Bangunan-Bangunan Ikonik di Dunia (Bahagian 1)

 

Bangunan-Bangunan Ikonik di Dunia (Bahagian 1) merupakan topik perkongsian kami seputar info berkenaan dengan sektor pelancongan. Teruskan membaca agar dapat menambah pengetahuan tentang kesemua bangunan-bangunan ikonik tersebut melalui fakta-fakta ringkas yang akan diterangkan pada bahagian seterusnya.

Setiap negara mempunyai bangunan ikoniknya yang tersendiri. Bangunan yang berdiri megah ini, seolah-olah telah menjadi sebagai suatu lambang atau menggambarkan identiti kepada negara tersebut. Bukan itu sahaja, bangunan ikonik yang dibina juga mampu menarik minat para pelancong dari segenap pelosok dunia untuk datang dan menyaksikan keindahan seni bina dan sejarah di sebalik bangunan-bangunan itu.

Tanpa melengahkan masa lagi, berikut merupakan bangunan-bangunan ikonik yang terdapat di seluruh dunia dan boleh anda lawati:

1. Menara Eiffel – Paris, Perancis

Lokasi: Champ de Mars, 5 Avenue Anatole France, 75007 Paris, France

Menara Eiffel atau disebut sebagai Tour Eiffel (fonetik: [tuʁ‿ɛfɛl]) adalah salah satu daripada mercu tanda yang paling diketahui oleh semua orang tidak kira mereka berasal dari negara mana sekalipun. Disebabkan popularitinya, menara ini telah menjadi antara monumen yang paling banyak dikunjungi di dunia. Perkara ini dapat dibuktikan apabila terdapat berjuta-juta pelancong dari dalam dan luar negara yang datang untuk melihat kecantikan Menara Eiffel pada setiap tahun.

Bangunan ikonik ini telah dinamakan sempena nama Gustave Eiffel iaitu seorang jurutera yang merancang dan membina menara ini pada tahun 1887 sehingga tahun 1889. Ketinggian Menara Eiffel adalah sekitar 324 meter atau setinggi bangunan 80 tingkat. Para pelancong yang mengunjungi bangunan ikonik ini akan mempunyai akses seperti makan di restoran dan boleh menaiki lantai teratas sekali yang mempunyai platform 276 meter dari atas tanah. Fungsi lantai teratas tersebut adalah untuk dijadikan sebagai dek pemerhatian tertinggi yang dapat diakses oleh orang awam di kawasan Kesatuan Eropah (EU).

2. Menara Berkembar Petronas – Kuala Lumpur, Malaysia

Lokasi: Lower Ground (Concourse) Level, PETRONAS Twin Towers, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia

Menara Berkembar Petronas merupakan bangunan ikonik yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Bangunan ini merupakan sepasang menara berkembar yang terletak di ibu negara dan pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia pada tahun 1998 sehingga tahun 2004 sebelum diatasi oleh Menara Taipei 101,Taiwan dan Menara Burj Khalifa, Emiriah Arab Bersatu. Meskipun begitu, Menara Berkembar Petronas masih lagi memegang rekod sebagai menara berkembar tertinggi di dunia dan juga merupakan bangunan tertinggi pada abad ke-20.

Individu bertanggungjawab dalam membina bangunan ikonik ini ialah César Pelli yang berasal dari Argentina. Proses pembinaan Menara Berkembar Petronas mengambil masa kira-kira selama 7 tahun dan berakhir pada tahun 1998. Menara Berkembar Petronas mempunyai ketinggian sebanyak 88 tingkat. Bahan binaan utama untuk membina bangunan ini diperbuat daripada besi konkrit bertetulang, keluli dan kaca yang direka khas untuk menyerupai motif kesenian Islam yang sinonim dengan negara Malaysia.

Selain itu, pengaruh seni Islam juga ada diterapkan iaitu pada keratan rentas kedua-dua menara yang berbentuk Rub el Hizb (dua segi empat sama bertindih) dan ditambah dengan bahagian bundar untuk memenuhi keperluan ruang pejabat. Seperti yang telah tertera pada nama Menara Berkembar Petronas, menara ini semestinya dimiliki oleh syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia iaitu Petroliam Nasional Berhad (Petronas). Pada hari ini, terdapat ramai pelancong dari dalam dan luar negara akan mengunjungi sekitar kawasan bangunan untuk bergambar dan melihat keindahan bangunan ikonik Malaysia.

3. Menara Condong Pisa – Pisa, Itali

Lokasi: Piazza del Duomo, 56126 Pisa PI, Italy

Menara Condong Pisa (Torre Pendente di Pisa) ialah sebuah menara loceng untuk Agama Kristian Katolik Rom dan merupakan bangunan ketiga tertua di kawasan Cathedral Square (Piazza del Duomo) selepas bangunan Katedral Pisa dan Pisa Baptistry. Pembinaannya telah berlaku selama tiga peringkat dalam tempoh 199 tahun.

