1 Kali Lafaz dihadapan Hakim“.

Permohonan fasakh hanya cukup sekadar memastikan saman sempurna iaitu pihak Defendant tahu akan kewujudan tuntutan tersebut.

Selepas 21 hari kes difailkan, tuntutan akan dibawa kepada sebutan dihadapan pembantu hakim bagi memastikan penyampaian saman sempurna atau tidak. Sekiranya saman sempurna, kes boleh terus dibawa kepada perbicaraan.

Contoh Senarai Bukti Untuk Membuat Tuntutan Fasakh

Setiap kenyataan atau alasan fasakh yang diberikan mestilah dikemukan bersama bukti-bukti.

Sebagai contoh, apabila isteri mendakwa bahawa suaminya selalu memukul dan mencederakan tubuh badan isteri, pihak isteri perlu menyatakan bukti-bukti seperti :laporan polis, laporan kesihatan, gambar kesan pukulan atau saksi yang melihat kejadian tersebut.

Penderaan Fizikal
✔ Laporan polis.
✔ Laporan kesihatan.
✔ Gambar kesan pukul.
✔ Saksi yang melihat kejadian.

Seandainya, isteri mendakwa mengalami masalah mental ekoran daripada perlakuan atau layanan daripada suami, pihak isteri hendaklah membawa bukti seperti berikut :

Penderaan Mental
✔ Laporan kesihatan mental
✔ Bukti sms, whatsapp
✔ Saksi yang melihat/tahu kejadian.

Ada juga kes fasakh disebabkan oleh suami merupakan seorang pendiam. Sikap pendiam suami tersebut menyebabkan isteri mengalami tekanan mental dan memerlukan rawatan daripada hospital mental. Lama kelamaan perasaan sayang bertukar menjadi benci dan menyebabkan mudharat terhadap pernikahan tersebut. Pihak isteri perlu mengemukakan bukti laporan kesihatan hospital mental beserta saksi bagi memudahkan hakim membuat keputusan.

Selain itu, timbul juga isu lain yang mungkin jarang berlaku tetapi tetap ada kes-kes terpencil seperti isteri membuat tuntutan fasakh apabila si suami tidak diketahui keberadaanya. Ya, tuntuan fasakh ini boleh dibuat. Hal ini sebagaimana yang tertulis didalam enakmen, isteri berhak menuntut fasakh daripada hakim.

Namun, isteri perlu menunjukkan usaha dan ikhtiar yang telah dibuat bagi mencari suaminya. Mengikut Mazhab Syafie, isteri boleh menuntut fasakh jika suami hilang tanpa khabar berita selama 2 tahun.

Ada keadaan isteri buat tuntutan fasakh disebabkan suami suka mencarut, bercakap kotor dan sering berkata kasar dengan isteri. Nampak simple tapi kesannya kepada emosi isteri sangat mendalam. Pihak isteri boleh kemukakan bukti SMS, Whatsapp suami tersebut atau saksi yang mengenali akhlak dan peribadi suami. Penting bagi isteri untuk mencari saksi yang melihat bagaimana layanan suami terhadap isteri bukannya saksi tangkap muat.

Selain kes penganiayaan atau penderaan fizikal dan mental, kes seperti suami kaki dadah dan seumpamanya juga wujud. Jadi timbul soalan, bagaimana pula dengan suami yang terlibat dengan dadah? Sekiranya suami terlibat dengan dadah, pihak isteri boleh kemukakan bukti seperti berikut :

Suami Ada Kes Dadah
✔ Ujian air kencing.
✔ Laporan polis.

Secara amnya, alasan fasakh pelbagai mengikut keadaan dan situasi semasa perkahwinan. Ianya tidak tertakluk kepada alasan-alasan yang tertulis didalam enakmen semata-mata.

Segala alasan yang dikemukakan hendaklah beserta sekali bukti bukannya hanya dakwaan semata-mata. Mahkamah bukanlah tempat untuk melemparkan dakwaan semata-mata, untuk mendapatkan keadilan buat pihak-pihak, mereka hendaklah mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan mudharat berlaku.

Perbicaraan akan dibuat secara teliti, pihak-pihak perlu membawa bukti dan saksi-saksi lelaki yang tidak mempunyai kepentingan dalam tuntutan tersebut. Tuntutan fasakh bergantung kepada Mahkamah dan Mahkamah berhak untuk menolak tuntutan tersebut sekiranya mendapati kesahihan alasan tersebut tidak terbukti.

