EGTUKAR Guru merupakan satu lagi modul pengurusan guru yang ada di dalam sistem pengurusan sekolah di bawah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia. EGTUKAR KPM ini juga adalah sangat berkait rapat dengan sistem eoperasi kerana ianya dibawah modul pengurusan guru yang sama.
Tujuan sistem ini diwujudkan adalah untuk guru-guru yang mahu membuat pertukaran ke negeri atau daerah pilihan. Kini Sistem pengurusan guru EGTUKAR bagi modul pertukaran guru sepanjang tahun 2021 di seluruh negeri di Malaysia telah pun dibuka.
Bagi proses pertukaran guru melalui modul EGTUKAR tahun 2020, ia akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu sesi Januari 2021 dan sesi Jun 2021 dengan sekali permohonan sahaja. Permohonan pertukaran guru hanya boleh dilakukan secara atas talian iaitu melalui sistem EGTUKAR. Tiada permohonan secara manual dan semua permohonan perlulah dibuat pada tarikh yang ditetapkan sahaja.
Login EGTUKAR GURU
Isi Kandungan
- 1 Login EGTUKAR GURU
- 2 Tarikh Permohonan EGTUKAR 2021
- 3 Mengenai Keputusan EGTUKAR 2017
- 4 Pertanyaan & Masalah Permohonan EGTUKAR Guru di Bawah Kendalian KPM
- 5 Statistik Terdahulu EGTUKAR 2017 bagi Proses Pertukaran Guru
- 6 Apakah Jenis Guru yang Boleh Memohon Pertukaran Melalui Modul EGTUKAR?
- 7 Mengapa Saya Gagal Dalam Permohonan EGTUKAR KPM?
- 8 Sebenarnya, Bilakah Keputusan EGTUKAR akan di Umumkan?
- 9 Apakah Alasan yang akan di Pertimbangkan oleh KPM untuk Meluluskan Pertukaran Guru?
- 10 Mengapa Pertukaran Suka Sama Suka Tidak Boleh dilaksanakan?
- 11 Adakah Permohonan EGTUKAR Tidak Akan diluluskan Secara Automatik Jika Guru Besar/ Pengetua Tidak Menyokong Permohonan Tersebut?
- 12 Adakah Boleh Membatalkan Kelulusan Pertukaran yang Berjaya atau Tidak Melaporkan Diri di Sekolah Baru?
- 13 Pengalaman Peribadi Membuat Permohonan EGTUKAR Pertukaran antara Negeri
Login EGTukar Guru
Klik untuk LOG IN ke EGTUKAR GURU
Untuk login ke sistem EGTUKAR GURU diatas, anda hanya klik pada tulisan yang dibesarkan itu. Kemudian anda boleh terus login melalui ID dan Kata Laluan anda masing-masing. Bagi guru yang pertama kali mengisi EGTUKAR, anda diwajibkan untuk mendaftar dahulu di link dibawah:
- Login EGTukar Guru Pertama Kali
- Isikan Nama, Nombor Kad Pengenalan, Nombor Gaji, ID Pengguna, Kata Laluan, Pengesahan Kata Laluan, Emel, Tarikh Lahir dan akhir sekali ialah Soalan Keselamatan.
- Klik simpan dan anda sudah siap untuk mendaftar EGtukar dan terus boleh mengisi borang EGtukar anda.
Kemas Kini: 2021
Tarikh Permohonan EGTUKAR 2021
- Tarikh buka permohonan: 15 Februari 2021
- Tarikh tutup permohonan: 28 Mac 2021
Pastikan maklumat guru dikemaskini melalui modul pengurusan guru e-Operasi dan disahkan oleh pentadbir sekolah sebelum mengemukakan permohonan pertukaran bagi mengelakkan sebarang masalah teknikal.
Mengenai Keputusan EGTUKAR 2017
Berikut admin kongsikan contoh rangka kerja pertukaran antara negeri yang telah berlaku pada tahun 2017. Seperti yang kita tahu, pengisian EGTUKAR guru kali ini hanya sekali sahaja dipohon. Maka berikut adalah tarikh-tarikh penting yang akan berlaku dalam sistem kementerian:
Pertanyaan & Masalah Permohonan EGTUKAR Guru di Bawah Kendalian KPM
Apakah Kriteria Pemilihan Guru yang Melayakkan Mereka untuk Mendapat Kelulusan Bertukar ke Negeri yang di Pohon?
