Kenali 8 Baka Kucing Domestik dan Sifat-Sifatnya merupakan salah satu daripada perkongsian info am yang menarik untuk anda ketahui pada kali ini. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang fakta-fakta mengenai kucing domestik tersebut dan sifat-sifat yang dimiliki olehnya.
Kucing ialah sejenis haiwan mamalia karnivor kecil daripada spesis keluarga felis catus. Haiwan ini merupakan satu-satunya spesies yang dijinakkan dalam keluarga Felidae dan sering disebut sebagai kucing peliharaan untuk membezakannya dengan anggota kucing liar yang lain.
Seekor kucing boleh menjadi sebagai kucing rumah (house cat) yang jinak, kucing di ladang (farm cat) untuk membunuh makhluk perosak atau kucing jalanan (stray cat) yang tidak mahu berinteraksi dengan manusia secara langsung dan lebih suka hidup secara bebas. Kucing domestik amat digemari oleh manusia kerana haiwan ini mampu membina hubungan persahabatan di antara manusia dan haiwan selain daripada kemampuannya yang hebat dalam memburu. Setakat ini, kira-kira terdapat 60 baka kucing yang diiktiraf oleh ahli-ahli penternak kucing.
Terdapat pelbagai baka kucing domestik yang wujud seperti baka yang tidak mempunyai berbulu ataupun ekor. Baka-baka kucing domestik ini juga wujud dalam pelbagai warna yang berlainan dan ada juga yang mempunyai banyak warna pada bulunya. Jika anda berminat untuk memelihara kucing-kucing domestik ini, anda perlulah mengambil tahu tentang jenis baka dan sifat-sifatnya agar dapat menjaga kucing tersebut dengan betul.
Baka Kucing Domestik dan Sifat-Sifatnya
Isi Kandungan
Di sebalik kecomelan kucing domestik yang sering anda lihat, tahukah anda bahawa kucing juga mempunyai pelbagai jenis baka yang berbeza? Berikut merupakan senarai 8 baka kucing domestik berserta dengan sifat-sifatnya yang perlu anda ketahui sebelum berhasrat untuk pelihara:
1. Kucing Berbulu Pendek Amerika (American Shorthair)
Kucing ini berasal dari benua Eropah. Kemudiannya ia telah dikembang biak di negara Amerika dan menjadi American Shorthair seperti yang dikenali pada zaman sekarang. Disebabkan corak bulunya yang cantik dan mengkagumkan, harga kucing American Shorthair suatu masa dahulu menjadi sangat mahal. Sifat fizikalnya yang mempunyai bentuk badan yang seimbang, kaki lurus yang pendek dan mempunyai torso yang besar juga menyumbang kepada harga penjualan kucing ini.
Felin comel ini mempunyai sifat semulajadi yang ceria, peramah, tenang dan mempunyai naluri seperti pemburu. Sekiranya anda ingin memelihara kucing American Shorthair, anda hendaklah sentiasa meluangkan masa untuk bermain dengannya.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk membuat kucing ini berasa teruja dan gembira adalah dengan bermain bola, mainan, anak patung atau menggoncang-goncangkan makanan kesukaannya. Melalui cara seperti ini, kucing American Shorthair akan dapat membiasakan diri dengan manusia.
Namun begitu, perlu diingatkan bahawa kucing jenis ini gemar untuk makan dan mudah bertambah berat badan. Anda juga disarankan untuk sentiasa memeriksa keadaan sekeliling tempat tinggal mereka dari ancaman binatang yang berbahaya agar kucing ini sentiasa berada dalam keadaan selesa.
2. Kucing Baka Abisinian (Abyssinian)
Baka kucing menawan ini pula mempunyai rupa paras seakan-akan kucing liar yang dikenali sebagai kugar (cougar). Haiwan berbulu ini mempunyai bulu berwarna kemerah-merahan yang mempersonakan. Sekiranya anda mahukan sejenis haiwan peliharaan yang kelihatan anggun, mungkin kucing Abyssinian ini boleh dijadikan sebagai pilihan. Hal ini demikian kerana, baka kucing yang cantik ini merupakan baka yang bertahap bangsawan dalam kelompok kucing-kucing.
