5 Variasi Laksa Popular di Malaysia Berserta Resepinya merupakan perkongsian kami tentang ilmu masakan dan makanan. Teruskan membaca untuk mengetahui pelbagai fakta menarik mengenai makanan ini berserta dengan resipi yang anda boleh cuba di rumah.
Laksa merupakan salah satu sajian sup mi pedas yang sangat popular di kawasan Asia Tenggara. Penggunaan istilah laksa dipercayai datang daripada perkataan Persia Purba yang merujuk kepada ‘mi’. Terdapat banyak teori yang mengatakan tentang kewujudan asal usul laksa ini. Namun, kewujudan laksa di Malaysia dipercayai berasal daripada kaum Peranakan Cina-Melayu di Melaka.
Pelbagai bahan yang digunakan untuk menyiapkan hidangan laksa. Daripada segi pemilihan mi, mi gandum pekat (thick wheat noodle) atau bihun beras akan menjadi keutamaan dalam penyediaannya. Selain itu, laksa juga akan disajikan bersama-sama dengan daging protein seperti ayam, udang atau ikan untuk menghasilkan rasa yang unik dan sempurna. Untuk menghasilkan kuah laksa yang sedap, makanan ini boleh dihidangkan sama ada bersama kuah kari pedas yang kaya dengan santan atau kuah berperisa masam dengan meletakkan asam jawa atau asam gelugur sebagai ramuannya.
Hidangan laksa mempunyai pelbagai variasi di rantau Asia Tenggara kerana sebilangan resepi bagi masakan ini telah dikembangkan di sepanjang jalur perdagangan maritim seperti di pelabuhan-pelabuhan yang terkenal pada suatu masa dahulu. Hubungan yang erat di antara bandar-bandar pelabuhan telah memungkinkan pertukaran idea dalam menghasilkan resepi hidangan laksa mengikut lokaliti.
Kini laksa sudah menjadi antara makanan yang paling popular di Asia Tenggara terutamanya di negara Malaysia, Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand. Lebih membanggakan lagi, hidangan laksa ini juga telah mendapat pengiktiran antarabangsa. Pada tahun 2011, CNN Travel (Cabel News Network Travel) telah menobatkan Laksa Penang di tempat ke-26 daripada 50 makanan yang paling sedap di dunia selepas melakukan tinjuan dalam talian dengan lebih 35,000 orang. Manakala bagi Laksa Kari Singapura, ia telah mendapat tempat ke-44 dalam kedudukan tersebut.
Pada bahagian di bawah, kami akan berkongsi tentang 5 variasi laksa popular yang terdapat di Malaysia berserta dengan resepi-resepinya.
1. Laksa Penang
Laksa Penang atau dikenali sebagai Asam Laksa merupakan laksa yang paling popular berbanding dengan laksa-laksa lain yang terdapat di Malaysia. Laksa ini sangat digemari oleh penduduk tempatan kerana mudah untuk didapati di pelbagai kedai seperti di pasar malam, restoran, kendera saji (food truck), pasaraya dan gerai. Disebabkan oleh populariti dan rasanya yang sedap, Laksa Penang sentiasa menjadi pilihan tuan rumah sebagai hidangan istimewa untuk dihidangkan kepada para tetamu sama ada untuk majlis rasmi atau pun tidak rasmi.
Jika dilihat sekilas pandang mengenai laksa penang, anda pasti boleh meneka tentang asal hidangan laksa ini terhasil. Laksa Penang sememangnya dipercayai berasal daripada kawasan utara Malaysia iaitu Pulau Pinang. Laksa jenis ini berasaskan mi laksa beras dan menggunakan isi ikan rebus segar sebagai bahan utama untuk kuahnya. Bukan itu sahaja, bahan-bahan masakan lain juga digunakan seperti daun kesum dan bunga kantan untuk menaikkan lagi rasa dan aromanya. Laksa Penang sedap dimakan dengan digandingkan bersama hirisan bawang, hirisan timun, daun salad, telur rebus, potongan buah nenas, limau nipis dan sebagainya untuk melengkapkan rasanya yang unik.