Untuk pengetahuan semua guru, terdapat 3 kriteria utama yang menjadi ukuran kepada algorithma atau lebih tepat pertimbangan bagi memutuskan sama ada guru tersebut lulus bertukar atau tidak. 3 kriteria utama tersebut ialah:
- Kepentingan perkhidmatan
- Kekosongan jawatan
- Keperluan opsyen di negeri yang dimohon
Disebabkan kriteria ini, pihak KPM telah membantu menyediakan sistem lampu isyarat iaitu lampu yang menyatakan sama ada sesuatu negeri itu memiliki kekosongan jawatan atau tidak. Ia juga diselaraskan dengan jenis opsyen guru. Sistem ini diguna pakai sebagai petunjuk. Sekiranya lampu isyarat berwarna hijau, bermaksud terdapat kekosongan perjawatan dan sebaliknya berwarna merah ia menandakan perkara yang berlawanan.
Sebagai makluman, permohonan hanya akan dilayan sekiranya ada kekosongan mengikut opsyen dan antara sebab permohonan tidak dilayan adalah kerana tiada kekosongan di tempat yang dipohon, jadi manfaatkan sistem lampu isyarat tersebut supaya permohonan bertepatan dengan kekosongan yang ada ketika itu.
Bermula bulan Jun tahun 2015 kelulusan pertukaran guru antara negeri dibuat dengan menggunakan sistem lampu isyarat tersebut serta syarat keutamaan lain yang ditetapkan. Bersandarkan sistem itu juga, keputusan kelulusan permohonan guru untuk bertukar ke negeri-negeri pilihan mereka dibuat berdasarkan satu kekosongan bagi satu opsyen.
Statistik Terdahulu EGTUKAR 2017 bagi Proses Pertukaran Guru
Berikut merupakan statistik permohonan keluar masuk guru bagi sesi 2017. Mungkin dengan statistik ini dapat membantu memberikan gambaran kepada anda tentang sistem EGTUKAR. Bagi tahun 2017, guru sekolah rendah yang terlibat dalam proses EGTUKAR adalah seperti berikut:
NEGERI | MOHON MASUK | MOHON KELUAR |
JOHOR | 404 | 1900 |
KEDAH | 1935 | 145 |
KELANTAN | 2165 | 57 |
MELAKA | 497 | 189 |
NEGERI SEMBILAN | 453 | 401 |
PAHANG | 757 | 756 |
PULAU PINANG | 637 | 461 |
PERAK | 1012 | 818 |
PERLIS | 270 | 31 |
SELANGOR | 1086 | 2120 |
TERENGGANU | 1521 | 135 |
SABAH | 293 | 1042 |
SARAWAK | 338 | 2574 |
KUALA LUMPUR | 237 | 991 |
LABUAN | 20 | 82 |
PUTRAJAYA | 130 | 64 |
B. PI | 6 | 131 |
B. PEND KHAS | 5 | 79 |
Statistik pertukaran guru bagi EGTUKAR guru sekolah menengah sesi 2017 pula adalah seperti berikut:
NEGERI | MOHON MASUK | MOHON KELUAR |
JOHOR | 204 | 1628 |
KEDAH | 850 | 162 |
KELANTAN | 1965 | 37 |
MELAKA | 237 | 134 |
NEGERI SEMBILAN | 288 | 343 |
PAHANG | 579 | 683 |
PULAU PINANG | 237 | 451 |
PERAK | 697 | 585 |
PERLIS | 135 | 32 |
SELANGOR | 991 | 1031 |
TERENGGANU | 1489 | 137 |
SABAH | 77 | 941 |
SARAWAK | 53 | 1402 |
KUALA LUMPUR | 159 | 1052 |
LABUAN | 20 | 61 |
PUTRAJAYA | 126 | 25 |
BPTV | 352 | 243 |
BPI | 257 | 372 |
BPSBP & SK | 65 | 333 |
BK & K | 6 | 13 |
B. SUKAN | 13 | 17 |
B. PEND. KHAS | 15 | 30 |
Apakah Jenis Guru yang Boleh Memohon Pertukaran Melalui Modul EGTUKAR?
Permohonan secara dalam talian ini dibuka kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan:
- Gred DG29
- Gred DG32 (KUP Time-based)
- Gred DG34 (KUP Time-based)
- Gred DG38 (KUP Time-based)
- Gred DG41
- Gred DG42
- Gred DG44 (KUP Time-based)
- Gred DG48 (KUP Time-based)
- Gred DG52 (KUP Time-based) dan
- Gred DG54 (KUP Time-based) sahaja
Manakala pemohon yang menjawat jawatan seperti berikut pentadbir secara hakiki dan guru cemerlang hendaklah mengisi borang permohonan secara manual. Borang itu perlu dihantar ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) melalui JPN atau Bahagian di bawah Sektor Operasi Pendidikan (SOP) yang berkaitan.
Mengapa Saya Gagal Dalam
Permohonan EGTUKAR KPM?