Jika ditelusuri tentang sejarah baka-baka kucing, baka Abyssinian ini memegang takhta sebagai baka kucing peliharaan yang paling tertua di dunia. Hal ini dipercayai apabila semasa zaman Mesir Purba terdapat banyak lukisan dan arca-arca yang dilukis menggambarkan baka kucing ini. Kini baka kucing Abyssinian telah dibiakkan secara teliti berdasarkan warna, corak dan jenisnya. Oleh itu, sifat bentuk badan kucing ini adalah langsing, panjang dan mempunyai mata yang besar serta bulu yang gebu.
Jika pertama kali anda berjumpa dengan kucing baka Abyssinian, anda pasti akan terpukau. Hal ini kerana, kucing ini mempunyai bentuk anak mata yang bujur. Gerak-gerinya yang lincah menyerupai harimau kumbang apabila bermain dan melakukan aktiviti akan membuatkan ada teruja. Haiwan cergas ini juga mempunyai pergerakan seakan-akan seperti penari.
Kucing baka Abyssinian mampu menjadi haiwan peliharaan yang terbaik sekiranya anda menjaganya dengan baik, lembut dan penuh kasih sayang. Jenis kucing ini tidak bising tetapi mereka amat suka memanjat dan tidak suka dikurung. Oleh itu anda perlulah mengambil tumpuan terhadap aspek ini sekiranya ingin menjadikan kucing ini sebagai haiwan peliharaan anda.
3. Kucing Baka Bengal
Kucing Bengal berasal daripada kacukan baka-baka kucing seperti Abyssinian, Bulu Pendek Amerika (American Shorthair), Burma (Burmese), Mau Mesir (Egyptian Mau) dan Kucing Harimau Bintang Asia (Asian Leopard Cat).
Baka kucing ini adalah unik kerana ia adalah satu-satunya kucing yang berketurunan langsung daripada kucing liar yang besar iaitu dari kucing Harimau Bintang Asia yang hebat. Semasa para penyelidik menjalankan proses penyelidikan, mereka bermatlamat untuk menghasilkan baka kucing yang mempunyai rupa keturunan kucing liar tetapi terdapat pada seekor kucing domestik. Perkara ini dapat dicapai dengan mengkacukkan beberapa baka kucing yang telah dinyatakan tadi sehinggalah terhasil baka baharu yang dikenali sebagai baka Bengal pada hari ini.
Kucing baka Bengal ini sememangnya baka yang amat istimewa kerana ia mampu menarik hati semua orang yang bertuah untuk bertemu dengan mereka. Warna dan corak bulunya yang cantik pastinya meletakkan kucing Bengal dalam kategori baka yang unik.
Jika anda berminat untuk memelihara kucing jenis ini, anda mestilah mengetahui bahawa kucing baka Bengal mempunyai sifat yang lincah, energetik dan sangat suka bermain. Mereka juga mempunyai sifat seperti ingin menjadi bos. Oleh itu, anda haruslah mempunyai ilmu yang cukup agar dapat menjaga kucing ini dengan betul.
4. Kucing Berbulu Pendek British (British Shorthair)
British Shorthair atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai kucing Berbulu Pendek British merupakan baka kucing tertua yang terdapat di England. Baka kucing ini dipercayai berasal dari keturunan kucing zaman kuno Rom dan telah dibawa masuk ke Britain semasa era pencerobohan berlaku. Kucing British Shorthair agak berbeza kerana ia mempunyai rupa yang comel dan berkebolehan untuk memburu. Kini, baka kucing British Shorthair menjadi semakin popular dan kerap berada di dalam iklan televisyen dan di dalam filem-filem Hollywood.
Berukuran badan yang sederhana dengan bulu yang gebu akan menarik minat anda untuk memeliharanya sebagai haiwan peliharaan. Kucing baka ini licik dan senang dijaga namun mereka merupakan kucing yang boleh berdikari dan suka akan suasana sunyi. Kebanyakan pemilik kucing British Shorthair memuja akan penampilannya yang manja tetapi hakikatnya kucing ini mempunyai tubuh yang sangat kuat. Kucing ini juga mempunyai kepala berbentuk bulat dan mata yang besar.