Sekiranya anda ingin membuat Laksa Penang yang terkenal ini, berikut merupakan resepinya:
Resepi Laksa Penang oleh resepichenom.com
Bahan-bahan untuk direbus:
- 1 kg ikan kembung
- 5 keping asam keping
- Air secukupnya
Bahan-bahan kisar (A):
- 5 biji bawang merah
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- Cili padi, buang tangkai
- 25 biji cili kering, buang biji dan rebus
Bahan-bahan kisar (B):
- Isi ikan kembung
- Air rebusan ikan kembung
- Asam keping dari rebusan ikan
Bahan-bahan kisar (C):
- Isi ikan sardin tin, dari 1 tin kecil
- Sedikit air
Bahan-bahan kisar (D):
- Tulang ikan kembung
- Sedikit air
Bahan-bahan kisar (E):
- 1/2 biji nenas
- Sedikit air
Bahan-bahan untuk sediakan kuah:
- 1/2 liter air
- Bahan-bahan kisar A,B,C,D,E (seperti di atas)
- 1/2 mangkuk air asam jawa
- 1-2 kuntum bunga kantan, dibelah 4
- 1 ikat daun kesum
- Seketul belacan bakar, agak-agak sebesar ibu jari
- 2 sudu besar petis
- Garam secukup rasa
- 1 ketul kecil gula melaka, secukup rasa
Bahan-bahan untuk laksa:
- 1 pek laksa kering
- Air secukupnya
Bahan-bahan untuk condiment / taburan atas Laksa Penang:
- Daun salad
- Daun selom
- Timun
- Bawang besar
- Cili padi
- Cili merah
- Limau nipis
- Nenas
- Telur rebus
Cara-cara Penyediaan:
- Rebus ikan kembung bersama asam keping dan air secukupnya dalam anggaran 10 minit atau sehingga ikan masak dan kemudian sejukkan.
- Ambil ikan, asingkan bahagian isi dan tulang. Simpan air rebusan dan asam keping.
- Kisar halus bahan-bahan A,B,C,D,E. Untuk Bahan D, tapis dan ambil airnya sahaja.
- Masukkan 1/2 liter air dalam periuk dan masak sehingga mendidih.
- Masukkan bahan kisar halus A,B,C,D,E.
- Tambah air asam jawa, bunga kantan, daun kesum, belacan bakar, petis, garam dan gula melaka secukup rasa.
- Cara-cara untuk rebus laksa:
- Rendam laksa dalam air sehingga lembut.
- Tapis dan masukkan ke dalam periuk yang sudah mengandungi air mendidih secukupnya. Masak sehingga laksa lembut dan tapis.
- Cara-cara untuk condiment/ bahan taburan:
- Hiris nipis daun salad atau daun selom, timun, bawang besar, cili padi, cili merah dan nenas.
- Rebus telur, kupas kulit dan belah 2.
- Potong limau nipis.
- Laksa sedia untuk dihidangkan.
Tips:
- Jika hendak guna ikan selayang segar, atau ikan parang sebagai ganti juga boleh.
- Jangan letak gula terlalu banyak supaya kuah laksa tidak menjadi manis. Cukup sekadar untuk imbangkan rasa kuah.
- Bilas sedikit laksa yang sudah direbus dengan air sejuk supaya hilang kanji laksa dan tidak lembik apabila dihidangkan.
2. Laksa Johor
Laksa Johor merupakan makanan tradisional yang berasal dari negeri selatan tanah air iaitu Johor Darul Takzim. Makanan berkuah ini sangat popular dalam kalangan masyarakatnya yang tinggal di sana. Kini, masyarakat luar turut menyukai Laksa Johor kerana makanan ini mempunyai ciri-cirinya yang sangat unik dan mempunyai identiti yang tersendiri. Perkara tersebut dapat dilihat apabila penyediaan Laksa Johor akan dihidangkan bersama spageti sebagai sumber utama karbohidrat dan tidak menggunakan mi laksa beras.
Kuah Laksa Johor adalah berbeza dengan kuah-kuah laksa yang lain kerana menggunakan kuah kari pekat dan harum baunya. Sama seperti Laksa Penang, Laksa Johor menggunakan ikan rebus segar sebagai ramuan utama untuk menghasilkan kuah yang sedap. Bahan asas lain yang digunakan untuk menambah rasa kuah agar menjadi lebih sedap ialah santan, rempah ratus, kerisik dan lain-lain. Laksa Johor enak dihidangkan dengan hirisan timun, hirisan bawang, taugeh, telur rebus, lobak masin, ulam-ulaman, kacang panjang, bunga kantan, limau kasturi dan sebagainya untuk membangkitkan rasa laksanya. Bahan tambahan seperti sambal belacan juga boleh diletakkan. Disebabkan kuahnya begitu pekat, kebanyakan orang Johor akan makan dengan menggunakan tangan sahaja.
