Semua penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dibenarkan kembali ke kampus masing-masing, secara berperingkat mulai 1 Mac depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata langkah itu sudah dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 23 Disember lalu.
Bagi pelajar dari Zon Merah, kemasukan pelajar adalah 10 hari lebih awal bertujuan menjalani proses pengasingan demi memastikan pelajar bebas dari COVID-19. Sementara itu, bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar adalah tertakluk kepada prosedur yang digunapakai kerajaan negeri masing-masing.
Pelajar antarabangsa juga dibenarkan untuk kembali ke kampus termasuk IPTA dan IPTS, kecuali dari United Kingdom seawal 1 Januari 2021. Pelajar antarabangsa juga perlu menjalani syarat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum masuk ke kampus.
Keputusan membenarkan kemasukan pelajar ke IPT secara fizikal adalah bagi membolehkan pelajar tempatan dan antarabangsa mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid, iaitu secara bersemuka dan dalam talian.
Keputusan ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terjamin. Kementerian menggesa agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, memakai cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal.
Beliau berkata, pelajar boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam menerusi talian 03-8870 6777 /6949/6623/6124, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kembali ke kampus.
Sumber : Berita Harian