Kucing baka British Shorthair turut tidak terlepas daripada mendapat risiko masalah berat badan yang berlebihan. Anda hendaklah menggalakkan kucing ini untuk melakukan aktiviti bagi membakar lemaknya seperti bermain permainan mengacah. Kucing ini memerlukan ruang yang sesuai dan bilik untuk bermain bagi menghilangkan rasa tertekan. Sekiranya gagal, mereka akan melarikan diri.
5. Kucing Baka Maine Coon
Kucing Maine Coon adalah salah satu daripada baka asli tertua yang ada di Amerika Utara atau lebih spesifiknya di kawasan Maine, Amerika Syarikat. Baka ini kelihatan seperti silang biak antara kucing berbulu pendek domestik dengan kucing luar negara yang berbulu panjang. Terdapat beberapa cerita yang cuba menjelaskan bagaimana baka ini wujud. Salah satu cerita yang sering beredar ialah mendakwa bahawa kucing Maine Coon merupakan baka silang antara kucing dan rakun.
Maine Coon adalah kucing yang paling besar daripada semua felin domestik yang wujud. Hal ini demikian kerana, kebanyakan kucing baka Maine Coon boleh mencecah beratnya sehingga 15 kilogram. Kucing baka ini kuat, tahan lasak dan boleh bertahan dengan cuaca yang melampau. Bulu Maine Coon juga berat dan berkilat. Secara umum, bulu kucing Maine Coon jantan adalah lebih tebal berbanding dengan kucing Maine Coon betina. Kucing ini turut mempunyai tapak kaki yang besar.
Baka Maine Coon memiliki sifat yang lembut dan suka bermain. Anda boleh mempertimbangkan untuk memelihara kucing baka ini kerana ia mempunyai sifat yang setia dan penyayang terhadap tuan yang memeliharanya. Kucing ini juga amat gemar berada di sekeliling manusia. Anda boleh memberikan sedikit snek kepada kucing ini untuk mengeratkan hubungan serta membolehkannya melepaskan tenaga dan beristirahat.
Disebabkan baka kucing ini gemar untuk bermain, anda juga haruslah menyediakan beberapa permainan yang boleh menarik minat dan mendorongnya untuk melakukan aktiviti. Perlu diingatkan, anda hendaklah sentiasa menyikat bulu kucing baka Maine Coon ini setiap hari atau sekurang-kurangnya sebanyak 2 kali seminggu dan membawa mereka keluar.
6. Kucing Baka Scottish Fold
Scottish Fold telah ditemui buat pertama kalinya oleh seorang petani di Scotland pada tahun 1961. Kucing ini memiliki karakter yang hebat dengan telinganya yang terlipat dan mukanya kelihatan seperti seekor burung hantu. Atas sebab-sebab fizikalnya yang unik, kucing baka ini juga digelar sebagai “lop-eared” atau “lops” kerana sejak umurnya 1 bulan, telinganya sudah mula terlipat. Dari segi fizikal tubuh badan yang lain, kucing Scottish Fold memiliki ukuran badan sederhana besar, ekor panjang dan bulat, torso yang bulat serta bermata besar.
Kucing jenis baka ini mempunyai sifat semulajadi yang sopan, jinak dan penyayang. Hal ini akan membuatkan anda berasa sukar untuk berenggang dengannya. Kucing ini juga amat tidak suka apabila ditinggalkan bersendirian. Mereka lebih suka untuk menghabiskan waktu untuk bermain bersama dengan tuannya. Oleh yang demikian jika anda memeliharanya, anda perlulah meluangkan masa untuk bermain dan memberikan snek dengan cara yang menarik seperti menggunakan trik menggunakan tangan. Ini adalah satu peluang yang baik untuk mengeratkan lagi hubungan anda dengan kucing anda.
Selain daripada memberikan perhatian lebih untuk waktu bermain bersamanya, anda juga haruslah kerap memeriksa telinga kucing ini setiap bulan untuk mengenal pasti sebarang tanda kerengsaan, hama atau sebarang jangkitan. Baka Scottish Fold ini mempunyai penyakitnya yang tersendiri dan perlu dibawa secara berkala ke doktor haiwan bagi memeriksa tahap kesihatannya.