Berikut merupakan resepi untuk membuat Laksa Johor:
Resepi Laksa Johor oleh resepichenom.com
Bahan-bahan:
- 1 kg ikan parang atau sardin (boleh campur), rebus dan asingkan isi. Simpan air rebusan.
- Santan dari 1 biji kelapa
- 2 sudu besar rempah kari daging
- Minyak masak
- 1 batang serai, dititik
- 3 sudu besar kerisik
- 1 ikat daun kesum
- 1 kuntum bunga kantan, belah 4
- 5 helai daun pudina, hiris nipis (jika suka)
- 2-3 kepingan asam keping
- Gula melaka
- Garam
Bahan-bahan untuk stok udang:
- Kulit dan kepala udang, dari semangkuk udang (asingkan isi untuk bahan kisar B)
- 2 ulas bawang putih, hiris nipis
Bahan-bahan untuk kisar halus (A):
- 1.5 inci kunyit hidup
- 2 inci lengkuas
- 2 inci halia
- 15 – 20 tangkai cili kering, buang biji dan rendam air panas
- 8 – 10 biji bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 4 batang serai, hiris nipis
- 1 sudu besar belacan bakar
- 1 1/2 sudu besar udang kering, rendam sampai lembut
Bahan-bahan untuk kisar halus (B):
- Isi udang, anggaran semangkuk kecil
- 100g isi ikan kurau masin, rendam sampai lembut
- Isi ikan rebus (dari bahan atas)
Bahan-bahan untuk spageti:
- 1 paket spageti
- 1 sudu besar garam
- Air secukupnya
- Sedikit minyak
Bahan-bahan untuk hiasan/ ulam-ulaman:
- Timun, buang kulit dan biji,hiris nipis
- Taugeh, buang ekor
- Daun kesum, hiris nipis
- Kacang panjang, hiris dadu
- Bawang besar, hiris nipis
- Limau kasturi
- Lobak masin,celur dan rincik halus
- Bunga kantan, hiris nipis
- Daun selasih, hiris nipis
Bahan-bahan untuk sambal belacan:
- 6 – 8 biji cili merah
- 10 – 15 biji cili padi
- 2 ulas bawang putih
- Belacan bakar, sebesar ibu jari
- Air perahan jus limau kasturi
- Garam dan gula secukup rasa
Cara Penyediaan:
- Cara-cara untuk stok udang:
- Kisar semua bahan sehingga halus.
- Kemudian tapis airnya.
- Cara-cara untuk spageti:
- Panaskan air sehingga mendidih. Masukkan garam dan spageti kering. Rebus mengikut arahan di paket.
- Toskan dan gaul dengan sedikit minyak supaya tidak melekat.
- Cara-cara untuk kuah laksa:
- Panaskan minyak masak dan tumis Bahan Kisar Halus A sampai naik bau.
- Masukkan serai yang dititik dan serbuk kari. Teruskan kacau di atas api perlahan sehingga pecah minyak dan garing.
- Masukkan pula Bahan Kisar Halus B, bersama air stok udang dan air rebusan ikan. Masak sehingga kuah mendidih.
- Masukkan santan, kerisik, daun kesum, bunga kantan, daun pudina, asam keping, gula melaka dan garam secukup rasa.
- Renehkan kuah di atas api perlahan sehingga mencapai tahap kepekatan yang sesuai.
- Hidangkan bersama spageti, bahan-bahan ulaman sambal belacan.
- Cara-cara untuk sambal belacan:
- Kisar cili merah, cili padi, bawang putih dan belacan. Tidak perlu letak air dan jangan kisar terlalu halus.
- Perah jus limau kasturi dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Siap untuk dihidang.
Tips:
- Penggunaan jenis ikan amat mempengaruhi rasa laksa Johor. Kebiasaannya ikan parang menjadi pilihan kerana isinya yang manis dan sedap, tetapi boleh juga dicampur bersama ikan lain seperti sardin, kembung atau selar.
- Kuah pula harus direneh perlahan-lahan setelah dimasukkan santan supaya kuah laksa akan pekat cantik dan tidak terlalu pecah minyak dari lemak santan.
3. Laksa Sarawak
Laksa Sarawak merupakan salah satu daripada juadah tradisional yang menjadi kebanggaan masyarakat negeri Sarawak Bumi Kenyalang. Laksa ini agak berbeza dengan laksa-laksa lain kerana ia mengandungi makanan laut seperti udang. Sajian ini tidak menggunakan mi laksa beras sebaliknya bihun menjadi pilihan.