Bangunan ini mula menjadi condong pada abad ke-12 akibat daripada struktur asas yang bermasalah. Menara Pisa dibina di atas tanah yang terlalu lembut pada satu sisi dan tidak dapat menampung struktur binaan dengan betul. Tidak terhenti pada ketika itu sahaja, kecondongan menara ini menjadi semakin menonjol pada abad ke-14. Sebagai langkah untuk memulihara Menara Condong Pisa, terdapat banyak proses dilakukan untuk membaiki keadaan bangunan ikonik ini dan akhirnya Menara Pisa kembali stabil pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21 untuk dilawati oleh para pengunjung.

4. Panggung Opera Sydney – Sydney, Australia

Lokasi: Bennelong Point, Sydney NSW 2000, Australia

Negara Australia juga tidak terkecuali dalam mempunyai bangunan ikoniknya yang tersendiri. Hal ini dapat dibuktikan apabila Australia mempunyai bangunan ikonik yang terkenal di seluruh dunia iaitu Panggung Opera Sydney atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Sydney Opera House.

Bangunan ikonik tersebut telah dibina oleh seorang arkitek yang berasal dari negara Denmark iaitu Jørn Utzon dan telah siap dibuka untuk kegunaan umum pada tahun 1973. Panggung Opera Sydney menjadi bangunan ikonik untuk negara Australia kerana ia memiliki daya tarikan dengan reka bentuk futuristik yang bersumberkan bentuk seakan-akan cangkerang laut.

Di samping itu, bangunan ini juga menjadi tumpuan para pelancong untuk datang pada setiap tahun disebabkan terdapat pelbagai pertunjukan seni yang dilakukan seperti teater muzikal, opera, operata, tarian balet dan lain-lain. Kesemua pertunjukan ini dikelolakan oleh pihak Opera House Trust, Opera Australia, Sydney Theatre Company dan Sydney Symphony Orchestra. Pada tahun 2007, Panggung Opera Sydney telah diangkat sebagai salah satu daripada bangunan yang mendapat pengiktirafan dari pihak warisan dunia UNESCO.

5. Burj Khalifa – Dubai, Emiriah Arab Bersatu

Lokasi: 1 Sheikh Mohammed bin Rashid Blvd – Downtown Dubai – Dubai – United Arab Emirates

Jika disebut sahaja tentang negara Emiriah Arab Bersatu atau lebih popular dikenali sebagai United Arab Emirates (UAE), pasti perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran ialah mengenai kemewahan yang dimiliki oleh negara tersebut. Meskipun negara ini mempunyai banyak bangunan-bangunan ikonik, Burj Khalifa telah menjadi rujukan utama bagi para pelancong di seluruh dunia untuk mengenali negara yang terletak di kawasan Timur Tengah ini.

Burj Khalifa dahulunya dikenali sebagai Burj Dubai ialah sebuah bangunan pencakar langit yang tertinggi dibina dalam sejarah peradaban manusia. Bangunan ikonik ini mempunyai ketinggian sebanyak 828m atau bersamaan dengan 160 tingkat. Pembinaan Burj Khalifa bermula pada tahun 2004 dan dibuka secara rasmi pada 4 Januari 2010. Firma Skidmore, Owings dan Merrill, LLP (Chicago) telah bertanggungjawab dalam membina bangunan megah ini.

Kini, Burj Khalifa menjadi pusat projek pembangunan pelbagai kegunaan secara besar-besaran yang merangkumi 30,000 buah rumah, sembilan buah hotel termasuklah Hotel The Address Downtown Burj Dubai, kawasan taman seluas 3 hektar, sekurang-kurangnya 19 buah menara perumahan, pusat beli-belah Dubai Mall dan Tasik Burj Khalifa buatan manusia seluas 12-hektar.

6. Katedral Saint Basil – Moscow, Rusia

Lokasi: Red Square, Moscow, Russia, 109012

Katedral Saint Basil adalah sebuah gereja yang terletak di Dataran Merah, Moscow, Rusia. Bangunan ikonik yang sinonim dengan negara Rusia ini telah dibina pada tahun 1555-1561 atas perintah penguasa terkenal pada masa zaman dahulu iaitu “Ivan The Terrible” sebagai tanda memperingati kemenangan penawanan Kazan dan Astrakhan.

Kini, gereja tersebut telah dijadikan sebagai sebuah muzium dan diubah lagi namanya menjadi Cathedral of the Intercession of the Most Holy Theotokos on the Moat (bahasa Rusia: Собор Покрова пресвятой Богородицы, что на Рву) atau dengan nama Katedral Pokrovsky. Ramai pelancong yang datang ke Moscow, Rusia akan singgah ke bangunan abad ke-16 ini untuk menyaksikan keindahan seni binanya dan warna cat bangunan tersebut yang begitu menonjol sekali.

7. Kaa’bah – Mekah, Arab Saudi

Lokasi: Al Haram, Mecca 24231, Saudi Arabia

Ka’abah tersenarai dalam bangunan ikonik di dunia adalah disebabkan oleh fungsi utamanya yang menjadi kiblat bagi semua umat Islam untuk menunaikan ibadah solat. Bukan itu sahaja, Kaa’bah juga telah dianggap suci oleh umat Islam kerana ia merupakan bangunan yang dibina oleh para nabi untuk memudahkan semua umat muslim melakukan ibadah haji dan umrah.

