Jom amal Doa Mohon Dikasihi Allah. Setiap insan beriman pasti mengimpikan untuk mendapat kasih sayang dan cinta dari Allah SWT. Menjadi hamba yang dikasihi Allah bukan sahaja memberi ketenangan hati, malah memastikan kehidupan di dunia dan akhirat diberkati.
Selain doa sebagai ikhtiar, kita juga perlu berusaha menjadi insan yang memiliki sifat-sifat yang disukai oleh Allah.
Teks Bacaan Doa Mohon Dikasihi Allah
Isi Kandungan
Doa Mohon Agar Dicintai Allah dan Orang yang Mencintai-Nya
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ، وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ، وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ، اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي وَأَهْلِي
“Ya Allah, aku memohon curahan cinta-Mu dan kecintaan orang-orang yang mencintai-Mu, serta memohon curahan amal yang dapat menghantarkan diriku mencintai-Mu. Ya Allah, jadikanlah kecintaan kepada-Mu lebih tertanam dalam jiwaku melebihi kecintaanku kepada diri sendiri dan keluargaku.” (HR Al-Tirmidzi dan Al-Hakim)
Ciri-Ciri Orang Dikasihi Allah
Terdapat beberapa ciri-ciri orang dikasihi Allah seperti berikut:
1. Orang yang Bertakwa
Takwa adalah ciri utama hamba yang dikasihi oleh Allah SWT. Dalam Al-Quran, Allah menjelaskan bahawa Dia mengasihi orang-orang yang bertakwa. Mereka adalah orang yang sentiasa melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya dengan penuh kesedaran dan rasa takut kepada-Nya. Menjaga hubungan baik dengan Allah melalui solat, puasa, dan amalan soleh adalah bukti ketakwaan. Firman Allah dalam Surah Ali-Imran, ayat 76:
“Sebenarnya sesiapa yang menepati janji (dengan Allah) dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.”
2. Orang yang Berbuat Kebaikan (Ihsan)
Allah SWT amat mencintai orang yang sentiasa berbuat baik, sama ada kepada sesama manusia mahupun kepada makhluk lain. Ihsan adalah sikap melakukan sesuatu dengan niat yang ikhlas dan menyempurnakannya dengan baik. Orang yang berbuat ihsan bukan sahaja dikasihi Allah, malah akan mendapat ganjaran yang besar di akhirat. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.”
3. Orang yang Bertaubat
Seseorang yang sentiasa kembali kepada Allah dengan bertaubat menunjukkan keinsafan dan rasa rendah hati. Allah SWT sangat mengasihi hamba-Nya yang sering bertaubat dan memohon ampun atas dosa-dosa yang dilakukan. Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 222, Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang menyucikan diri.”
Dengan mempraktikkan ciri-ciri ini, seseorang dapat mendekatkan diri kepada Allah dan berusaha menjadi hamba yang dicintai-Nya.