Isu kegagalan pertukaran ini sebenarnya telah banyak kali kita dengar. Terutama luahan hati para guru di media sosial. Sebenarnya, punca utama guru gagal dalam memohon pertukaran adalah kerana tidak memenuhi tiga kriteria berikut:
- Kepentingan perkhidmatan
- Kekosongan jawatan
- Keperluan opsyen di negeri yang dimohon
Jadi, jika anda gagal dalam Egtukar sebelum ini, cuba anda imbas kembali adakah anda mempunyai masalah tidak memenuhi 3 kriteria utama ini? Selain itu, guru semua perlu tahu bahawa kelulusan pertukaran tidak tertakluk kepada tempoh berkhidmat secara mutlak. Ia bergantung kepada kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen di negeri khidmat semasa dan negeri yang dimohon.
Sebenarnya, Bilakah Keputusan EGTUKAR
akan di Umumkan?
Banyak khabar angin yang bertiup kencang terutama di dalam media sosial. Jadi sekali lagi diingatkan kepada semua guru, tarikh keputusan permohonan pertukaran EGTUKAR guru akan dimaklumkan secara atas talian di dalam website EGTUKAR yang rasmi.
Apakah Alasan yang akan di Pertimbangkan oleh KPM untuk Meluluskan Pertukaran Guru?
Kelulusan pertukaran adalah tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri yang dimohon. Walau bagaimanapun, semua alasan yang dikemukakan mempunyai merit/wajaran dan diambil kira dalam pertimbangan kelulusan pertukaran.
Mengapa Pertukaran Suka Sama Suka
Tidak Boleh dilaksanakan?
Secara asasnya, memang tiada istilah “pertukaran guru suka sama suka” di dalam EGTukar atau pertukaran guru secara amnya. Hal ini kerana Kelulusan pertukaran mengambil kira bilangan keseluruhan permohonan ke daerah/sekolah tersebut berdasarkan kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen daerah/ sekolah yang dimohon.
Adakah Permohonan EGTUKAR Tidak Akan diluluskan Secara Automatik Jika Guru Besar/ Pengetua Tidak Menyokong Permohonan Tersebut?
Permohonan pertukaran yang tidak disokong oleh pengetua/guru besar masih boleh dipertimbangkan berdasarkan kepentingan perkhidmatan.
Adakah Boleh Membatalkan Kelulusan Pertukaran yang Berjaya atau Tidak Melaporkan Diri
di Sekolah Baru?
Kelulusan pertukaran adalah muktamad. Guru tidak boleh membatalkan kelulusan tersebut dan perlu segera melapor diri bertugas di sekolah baharu yang telah ditempatkan. Guru boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar arahan pertukaran.
Seseorang guru atau penjawat awam yang tidak melapor diri boleh diambil tindakan berdasarkan Peraturan 4(2)(i): ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah, selaras dengan arahan Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui surat Bil. KPM. INTEGRITI(S)600-12/16 (12) bertarikh 11 Februari 2015 berkaitan dengan ketidak patuhan pegawai terhadap arahan penempatan/ pertukaran tempat bertugas.
Tetapi, anda boleh membuat penangguhan memulakan tugas di tempat baru. Guru yang ingin memohon penangguhan mula bertugas perlu melapor diri kepada pengetua/ guru besar sekolah baharu terlebih dahulu dan seterusnya membuat permohonan penangguhan kepada pengetua/ guru besar sekolah baharu. Pengetua/ guru Besar sekolah baharu boleh memberi pertimbangan ke atas permohonan penangguhan guru tidak lebih daripada empat belas (14) hari dari tarikh kuatkuasa arahan pertukaran.
Selain itu, jika para guru mempunyai sebarang kemusykilan lain boleh muat turun FAQ EGTUKAR ini:
Abaikan “Kabel” Yang Memberi Harapan Untuk Luluskan EGtukar Anda!
Untuk pengetahuan semua, pada tahun 2018 satu isu panas telah timbul di Facebook di mana ada pihak yang menyatakan mereka telah ditawarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan meminta sejumlah wang bagi menjamin proses pertukaran mereka ke negeri yang mereka mohon itu diluluskan.
Isu panas ini telah dijawab dengan tegasnya oleh pihak KPM sendiri. Untuk lebih lanjut boleh lihat artikel bertajuk “Benarkah Pendedahan Wujudnya Sindiket Licik EGTukar? Mohon KPM & SPRM Siasat Segera“.
Jadi, untuk kali ini dan seterusnya silalah berhenti percayakan pada “kabel” anda. Pastikan anda abaikan pada mereka yang menawarkan bulan dan bintang untuk membantu anda lulus dalam pertukaran. Konsepnya, proses pertukaran satu pengiraan dan susun atur dari pihak Pentadbir, PPD, JPN, KPM yang mempunyai aturan sendiri. Banyakkan berdoa dan terus memohon EGTukar anda sehingga berjaya. Insyaallah Allah mendengar suara hati guru EGtukar ini kerana setiap yang memohon pasti ada alasan dan masalah yang tersendiri. Jangan sampai duit hangus, dan EGTukar gagal.
