Tips Banyakkan Susu Ibu

Impian hampir semua ibu di dunia ini adalah untuk menyusukan anak masing-masing dengan susu badan selama yang mungkin. Di sini dikongsikan beberapa tips banyakkan susu badan dan cara untuk menambah susu ibu tanpa bergantung kepada produk ‘milk booster’ atau ‘supplement‘ yang melambak di pasaran.

Bukan apa, kadang terasa kurang yakin dengan intipati sebenar produk, kurang yakin dengan keberkesanannya lagi-lagi setelah anda melabur wang untuk membelinya dan akhir sekali, kesan jangka panjang kepada tubuh anda dan bayi.

Proses penyusuan merupakan satu kepuasan kepada si ibu. Namun begitu, sesetengah ibu yang menyusukan bayi akan menghadapi masalah kekurangan susu. Hal ini biasanya terjadi kepada ibu yang berkerjaya. Pelbagai punca yang dikhuatiri mempengaruhi penghasilan susu. Apabila puncanya dapat dikenalpasti, cara mengatasinya akan jadi lebih mudah.

1. Bertenang

Tekanan merupakan salah satu punca penghasilan susu terganggu. Ramai yang tidak sedar akan perkara ini, namun anda perlu tahu bahawa semasa anda bertenang, tindakbalas hormon akan meneutralkan dan membantu dalam pengeluaran susu.

Tak percaya? Cubalah!

Anda boleh cuba buat begini. Semasa memerah atau menyusukan bayi, cuba bayangkan perkara yang indah-indah. Contohnya, mengimbas kembali kenangan manis bersama suami atau orang tersayang. Bayangkan detik-detik perkenalan dan percintaan kalian sehingga membawa hingga ke jinjang pelamin. Anda juga boleh mengangankan percutian yang diimpikan seperti bercuti di pulau peranginan yang mendamaikan dan sebagainya.

2. Kerap Pam dan Simpan

Lebih banyak anak menyusu, lebih banyak susu dihasilkan. Konsep ‘supply and demand’ rata-rata diperkatakan di forum ilmiah berkaitan penghasilan penyusuan badan. Namun perlu diingat, ia perlu dilaksanakan dengan strategi yang sesuai, bukan semberono hanya menyusu dan pam sepanjang hari tanpa henti. Cubalah konsep ‘smart pumping’ di mana setelah anda menyusukan anak, rehatlah selama 10 minit sebelum menyambung pam susu untuk 10 minit.

Ulang kaedah pam dan rehat ini dua kali. Pam yang pertama mungkin akan menghasilkan sedikit atau hampir tiada susu langsung. Namun, sekurangnya kelenjar susu dan otak akan tersimulasi dan terlatih untuk menghasilkan susu mencukupi dek kerana tubuh anda percaya anda perlu menyusukan bayi ‘kembar’.

3. Kosongkan payudara

Satu lagi cara yang disarankan untuk ibu menyusu ialah sentiasa mengosongkan payudara. Apa yang dimaksudkan dengan mengosongkan payudara adalah kerap menyusukan bayi atau memerah susu badan. Payudara tidak seharusnya dibiarkan membengkak dipenuhi susu. Malah jika payudara membengkak, ibu akan dikhuatiri mendapat demam secara tiba-tiba. Jika payudara kosong, susu akan dihasilkan semula dengan lebih cepat dan kembali memenuhi payudara.

Sebaliknya, payudara yang penuh dan membengkak akan menyebabkan penghasilan susu semakin berkurangan. Untuk lebih mudah difahami, lebih banyak ruang kosong di kantung payudara, lebih banyak susu yang akan dihasilkan. Semakin lambat payudara dikosongkan, semakin kurang potensi susu akan dihasilkan.

