Dimana anda berhari raya pada tahun 2024 ini? Untuk yang telah balik ke kampung atau merancang untuk balik ke kampung, anda masih belum terlambat kerana kita masih berada dalam bulan Syawal. Anda harus rancang perjalanan anda dengan betul dan berhati-hati semasa memandu di lebuh raya nanti. Kepada yang tidak dapat pulang ke kampung, jangan bersedih, jika ada peluang dan kelapangan anda boleh balik ke kampung walaupun bukan pada hari raya.
Berdasarkan hadis Rasullulah saw, ada dua hari yang disunatkan untuk umat Islam meraikannya, iaitu hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha. Ini sebagaimana hadis ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah telah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda:
فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ يَوْمَيْنِ خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ النَّحْرِ
Maksudnya: 'Sesungguhnya Allah swt telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.'
Ini bermakna, hanya dua hari raya yang disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT. Dalam hadis yang lain disebutkan sabda Rasulullah SAW:
يَوْمُ عَرَفَةَ وَيَوْمُ النَّحْرِ وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ، عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهُنَّ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: 'Hari Arafah (untuk yang mengerjakan haji), hari korban dan hari-hari tasyriq adalah hari raya kita orang Islam, hari-hari tersebut hari makan dan minum.'
Hari raya bukan sekadar untuk berjumpa dengan sanak saudara, makan juadah istimewa dan menikmati kesegaran suasana kampung semata-mata, tetapi inilah hari kita meraikan kemenangan umat Islam dalam melengkapkan rukun Islam iaitu berpuasa serta menunjukkan rasa kesyukuran kepada Allah swt yang telah memberikan kita pelbagai nikmat, rahmat dan kasih sayangNya. Artikel kali ini ingin berkongsi momen-momen indah ketika berhari raya di kampung.
Momen Kemeriahan Hari Raya Di Kampung
Ada banyak sebab berhari raya di kampung adalah sangat istimewa dan tidak ternilai. Ini antara sebabnya:
Teringat Kenangan Dahulu
Rumah di kampung itulah tempat kita membesar dan menyimpan pelbagai memori pahit manis. Sepanjang perjalanan ke rumah, membawa kita mengimbau kenangan dengan rakan-rakan sepermainan semasa kecil dahulu, suasana malam tujuh likur dan kemeriahan jiran tetangga. Apabila kita balik kampung, kita akan mula terbayang keseronokan berhari raya masa kecil.
Gotong-Royong Raya
Apabila di kampung, keakraban hubungan tali persaudaraan bersama jiran tetangga sememangnya tidak dapat dinafikan. Suasana berjiran di bandar dan kampung adalah banyak berbeza. Di kampung, hubungan sesama jiran adalah akrab dan saling mengenali, serta mengambil berat antara satu dengan yang lain. Suasana rumah pada malam hari raya menjadi meriah dengan pelita panjut, ahli keluarga bergotong royong memasak di luar rumah.
Main Bunga Api
Tidak dilupakan juga, di musim perayaan, bunga api dan mercun ini sudah menjadi kewajipan. Kanak-kanak mahupun orang dewasa akan gemar memainkan bunga api di malam hari raya. Cuma perlu diingatkan bahawa penjualan umum bunga api hanya dibenarkan bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan Keamatan. Penjualan bunga api dan mercun pada hari selain daripada hari-hari perayaan adalah suatu kesalahan.
Ziarahi Pusara
Pada hari raya ini juga menjadi rutin menziarahi pusara mereka yang telah pergi meninggalkan kita. Tidak ada nas secara khusus melarang ziarah kubur pada hari raya. Amalan menziarah kubur selepas dari sembahyang hari raya, adalah tidak mengapa jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati, serta memohon rahmat daripada Allah SWT untuk mereka dengan berdoa. Adalah sangat baik jika kita menziarahi kubur pada hari raya, untuk mendoakan ibubapa atau atuk nenek yang telah pergi terlebih dahulu daripada kita. Jika anda ingin menziarahi kubur, anda boleh lafaz doa ini (Lafaz Doa Ziarah Kubur Ibubapa).
Kumpul Duit Raya
Waktu hari raya adalah masanya untuk kita berjumpa saudara mara di kampung sambal bertukar cerita. Kanak-kanak akan lebih gembira kerana boleh mengikuti ibu bapa berziarah raya di rumah jiran sambil mengumpul duit raya. Lebih-lebih lagi seronok jika orang tua seperti Atuk dan Nenek masih ada lagi. Dengan kecangihan teknologi sekarang, duit raya boleh dibayar dengan e-duit raya Maybank. Cuba belajar cara buat e-duit raya dengan rujuk artikel ini ( E-duit Raya).
Bermaaf-maafan Sesama Keluarga
Walaupun tak semeriah dahulu, tetapi tradisi lebaran masih diteruskan. Selain bertukar juadah, ada aktiviti bertakbir dari rumah ke rumah dan bersalaman memohon maaf yang dimulai dari ahli keluarga paling tua dan diakhiri dengan ahli termuda sebelum kita konvoi beramai-ramai ke rumah sepupu sepapat.
Konvoi Raya
Konvoi raya menjadi pilihan anak muda sebelum pulang beraya, dan semasa menziarahi sanak sedara di kampung. Kebiasaannya mereka memilih konvoi menaiki motor kerana ia menjimatkan kos dan mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas terlalu lama. Pastikan anda memilih jalan yang kurang kesesakan lalu lintas seperti laluan SMART (Laluan SMART).
Menghirup Udara Segar dengan Pemandangan yang Mendamaikan
Paling best tentunya adalah apabila kita dapat menghirup udara segar di rumah kampung yang dikelilingi pepohon hijau yang menenangkan. Jika kampung anda di kelilingi sawah padi yang menghijau, beruntunglah kerana anda boleh bergambar dengan latar belakang yang sangat indah untuk kenang-kenangan. Dapat pula jika ada sungai di sebelah rumah anda, bertambahlah seronok anda berhari raya dengan pemandangan yang indah ini. Jika anda ingin tahu cara berposing gambar yang menarik, boleh rujuk (Cara Berposing Raya).
Soalan FAQs Berkenaan Momen Hari Raya
Bilakah tarikh hari raya tahun 2024?
10 April 2024, hari rabu.