Tolonglah Benarkan Calon SPM & STPM ke Sekolah Untuk Belajar

Ramai ibubapa dan netizen sudah mula menyuarakan kebimbangan tentang bagaimana nasib para pelajar SPM dan STPM batc 2020 ini. Nampaknya, keputusan sekali lagi menunda tarikh peperiksaan besar ini mungkin bukan satu penyelesaian utama.

Ya, tunda tarikh peperiksaan memang satu langkah yang bagus tetapi hakikatnya jika tarikh di tunda tetapi murid masih belum dapat mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan penting ini maka ianya mungkin menjadi sia-sia sahaja atau kurang berkesan.

Hari ini, akhbar Utusan mengeluarkan 1 artikel menarik untuk kita baca.

Calon SPM, STPM patut dibenar ke sekolah

GPMS mencadangkan pelajar-pelajar sekolah menengah yang akan menduduki peperiksaan awam tinggal di asrama berdekatan bagi memudahkan mereka mengikuti proses pembelajaran di bawah pemantauan guru. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

ARAU: Kementerian Pendidikan dicadangkan membenarkan sesi persekolahan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan menduduki peperiksaan tahun depan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau, Khalid Ahmad memberi cadangan tersebut kerana bimbang dengan masalah pelajar di kelas-kelas bawah serta kawasan luar bandar.

Menurut beliau, sesebuah kelas biasanya hanya sekitar 20 atau 25 orang dan perkara itu tiada masalah untuk mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Belajar bersemuka lebih berkesan berbanding belajar secara dalam talian kerana tidak semua pelajar mempunyai kemudahan itu dan ada yang kurang pandai dan tidak minat,” katanya yang juga bekas Ahli Dewan Negara kepada Utusan Malaysia semalam.

Di kampung-kampung kata beliau, masalah capaian internet cukup lemah yang menyukarkan proses pembelajaran.

“Ini dibimbangi peratusan kemasukan ke universiti merosot selepas banyak kali sekolah ditutup tahun ini.

“Kita faham langkah kementerian bagi mengelak penularan Covid-19, namun tidak salah beri kelonggaran buka sekolah khususnya untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan,” katanya.

Tambah Khalid, pembelajaran secara dalam talian boleh dilakukan namun tiada kemudahan untuk pelajar di luar bandar.

“Setengah kawasan ada capaian internet tetapi kemudahan seperti telefon bimbit atau komputer riba pula tidak ada. Semua kekangan ini secara tidak langsung menjejaskan persediaan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid mencadangkan agar proses pembelajaran ini turut dilakukan di dewan orang ramai di kampung-kampung bagi membantu pelajar di kawasan terbabit.

“Setiap guru boleh bergilir mengajar pelajar yang dikenal pasti di kampung-kampung ini. Pembelajaran secara bersemuka akan lebih membantu para pelajar ini,” katanya. – UTUSAN