Pengalaman Peribadi Membuat Permohonan EGTUKAR Pertukaran antara Negeri
Setiap guru mungkin ada pengalaman sendiri sama ada pengalaman memohon dan lulus atau memohon pertukaran dan gagal. Â Admin sendiri sudah rasainya dan setiap yang berlaku ada pahit manis tersendiri.
Pengalaman pertama admin ialah ketika admin memohon pertukaran antara negeri iaitu dari Kapit Sarawak dan ingin memohon ke Pahang. Kalau ditanya kenapa Pahang? Maka jawapannya mudah, admin sekadar mengikut “kononnya teori” kawan yang menyatakan kalau ingin balik semenanjung maka pilihlah negeri Pahang kerana banyak kekosongan yang ada terutama guru bahasa inggeris.
Jadi dengan teori itu dan sambil bersahaja maka admin pun isilah permohonan pertukaran itu tanpa banyak berfikir. Kalau nak tahu, tarikh pengumuman keputusanpun admin tak ambil tahu yang pasti apabila keputusan diumumkan barulah admin tahu. Itupun melalui group whatsapp yang menyatakan ada kawan admin berjaya dapat pindah.
Selepas login ke website egtukar, alhamdulillah admin sangat teruja kerana inilah kali pertama admin isi EGtukar(rasanyalah) dan terus dapat kelulusan. Jadi, tibalah proses menunggu surat pula. Memang ambil masa namun biasalah semuanya kita letak tepi sebab kita dah tahu yang kita dapat tukar walaupun dalam hati agak berdebar takut jika ada sesuatu berlaku menyebabkan pertukaran dibatalkan.
Selepas surat sampai, maka bermulalah proses buat surat serah tugas dan mengemas.
Jadi sampailah sehari sebelum balik semenanjung, tiba-tiba isteri admin sakit perut. Ketika itu dia sedang mengandung 3 bulan. Selepas pergi ke hospital kapit, doktor sahkan isteri admin telah keguguran.
Dalam kesukaran itu, admin dilema kerana isteri mahu balik semenanjung segera dan mahu “selesaikan” urusan hospital di Putrajaya. Lebih sukar apabila keadaan makin parah bila darah mula keluar. Malam terakhir di Kapit adalah malam paling menyedihkan. Kegembiraan dapat bertukar akhirnya menjadi kisah sedih. Mujur ada rakan guru yang membantu. Pagi esoknya ada yang membawa kami ke wharf Kapit menaiki kereta dan semasa dalam “bot ekspres” perjalanan 3-4jam terasa sangat lama dan memeritkan.
Dengan darah, sakit dan air mata akhirnya sampai juga ke Sibu. Bayangkan admin terpaksa membawa isteri yang sakit dan barang-barang yang banyak. Semuanya dengan kudrat dan berseorangan.
Sampai di Lapangan Terbang Sibu, admin minta dengan pramugari atau pegawai bertugas untuk masuk awal kerana kecemasan. Alhamdulillah mereka sangat membantu dan perjalanan 2 jam di dalam kapal terbang sangat menyeksakan kerana isteri perlu menahan sakit.
Alhamdulillah sampai ke Putrajaya semuanya selesai dengan baik. Isteri selamat dan berpantang di sana sebelum balik kampung di Terengganu.
Jodoh kami rezeki kami kini isteri sedang bekerja di Jerteh dan admin berada di Pahang. Sudah beberapa kali memohon pertukaran untuk balik ke Terengganu namun masih belum lulus. InsyaAllah harapnya admin juga dapat lulus pertukaran tidak lama lagi.
- Terima kasih kerana membaca. Pesan admin cuma satu. Setiap berlaku ada hikmah, tidak kira sama ada lulus atau gagal. Percayalah!
- Jika ada melibatkan kes kemalangan yang memang membahayakan seperti beberapa kes yang admin tahu iaitu kawan admin sendiri yang 4×4 mereka jatuh gaung ketika perjalanan ulang alik ke sekolah P3 dan dia cedera serius. Maka dengan pertimbangan wajar maka dia telah berjaya ditukarkan kembali ke Terengganu. Selain itu, ada juga kes yang mendapat perhatian terus dari pihak menteri pendidikan seperti kes EGTukar Cikgu Abdullah Kadir yang putus tangan dan pertukaran beliau telah diluluskan sendiri oleh Dr Mazlee.
Diharapkan dengan perkongsian pada kali ini akan dapat membantu anda untuk lebih memahami tentang sistem EGTUKAR Guru KPM Kementerian Pendidikan Malaysia. Admin mendoakan agar urusan anda dan guru-guru yang lain akan dipermudahkan bagi urusan pertukaran tempat berkhidmat. InsyaAllah.
Bagaimana cara jika terlupa kata laluan eg tukar?