Akhir sekali, pihak-pihak perlu membuat hujahan kenapa pernikahan tersebut perlu difasakhkan. Pada amnnya, hakim melihat kepada kemudharatan yang berlaku. Adakah pernikahan tersebut mencapai matlamat perkahwinan sebagaimana yang islam gariskan?

Borang Permohonan Fasakh di Mahkamah

Jika ada yang mencari dimana boleh dapatkan borang tuntutan tersebut? Setiap jabatan kehakiman negeri telah menyediakan laman web bagi memudahkan orang awam mengakses mana-mana borang. Sebagai contoh, jabatan kehakiman syariah negeri Terengganu memberi akses kepada orang awam untuk memuat turun borang tuntutan seperti dibawah.

Untuk negeri berbeza, sila dapatkan di laman web mahkamah syariah negeri masing-masing atau anda boleh terus ke jabatan kehakiman syariah negeri masing-masing.

Hikmah Fasakh Terhadap Perkahwinan

Sebenarnya terdapat banyak hikmah atau kebaikan disebalik fasakh dalam perkahwinan islam ini. Antara yang dapat kami kongsikan ialah :

  1. Memberi peluang kepada isteri membuat tuntutan pembatalan perkahwinan.
  2. Mengelakkan kemudaratan yang ditanggung isteri jika ikatan diteruskan.
  3. Peringatan kepada suami agar bertanggungjawab menunaikan hak isteri.
  4. Menghindarkan suasana yang tidak baik terhadap perkembangan fizikal, mental dan emosi anak.
  5. Menyelamatkan aqidah isteri dan anak apabila suami murtad.

FAQ Permohonan Fasakh di Mahkamah Syariah

Adakah perlu kepada khidmat peguam syarie untuk tuntutan fasakh?

Untuk memudahkan dan melancarkan kes, dinasihatkan untuk mengambil khidmat peguam syarie. Sekiranya tidak mampu untuk membayar peguam, kerajaan telah menyediakan perkhidmatan Biro Bantuan Guaman. Namun, tertakluk kepada terma dan syarat.

Adakah isteri boleh membuat tuntutan lain?

Perceraian melalui fasakh tidak menghalang isteri untuk membuat tuntutan lain. Pihak isteri boleh membuat tuntutan eddah atau mana-mana tuntutan yang berkaitan .

Berapa lama tempoh untuk selesai perbicaraan?

Bergantung kepada kepadatan kes di mahkamah tersebut.

Adakah kes boleh berjalan tanpa kehadiran suami?

Boleh, kes diteruskan seperti biasa asalkan suami tahu tentang kewujudan tuntutan tersebut.

Bagaimana suami tahu seandainya perkahwinan tersebut telah difasakhkan?

Pihak mahkamah akan menghantar satu notis kepada pihak suami bagi memaklumkan pembubaran pernikahan telah berlaku. Selepas hakim menfasakhkan pernikahan tersebut, pihak isteri boleh menyerahkan kad perakuan kahwin dan sijil perkahwinan kepada mahkamah untuk dilupuskan.

Puan, apa patut saya lakukan jika suami saya selalu meminta saya berpakaian seksi di khalayak ramai?

Isteri boleh meminta fasakh dengan alasan suami menyuruh isteri hidup bertentangan dengan hukum syarie.

Apa yang berlaku jika pihak suami atau Defendan tidak hadir sepanjang prosiding berlangsung?

Prosiding perbicaraan akan berjalan seperti biasa tanpa kehadiran suami. Sekiranya suami hadir, beliau hendaklah membuat satu pembelaan bagi setiap dakwaan yang dikemukakan oleh isteri.

Apakah kesan fasakh terhadap perkahwinan?

Sekiranya hakim telah menfasakhkan pernikahan tersebut, pihak-pihak perlu melafazkan akad nikah dan mas kahwin baharu seandainya ingin bersama kembali.

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Sir Mohd Afizi
Sir Mohd Afizihttps://www.sistemguruonline.my/
Fulltime Writer at Sistem Guru Online. "There are two days in the year that we can't do anything, yesterday and tomorrow!"

Anda Mungkin Meminati