7. Kucing Baka Ragdoll
Sekiranya anda berhasrat untuk memiliki kucing yang santai dan sangat penyayang, maka Ragdoll adalah jenis kucing yang tepat untuk anda. Baka kucing ini bersifat tenang, lembut dan mudah bergaul. Kucing Ragdoll berasal dari Amerika Syarikat. Sebagaimana namanya, kucing ini mempunyai sifat yang sangat suka bersantai dan melepak dalam pelukan tuannya persis anak patung jenis kain.
Terdapat beberapa teori berkaitan dengan asal usul baka Ragdoll, tetapi secara umumnya ia dikaitkan dengan baka kucing Colourpoint Persian, Birman dan kucing Siam. Walau dari mana pun asalnya, Kucing Ragdoll adalah sejenis kucing tenang yang hanya suka bersama manusia. Baka ini memiliki tubuh yang panjang, dada yang lebar berotot,tulang kaki yang kuat, tengkorak yang besar,pipi yang bulat dan mata berwarna biru yang besar berbentuk bujur di sebalik wajahnya yang sangat comel.
Bulu yang dimiliki oleh kucing baka Ragdoll adalah sedikit panjang and tidak tahan lasak kerana teksturnya lembut menyerupai bulu arnab. Ciri-ciri fizikal lain yang membuatkan baka kucing ini berbeza dengan baka yang lain ialah Ragdoll mempunyai ekor dan lingkaran bulu di leher yang begitu lebat. Bulu di bahagian kaki dan pinggangnya juga panjang.
Kucing Ragdoll suka ditemani dan mengekori tuannya seperti anak anjing. Haiwan comel ini juga mahu terlibat dalam aktiviti harian di rumah dan ia akan berasa jengkel jika anda tidak menyapanya apabila anda tiba di rumah setiap hari. Sekiranya anda memilih untuk menjadikan baka kucing ini sebagai pilihan kucing peliharaan anda, anda hendaklah bersedia untuk menyikat bulunya dengan kerap. Penyediaan ruang yang luas untuk kucing ini bermain, menjelajah dan berkeliaran bebas juga amat diperlukan.
8. Kucing Baka Persia
Kucing Persia adalah baka kucing asing yang pertama dibawa masuk ke Thailand. Baka kucing ini telah menjadi satu daripada baka kucing yang paling terkenal baik di negara Thailand mahupun di peringkat antarabangsa. Kucing Baka Persia memilki kepala yang bulat, dengan telinga kecil yang membulat di hujungnya. Kucing ini mempunyai sifat semulajadi yang manja, peramah, licik, ceria dan bijak. Selain itu, bentuk mukanya yang unik telah menjadi penyebab mengapa orang tertarik kepada mereka.
Berdasarkan catatan keturunan baka ini, kucing persia berasal dari Persia atau pada masa kini dikenali dengan nama negara Turki dan Iran. Dalam satu catatan dokumen kuno, kucing jenis ini telah diperkenalkan di Eropah sebagai Turkish Angora. Mereka telah dikacukkan dengan baka kucing lain dan akhirnya terdapat baka yang telah didaftarkan di England sebagai kucing Persia.
Kucing baka Persia memiliki bulu yang tebal dan panjang. Oleh itu jika anda ingin memelihara kucing jenis ini, anda mestilah mengetahui bagaimana untuk mengelakkannya daripada terkena strok haba. Anda perlu mengelakkannya daripada dibawa ke luar rumah. Penyediaan air bersih yang sentiasa juga penting untuk kucing Persia ini.
Akhir kata, Kenali 8 Baka Kucing Domestik dan Sifat-Sifatnya ini sedikit sebanyak dapat membantu anda dalam memilih baka kucing yang sesuai dengan citarasa anda. Kucing domestik sememangnya sejenis haiwan peliharaan comel untuk dipelihara selain daripada arnab, burung, anjing dan lain-lain. Kucing merupakan haiwan yang manja dan penyayang terhadap manusia yang mengasihinya. Apapun jua jenis baka kucing yang anda akan pilih untuk dijadikan sebagai peneman, setiap baka-baka kucing tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Sebagai pemilik kucing, kita mestilah menjaga dan merawat mereka dengan baik agar ia sentiasa berasa selesa dan selamat.