Minggu lepas kecoh dengan satu kejadian jenayah yang menyayat hati melibatkan seorang gadis berusia 19 tahun, Siti Nur Surya angkara perbuatan rakan sendiri. Suspek yang masih bersekolah di Tingkatan Enam telah pun ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.
Suspek Disambung Reman untuk Bantu Siasatan
Semalam dikhabarkan permohonan reman bagi tertuduh telah pun dilanjutkan selama 7 hari lagi bermula hari ini sehingga 16 November untuk lanjutan siasatan. Perintah berkenaan telah pun dikeluarkan oleh Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda. Suspek dilihat datang ke perkarangan mahkamah sambil menundukkan wajahnya dan matanya turut bergenang.
Unit Selam Pasukan Polis Marin Bantu Cari Barang Bukti dibuang Dalam Sungai
Terbaru menerusi laman Facebook rasmi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, hari ini sepasukan unit selam telah pun diturunkan bagi membantu perjalanan siasatan jenayah berkenaan. Suspek yang berpakaian lokap berwarna oren juga dibawa ke lokasi bahan bukti itu dibuang iaitu ke dalam sebatang sungai di Telemong, Hulu Terengganu.
Barang Bukti Lain ada Yang dibuang di Pinggir Lebuh Raya Berdekatan
Sebelum ini juga beberapa bahan bukti yang dipercayai digunakan untuk mencederakan Siti Nur Surya telah dijumpai dibuang ke pinggir lebuh raya beberapa kilometer dari lokasi kejadian. Dalam tragedi itu, gadis tersebut ditemukan tertiarap tidak bernyawa oleh adik perempuannya selepas pulang dari sekolah.
Kredit: Polis Marin Wilayah Tiga dan Buletin TV3