PT3 tahun 2021 telah dibatalkan

PT3 tahun 2021 telah dibatalkan

Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun 2021 telah dibatalkan. Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin telah mengumumkan bahawa PT3 telah dibatalkan pada satu sidang media khas sebentar tadi di Petaling Jaya.

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil keputusan membatalkan PT3 pada tahun ini atas faktor-faktor tertentu dalam usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 di dalam kluster pendidikan. Pada sidang media beliau berkata:

Penularan jangkitan Covid-19 tidak dapat ditangani sepenuhnya. Dengan membatalkan pelaksanaan PT3 pada tahun ini, kaedah pentaksiran murid masih boleh dijalankan.”

Keputusan ini dibuat ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19 mendadak melibatkan sektor pendidikan kebelakangan ini. Kelmarin beliau telah mengumumkan bahawa sesi persekolahan 2021 akan dilaksanakan secara PdPR selama 10 hari selepas cuti Hari Raya dan akan dijalankan secara bersemuka semula selepas cuti penggal persekolahan.

Sebelum ini, Datuk Dr. Radzi Jidin membuat perkongsian di Facebook berkaitan pelaksanaan PdPR dan jadual sesi persekolahan PdPR ketika cuti Hari Raya.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil langkah untuk melaksanakan Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri. Pelbagai inisiatif dan langkah telah dilakukan oleh KPM yang terbaik dalam usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 yang melibatkan sektor pendidikan terutamanya di peringkat persekolahan.

Seperti kita tahu setakat bulan April ini, terdapat 83 kluster jangkitan Covid-19 telah melibatkan sektor pendidikan sejak Januari tahun ini. Penutupan sekolah telah dilakukan di beberapa buah negeri zon merah bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 terutamanya dalam kalangan warga sekolah iaitu guru, pelajar dan staf sekolah.

Perkongsian Bermanfaat

Akhir kata, diharapkan dengan perkongsian berkaitan PT3 tahun 2021 telah dibatalkan dapat menyebarkan maklumat terkini kepada warga pendidik. Semoga guru-guru dapat membuat persediaan untuk melakukan penilaian kepada pelajar bagi memastikan pelajar mendapatkan pendidikan secara optimum walaupun Pentaksiran Tingkatan 3 telah dibatalkan

Oleh itu, dalam melaksanakan pembelajaran secara PdPR pula guru-guru perlu menyediakan pelbagai persiapan dari segi mental, fizikal dan bahan-bahan melaksanakan tugas yang diamanahkan tidak kira apa jua situasi dihadapi bagi memastikan pelajar mendapatkan sumber pendidikan yang berkualiti tanpa sebarang masalah. Selain itu, ketika proses PdPR dijalankan, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka memberi komitmen semasa PdPR dijalankan.