Terengganu Benarkan Taska dibuka Sepanjang PKPB

Terengganu Benarkan Taska dibuka Sepanjang PKPB
Ummi Rahimah (tiga dari kiri) melihat pekerjanya membersihkan peralatan pembelajaran dan persekitaran kawasan TASKA Mutiara, Chendering. – NSTP/Zaid Salim

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membenarkan kesemua 153 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh negeri ini, dibuka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam.

Bagaimanapun kebenaran itu hanya membabitkan penjagaan anak petugas barisan hadapan sahaja.

Pengarah JKM Terengganu, Zuhaimi Omar, berkata semua pengusaha TASKA yang hendak beroperasi, dikehendaki membuat permohonan terlebih dahulu.

“Selepas mendapat kelulusan JKM, baharu premis berkenaan dibenarkan beroperasi dan kelonggaran itu hanya diberikan kepada pengusaha TASKA yang berdaftar sahaja,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Zuhaimi berkata, pihaknya menerima banyak permohonan dan setakat ini masih dalam proses penilaian kerana pengusaha perlu mengemukakan surat pengesahan majikan bagi memastikan kanak-kanak yang dihantar adalah anak petugas barisan hadapan.

“Kita tidak mahu ada pengusaha mengambil kesempatan dengan menerima penjagaan selain daripada anak-anak petugas barisan hadapan, sebab itu kita perlukan mereka mengemukakan surat pengesahan daripada majikan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pendidik TASKA Swasta Negeri Terengganu (PPTNT), Ummi Rahimah Hasan, berkata, pihaknya tidak menolak kesan pandemik COVID-19 menyebabkan ada dalam kalangan ahlinya terpaksa menutup premis berikutan tidak berkemampuan untuk membayar sewa premis dan gaji pekerja.

“Kita faham kesulitan dialami beberapa pengusaha, namun kita tidak boleh membenarkan mereka menerima anak-anak, selain daripada anak petugas barisan hadapan sebagaimana ditetapkan JKM ,” katanya ketika ditemui di Taska Mutiara, miliknya di Taman Permint Jaya, Chendering, hari ini.

Beliau turut menasihatkan agar pengusaha TASKA yang berdaftar di bawah PPTNT mematuhi arahan kerajaan yang dikeluarkan bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19.