Dari segi kuah laksa, Laksa Sarawak mempunyai kuah yang berwarna kemerahan seakan-akan kari dan sedikit pekat. Komponen yang perlu ada dalam menyediakan masakan ini mestilah terdiri daripada Pes Laksa Sarawak dan sambal yang pedas (sambal belacan/ sambal udang kering). Antara bahan-bahan untuk membuat pes Laksa Sarawak ialah bawang merah, bawang putih, buah keras, jintan putih, jintan manis, cili kering, lengkuas, serai, belacan bakar, kacang tanah yang digoreng, bijan yang digoreng tanpa minyak, sedikit garam dan sedikit minyak untuk menumis.
Untuk bahan perencah dalam Laksa Sarawak, isi ayam di bahagian dada (direbus terlebih dahulu dan dicarik halus) akan digunakan bersama-sama dengan udang basah, hirisan halus telur dadar, serai, santan, taugeh (telah dicelur), daun ketumbar, limau kasturi, bawang goreng dan sebagainya untuk membangkitkan keenakan rasa. Laksa Sarawak juga tidak akan lengkap jika tidak dimakan dengan sambal yang pedas.
Cara-cara untuk membuat Laksa Sarawak adalah seperti berikut:
Resepi Laksa Sarawak oleh rasa.my
Bahan-Bahan untuk Pes:
- 8 biji bawang merah, kisar halus
- 4 ulas bawang putih, kisar halus
- 10 – 12 tangkai cili kering, kisar halus
- 1 inci lengkuas, kisar halus
- 1 sudu teh ketumbar, kisar halus
- 1 sudu teh jintan manis
- 1 sudu teh jintan putih
- 3 biji buah keras, kisar halus
- 2 -3 batang serai, kisar halus
- 1 inci belacan bakar, kisar halus
- 1/4 cawan kacang tanah, digoreng dan dikisar halus
- 1/4 cawan bijan, digoreng tanpa minyak dan dikisar halus
- Sedikit garam
- Sedikit minyak untuk menumis
Bahan-Bahan untuk Kuah:
- 200 gm pes laksa
- Isi ayam secukupnya, direbus dan dicarik halus
- 1/2 kilo udang basah
- 1 bungkus bihun, direndam dan dihiris halus
- 2 batang serai , diketuk
- 250 ml santan pekat
- Garam dan gula secukup rasa
- Taugeh, dicelur
- Sedikit daun ketumbar, diracik
- Limau kasturi secukupnya, dibelah dua
Bahan-bahan untuk Sambal Udang Kering:
- 6 biji bawang merah, dikisar
- 2 ulas bawang putih, dikisar
- Sedikit belacan bakar, dikisar
- Segenggam udang kering, dikisar halus
- 4 – 5 sudu makan cili kisar
- Sedikit air asam jawa
- Garam dan gula
Cara Memasak Pes:
- Satukan semua bahan yang telah dikisar halus.
- Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan tadi sehingga keperangan. Tambah garam dan sedikit gula. Kacau rata-rata.
Cara Memasak Kuah Laksa:
- Panaskan 2 liter air dalam periuk. Kemudian masukkan udang yang sudah dibersihkan bersama serai. Rebus sehingga udang masak. Kemudian toskan udang.
- Masukkan pes laksa ke dalam air rebusan udang tadi dan kacau menggunakan api perlahan. Boleh tambah air jika perlu.
- Masukkan santan dan perasa makanan dengan garam dan sedikit gula.
- Masukkan bihun ke dalam mangkuk, letakkan bahan-bahan seperti taugeh, telur, daun ketumbar, isi ayam dan telur. Tuangkan kuahnya dan perahkan dengan limau kasturi. Hidangkan panas-panas.
Cara-cara Memasak Sambal Udang Kering:
- Tumiskan bahan-bahan kisar dan cili kisar tadi sehingga pecah minyak.
- Perasakan dengan garam dan gula dan masukkan air asam jawa. Kacau sehingga pekat.
Tips:
- Simpan pes di dalam bekas yang bertutup dan masukkan ke dalam peti sejuk untuk menyimpan dalam tempoh lama.
4. Laksam
Laksam tergolong dalam salah satu variasi laksa-laksa yang terdapat di Malaysia. Makanan ini sangat popular terutamanya di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia. Hal ini kerana, laksam dipercayai berasal dari negeri Kelantan atau negeri Terengganu. Kini, laksam boleh didapati di seluruh negara kerana ia banyak dijual di pasar malam, restoran, pasar tani mahupun di pasaraya.
