Resepi Mudah Miang Pla Pao

Sajian ikan yang popular dimakan jika pergi melancong ke Thailand. Ikan yang dihidangkan bersama aneka ulam, salad dan laksa siam/bihun yang dicicah bersama sos hijau istimewa. Kadang-kala ada juga yang hidang dengan aneka makanan laut panggang. Nampak sangat sedap kan? Bagi yang nak rasa, resipi perkongsian saudari Maryam Mahmood ni boleh anda cuba. Mudah sangat rupanya. Tak payah susah-susah ke Thailand dah. Boleh buat sendiri di rumah. Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.

BAHAN SOS:

  • 15 biji cili padi hijau – lebihkan jika nak pedas
  • 3 ulas bawang putih
  • 3-4 batang akar ketumbar
  • 2 senduk sos ikan/ sos nampla/kicap sotong
  • 1 senduk nisan kabung/gula kabung/gula
  • Air secukupnya – agak-agak sahaja
  • 3 sudu makan jus perahan limau nipis
  • Daun ketumbar – hiris

BAHAN SAMPINGAN:

  • Ikan siakap/tilapia atau apa-apa ikan yang sesuai – resipi guna ikan tilapia merah
  • Laksa siam/bihun/suhun – dicelur
  • Salad, timun, pudina dan daun selasih

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga masak. Ikan digoreng kosong sahaja supaya boleh naikkan rasa sos. Jika nak lumur sedikit garam pada ikan pun boleh. Selain goreng, boleh juga dibakar.
  2. Angakt ikan dan toskan minyaknya.
  3. Untuk sos, tumbuk cili hijau, bawang putih dan akar ketumbar hingga lumat. Boleh juga dikisar.
  4. Letak semua bahan dalam bekas ( kecuali daun ketumbar) termasuk bahan tumbuk tadi. Masukkan air akhir sekali supaya mengikut kepekatan dan rasa yang anda suka.
  5. Rasa sos. Jika tawar, tambah sedikit garam. Pastikan sos ini mempunyai rasa pedas dan manis.
  6. Akhir sekali, masukkan hirisan daun ketumbar secukupnya. Kacau rata.
  7. Untuk menikmati Miang Pla Pao, susun hirisan salad, timun, pudina, daun selasih dan ikan. Jadikan seakan uncang dan nikmati bersama sos yang dibuat tadi.

INFO: Jika di Thailand, ikan dipanggang bersama garam. Namun andai kurang suka ikan, boleh gantikan dengan sotong bakar, udang atau apa-apa bahan kegemaran anda.

Selamat mencuba!

Kredit : Maryam Mahmood

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here