Satu cara yang cepat untuk mengosongkan payudara ialah dengan memerah susu pada bahagian sebelah payudara semasa bayi menyusu pada payudara sebelah lagi dengan menggunakan pelbagai kaedah yang ibu selesa. Contohnya, bayi menyusu di payudara kanan, manakala payudara di sebelah kiri diperah menggunakan pam elektrik.

4. Jauhi Makanan Perenjat Penghasilan Susu Badan

Tips banyakkan susu badan yang selanjutnya ialah berkaitan makanan. Antara makanan perenjat susu adalah yang bersifat diuretic, iaitu yang menggalakan pembuangan air kecil. Kandungan utama susu badan adalah air, oleh itu kekurangan air dalam badan harus dielakkan. Sayuran lain yang terbukti merenjat penghasilan susu sekiranya diambil dengan banyak termasuklah kobis, parsley dan oregano. Malahan minuman koko yang terkenal juga dikatakan mampu merenjat penghasilan susu.

Kebergantungan kepada makanan dan minuman pemberi tenaga akan menyebabkan tubuh anda kekurangan nutrisi berbanding jika anda makan makanan berkhasiat. Makanan pemberi tenaga membekalkan kalori yang banyak tetapi tidak mampu membekalkan vitamin, nutrisi dan serat. Selain itu, makanan terlalu pedas dan berempah perlu dielakkan kerana dikhuatiri tidak bersesuaian dengan sistem penghadaman si comel.

Makanan perangsang susu semulajadi yang terdiri daripada buah–buahan dan sayur-sayuran adalah termasuk kurma, kismis, delima, buah kembang semangkuk, biji chia dan pelbagai lagi. Set lengkap penggalak susu yang terdiri dari buah-buahan kering mungkin boleh dibeli di kedai perubatan cina terdekat. Mengikut pengalaman saya, set tersebut adalah seakan-akan ‘Cikang’ yang turut mengandungi kurma merah, kembang semangkuk, longan kering dan biji selasih.

6. Banyakkan minum air kosong

Kita tidak dapat menyangkal bahawa air merupakan elemen penting dalam sistem tubuh badan manusia. Minumlah air sekurang-kurangnya 8-10 gelas atau 3 liter sehari. Air adalah ejen yang akan membantu dalam melancarkan proses pengeluaran susu badan. Kurangnya air di dalam badan akan menyebabkan kulit menjadi kering terutamanya kepada ibu menyusu yang sedang dalam proses memperbaiki sistem tubuh badan selepas melahirkan bayi.

Air juga diperlukan dalam proses perkumuhan. Badan yang kekurangan air akan mudah dijangkiti penyakit kerana bahan toksik tidak dapat dikeluarkan dari badan melalui proses perkumuhan. Amalkan minum air kosong lebih banyak. Minum secara kerap dalam kuantiti yang sedikit akan lebih efektif untuk mencapai target 3 liter sehari.

Jadikan air kosong sebagai teman rapat anda seperti juga anda membawa telefon bimbit dan kad pengenalan anda ke serata tempat. Bawalah bekal air minuman ke pejabat dan letakkan di atas meja atau di tempat yang mudah dilihat. Nescaya alasan lupa atau tiada air minuman tidak boleh digunapakai lagi selepas ini.

Semoga anda terus mengharungi detik manis dan istimewa menyusukan anak anda. Tabahlah mengharungi saban malam untuk bangun menyusukan dan mencuri masa di tempat kerja demi mengepam susu. Setelah mereka meningkat dewasa, sekurang-kurangnya detik-detik istimewa yang telah berlalu tersebut boleh menjadi kenangan yang indah buat anda.

Semoga segala tips dan ilmu tentang cara banyakkan susu badan yang dikongsi ini bermanfaat untuk semua. Anda boleh kongsikan kepada kenalan dan ahli keluarga demi meningkatkan kesedaran bahawa betapa pentingnya susu ibu kepada kedua-dua ibu dan bayi, serta perkara menyusukan bayi itu bukan sesuatu yang mudah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here