Keistimewaan Laksam dapat dilihat daripada pemilihan mi yang dihidangkan. Makanan ini tidak menggunakan mi laksa beras seperti kebanyakan laksa yang lain sebaliknya ia menggunakan kuetiau yang diperbuat daripada tepung beras. Mi Laksam biasanya dihasilkan sendiri oleh pembuatnya dengan menggulung-gulungkan tepung beras cair dan kemudiannya akan dikukus. Untuk membuatnya tidak memerlukan tahap kemahiran yang tinggi kerana ia agak mudah.
Tekstur kuah laksam adalah sedikit pekat dan kuahnya jenis berlemak yang perbuat daripada santan dan ikan rebus sebagai bahan utamanya. Laksam sedap dihidangkan bersama dengan ulam-ulaman segar seperti hirisan bunga kantan, daun kesum, hirisan timun, kacang, kobis bulat dan lain-lain mengikut cita rasa. Sambal merupakan elemen wajib yang perlu diletakkan bersama untuk membangkitkan lagi selera ketika memakan Laksam ini.
Di bawah merupakan resepi untuk membuat Laksam:
Resepi Laksam oleh resepichenom.com
Bahan-bahan:
Bahan-bahan untuk kuah laksam:
- 1/2 kg ikan
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 batang serai
- 1/2 inci halia
- 1 sudu kecil lada hitam
- 3 keping asam jawa
- Seketul gula melaka
- Pati santan dari 1 biji kelapa
Bahan-bahan untuk laksa kukus:
- 3 cawan tepung beras
- 1/2 cawan tepung gandum
- 4 1/2 cawan air suam
- 1/2 sudu kecil garam
Bahan-bahan untuk sambal belacan:
- 5 biji cili merah
- 10 biji cili padi
- 2 biji jus perahan limau nipis
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan-bahan untuk ulam-ulaman:
- Kacang panjang
- Bunga kantan
- Timun
- Daun kesum
- Taugeh
- Bawang besar
- Limau kasturi
- Kubis
Cara Penyediaan:
- Cara untuk kuah laksam:
- Rebus ikan bersama sedikit air, agak-agak tenggelam ikan sahaja. Masukkan 1 asam keping, 1/2 inci halia dan sedikit garam. Rebus dalam anggaran masa 15 minit.
- Apabila ikan sudah masak, sejukkan kemudian asingkan isi ikan dan bahagian tulangnya. Air rebusan ikan jangan dibuang, tapis dan ketepikan.
- Kisar isi ikan bersama bawang merah, bawang putih, halia dan lada hitam sehingga halus.
- Panaskan periuk dan masukkan bahan kisar halus, asam keping dan serai. Masak bersama air rebusan ikan tadi dan rebus sehingga mendidih.
- Masukkan pati santan, sedikit gula melaka dan garam secukup rasa. Kacau di atas api yang perlahan. Tak perlu masak kuah terlalu lama kerana santan akan pecah minyak dan kuah akan jadi kurang sedap. Memadai cuma selama 5 minit.
- Hidangkan bersama laksa dan ulam ulaman.
- Cara untuk laksa kukus:
- Panaskan periuk kukusan. Sediakan 2 loyang berukuran 8″ atau 9″. Kalau tak ada loyang, tudung periuk pun boleh.
- Satukan tepung bersama garam.
- Bancuh dengan air suam dan kacau sehingga sebati dan tidak berketul. Kacau menggunakan whisk, lagi cepat halus.
- Sapikan sedikit minyak pada permukaan loyang, tuang adunan tepung sebanyak 3 senduk kecil.
- Kukus selama 5-8 minit. Angkat loyang dan sejukkan. Boleh juga di alirkan air sejuk di bahagian bawah loyang supaya laksa senang dikeluarkan.
- Gulung laksam dan ulang langkah sehingga adunan tepung habis. Anggaran dapat 8-9 gulung laksam.
- Gunting laksam setebal 1/2 inci sebelum dihidangkan.
- Cara untuk sambal belacan:
- Kisar kesemua cili dan gaul bersama jus limau nipis, garam dan gula secukup rasa.
- Cara untuk ulam ulaman:
- Hiris halus kesemua bahan ulam.
