Inisiatif Portal Rumah Siswa untuk Mahasiswa Luar Kampus

Inisiatif Portal Rumah Siswa untuk Mahasiswa Luar Kampus

Inisiatif Portal Rumah Siswa untuk Mahasiswa Luar Kampus merupakan antara usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertujuan memudahkan pelajar mencari dan mendapatkan penginapan sepanjang tempoh pengajian di universiti awam. Portal Rumah Siswa ini berperanan menjadi sebuah medium atau platform yang dapat membantu mahasiswa-mahasiswi Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam urusan penyewaan tempat tinggal di sekitar IPT masing-masing.

Menurut Datuk Seri Dr. Noraini, selaku Menteri Pengajian Tinggi bahawa pihaknya telah dimaklumkan hampir sejumlah 150,000 mahasiswa universiti awam menetap di luar kampus setakat semester akademik lalu. Oleh hal yang demikian, portal ini dibangunkan khas untuk para pelajar yang tidak mendapat penginapan di asrama ataupun kolej dalam kampus dan perlu menyewa di luar.

Fungsi Portal Rumah Siswa

Portal Rumah Sewa Siswa ini mempunyai beberapa fungsi tertentu, iaitu:

  • memudah cara proses pencarian bilik atau rumah sewa di sekitar kampus pada harga yang kompetitif.
  • menghubungkan pelajar sebagai penyewa dengan pemilik premis.
  • menyediakan khidmat nasihat dalam urusan sewaan penginapan.
  • memastikan kewujudan pangkalan data khusus di peringkat universiti berkaitan lokasi penginapan, kemudahan yang diperoleh, jarak terhadap akses kemudahan universiti serta paling penting aspek keselamatan pelajar luar kampus.

Cara Mengakses Portal Rumah Siswa

Berikut merupakan senarai langkah yang perlu dilakukan oleh pelajar bagi mengakses Portal Rumah Siswa:

  1. Pelajar perlu melayari laman sesawang rumahsiswa.mohe.gov.my terlebih dahulu sebagai langkah permulaan.
  2. Klik butang ‘Daftar‘ yang terdapat pada bahagian kanan atas.
  3. Kemudian isikan butiran seperti nama, emel (perlu menggunakan emel rasmi universiti), kata laluan, dan pengesahan kata laluan bagi proses pendaftaran.
  4. Setelah itu, pelajar perlu membuat semakan di peti masuk emel yang telah didaftarkan bagi tujuan pengesahan alamat emel tersebut.
  5. Akhir sekali, pelajar boleh log masuk ke Portal Rumah Siswa ini untuk membuat pencarian rumah sewa yang dikehendaki.

Untuk makluman semua, sebanyak 1,250 buah rumah di seluruh negara telah didaftarkan di dalam portal Rumah Siswa yang dibangunkan setakat 16 Februari lalu bagi membantu memantapkan inisiatif ini ke arah pemerkasaan, memelihara kebajikan dan akses pelajar terutamanya terhadap pelajar luar kampus.

Portal ini merupakan sebahagian daripada tiga inisiatif utama dalamĀ Agenda Rumah Sewa Siswa yang dibangunkan oleh pihak KPT bagi menangani isu pengurusan dan keselamatan pelajar universiti awam yang tidak tinggal di dalam kampus. Dua inisiatif lain pula adalah penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus dan Pembangunan Garis Panduan Pengurusan Pelajar Luar Kampus.

Pelaksanaan Agenda Rumah Sewa Siswa ini menjadi panduan untuk pihak universiti mentadbir, menyelaras dan menguruskan segala keperluan, maklumat, pembangunan serta hal ehwal berkaitan kebajikan mahasiswa luar kampus, khususnya terhadap mereka yang menetap di rumah sewa supaya lebih teratur dan menyeluruh.

Akhir kata, semoga perkongsian tentang Inisiatif Portal Rumah Siswa untuk Mahasiswa Luar Kampus ini dapat memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan pencarian tempat tinggal. Kecaknaan pihak kementerian khususnya Kementerian Pengajian Tinggi dalam pelaksanaan inisiatif rumah siswa ini bagi mengurangkan kerumitan pelajar luar kampus mencari penginapan wajarlah dipuji dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penuntut universiti awam seluruh negara.

Sebelum ini kami juga ada berkongsi artikel tentang hebahan Pengambilan Personel MySTEP di Jabatan Alam Sekitar bagi sesiapa yang berminat untuk memohon sebelum 9 Mac 2021. Selain itu, para pembaca juga mungkin tertarik dengan Jawatan Kosong di Unit Strategik Modal Insan Johor sebelum tarikh tutup permohonan pada 14 Mac 2021.