Kini pada setiap tahun, Bangunan Suci Kaa’bah akan dibanjiri oleh penganut agama Islam untuk menyahut seruan agama dalam menyempurnakan ibadah haji dan umrah seperti melakukan tawaf, melontar jamrah, sai, dan sebagainya. Kaa’bah sudah menjadi lambang penyatuan masyarakat Islam di dunia.

8. Patung Liberty – New York City, Amerika Syarikat

Lokasi: Liberty Island, Manhattan, New York City, New York, United States

Patung Liberty (bahasa Perancis: La Liberté éclairant le monde) atau lebih dikenali sebagai Statue of Liberty merupakan sebuah patung berukuran raksasa yang terletak di Pulau Liberty, muara Sungai Hudson di New York, Amerika Syarikat. Patung ini diberikan oleh negara Perancis secara rasmi pada 28 Oktober 1886 kepada Amerika Syarikat sebagai hadiah negara “Uncle Sam” itu mencapai 100 tahun kemerdekaan. Patung Liberty kini menjadi simbol persahabatan di antara kedua-dua negara ini.

Rupa patung telah dipahat oleh Frederic Auguste Bartholdi dan Gustave Eiffel (pereka Menara Eiffel) berperanan sebagai perancang struktur dalamannya. Patung Liberty menggambarkan ‘Libertas‘ iaitu seorang dewi kebebasan Romawi yang memegang obor di tangan kanannya serta memegang papan tulis yang memaparkan tarikh kemerdekaan Amerika Syarikat dalam angka roman JULY IV MDCCLXXVI (4 Julai 1776). Kaki patung itu pula dicekak rantai belenggu tercabut yang melambangkan terhapusnya sistem perhambaan yang baharu sahaja dilaksanakan oleh Pemerintah Amerika Syarikat pada ketika itu.

Sehingga kini, Patung Liberty dibuka kepada orang ramai dan menjadi simbol perdamaian yang menyambut baik para pengunjung dan imigran ke negara ini termasuklah kepada orang Amerika Syarikat yang pulang ke tanah air mereka. Pada tahun 1984, Patung Liberty dan kawasan sekitarnya telah dijadikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

9. Taj Mahal – Agra, India 

Lokasi: Dharmapuri, Forest Colony, Tajganj, Agra, Uttar Pradesh 282001, India

Taj Mahal (bahasa Hindi: ताज महल) terletak di tebing Sungai Jumna berhampiran dengan Agra, India. Bangunan ini merupakan makam yang dibina oleh Maharaja Shah Jahan sebagai tanda untuk memperingati isteri kesayangannya yang ke-5 iaitu Mumtaz Mahal. Bangunan megah ini mula dibina pada tahun 1632 dan siap pada tahun 1648.

Bangunan Taj Mahal kadangkala disebut dengan singkatan ‘Taj’ sahaja dan ia merupakan contoh terbaik seni bina Mughal yang menggabungkan seni bina dari Parsi, India, Turki dan seni bina Islam. Arkitek yang mereka bentuk bangunan ikonik ini ialah Ustaz Ahmad Lahauri. Taj Mahal berperanan sebagai sebuah kompleks bersepadu yang mempunyai banyak bahagian seperti ruangan makam, dewan, taman rekreasi, masjid, menara tinjau dan lain-lain. Pada tahun 1983, pihak UNESCO telah mengisytiharkan bangunan ini sebagai salah satu daripada tapak warisan dunia yang harus dilindungi.

10. Big Ben – London, United Kingdom

Lokasi: London SW1A 0AA, United Kingdom

Big Ben ialah nama yang diberikan untuk merujuk kepada loceng besar (Great Bell) yang berada di dalam menara jam hujung utara Istana Westminster di London, United Kingdom. Menara ini secara rasmi dikenali sebagai Menara Elizabeth dan dinamakan semula sebegitu untuk meraikan Hari Jubli Intan Elizabeth II (sebelum dinamakan semula pada tahun 2012 sebagai “Menara Jam”. Big Ben mula berdetik pada tanggal 31 Mei 1859.

Kini, Menara Jam Big Ben amat terkenal di seluruh dunia dan menjadi ikon bagi kota London. Usia bangunan ikonik ini sudah berusia lebih dari satu abad dan dibina berteraskan gaya Gothik Victoria yang sangat mempesonakan. Lebih menakjubkan lagi, mesin mekanik penggerak Menara Jam Big Ben hanya dihasilkan sebanyak 2 unit sahaja di dunia. Satu lagi mesin mekanik penggerak tersebut digunakan pada Jam Gadang, Bukit Tinggi, Indonesia.

Akhir kata, diharapkan perkongsian kami pada kali ini mengenai Bangunan-Bangunan Ikonik di Dunia (Bahagian 1) dapat menambah pengetahuan anda tentang info-info menarik berkaitan dengan pelancongan. Sebenarnya terdapat banyak lagi bangunan-bangunan ikonik yang ingin kami kongsikan kepada anda. Nantikan pada bahagian kedua!