Tips:
- Boleh dihidangkan bersama belacan dan garam (ikut cara orang kelantan)
5. Laksa Nyonya
Laksa Nyonya atau lebih dikenali sebagai Laksa Lemak merupakan makanan yang berasal dari negeri Melaka. Makanan ini mempunyai kuah yang sangat berlemak dan sedikit pedas. Penggunaan jenis mi dalam laksa ini boleh ditentukan mengikut cita rasa sama ada menggunakan mi laksa beras atau mi kuning ataupun bihun. Antara bahan-bahan yang digunakan untuk membuat Laksa Nyonya ialah serai, santan, rempah kari daging, daun kesum, serbuk perasa dan ketumbar.
Laksa ini tidak menggunakan bahan rencah seperti ikan segar sebaliknya isi ayam, udang, bebola ikan dan telur ayam sebagai pengganti untuk menambah selera di dalam hidangan. Makanan ini juga sedap dimakan dengan kehadiran tauhu pok, hirisan timun, taugeh, potongan kacang panjang, hirisan daun kesum, bunga kantan, kerang dan kek ikan. Bagi melengkapkan rasanya yang berlemak, sambal hendaklah diletakkan sekali bagi meningkatkan nikmat ketika makan. Laksa Nyonya sedap dimakan pada waktu petang dan sesuai dijadikan sebagai jamuan rasmi atau santai untuk para tetamu.
Berikut merupakan resepi Laksa Nyonya yang mungkin anda boleh cuba:
Resepi Laksa Nyonya oleh tiffinbiru.com
Bahan-bahan:
Bahan-bahan untuk kuah:
- 1500 ml air rebusan tulang ayam
- 1500 ml air rebusan kulit udang
- 250 ml pati santan
- 10 biji bebola ikan
- 10 biji tauhu pok, potong 2 setiap 1
- 6 ekor udang galah saiz sederhana, dibersihkan
- 1 genggam daun kesum
- 2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
- 3 sudu besar cili kisar
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan-bahan untuk kisar halus:
- 8 biji bawang merah kecil
- 3 ulas bawang putih
- 1/2 inci lengkuas
- 1 inci kunyit hidup
- 3 batang serai, hiris halus
- 4 biji buah keras
- 1 genggam udang kering, rendam 10 minit dan toskan
- 1 inci belacan, dibakar
- 3 biji cili merah
Bahan-bahan ulam-ulaman:
- Timun, hiris nipis dan mayang halus
- Bawang besar, dihiris nipis dan leraikan
- Taugeh secukupnya, dibuang ekor, cuci dan toskan
- 1 genggam daun kesom, dimayang halus
- Bunga kantan, dihiris halus
Bahan-bahan lain:
- Mi laksa secukupnya (kalau guna yang jenis kering, rendam dan rebus hingga lembut, toskan dan cuci bawah air paip)
- Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
- Telur rebus, dibelah 2 setiap satu
- Sambal belacan tumis secukupnya
Cara Penyediaan:
- Untuk Kuah Laksa Lemak: Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 1/3 cawan atau lebih sedikit). Tumis bahan-bahan kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga naik minyak dan bahan2 tadi garing. Tuang air rebusan kulit udang dan air rebusan tulang ayam. Kacau rata dan biar mendidih.
- Masukkan udang. Bunga kantan dan daun kesum. Kacau dan biar udang masak. Tambah bebola ikan dan tuang pati santan. Kacau dan masak dengan api kecil hingga mendidih. Masukkan tauhu pok, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula.
- Untuk Sambal Belacan Tumis: 1 cawan cili kisar, 1 inci belacan yang dibakar dan dihancurkan. Gula dan garam secukup rasa. Tumis cili dan masukkan belacan, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Tambah garam dan gula secukup rasa. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
- Masukkan secukupnya mi laksa ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah laksa bersama isi-isinya sekali (termasuk udang galah). Hias dengan ulam-ulaman, 1/2 telur rebus, sambal belacan tumis dan perahkan jus limau kasturi.
Akhir kata, semoga perkongsian pada kali ini mengenai 5 Variasi Laksa Popular di Malaysia Berserta Resepinya dapat membantu anda dalam memahami lebih dekat lagi tentang ilmu masakan yang menjadi kebanggaan masyarakat Malaysia mahupun Asia Tenggara. Makanan yang unik seperti Laksa ini hendaklah kita warisi cara-cara untuk membuatnya dengan mempelajari melalui resepi yang telah diturunkan secara turun temurun. Buat anda yang ingin mencuba masakan laksa ini, kami mengucapkan selamat mencuba!