Didikan pertama dan utama anak-anak adalah dari rumah dan peribadi ibubapa akan membentuk peribadi anak-anak. Ingatlah wahai ibubapa segala percakapan, perbuatan dan gerak geri kita dinilai dan ditiru oleh anak-anak.
Jika ibubapa dengan jelas boleh mengejek, membidas, malah mempermainkan guru-guru maka dimana keberkatan ilmu untuk anak-anak kita.
Kenapa hina guru
Kuala Lumpur: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyangkal tuduhan guru makan gaji buta susulan penutupan sekolah bagi mengawal penularan Covid-19.
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, guru selaku penjawat awam terikat dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari semasa ke semasa, justeru, tidak timbul soal makan gaji buta.
“i-Guru kesal dengan tuduhan di media sosial. Ia seperti menghina warga pendidik malah boleh merosakkan hubungan sesama rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tindakan individu yang melempar tuduhan sebegitu mungkin kerana dia tidak memahami tugas dan tanggungjawab guru.
Katanya, keputusan KPM mengarahkan sekolah ditutup awal selepas mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi keselamatan murid dan guru.
“Guru tetap bekerja dari rumah menjalankan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Ini berdasarkan surat pekeliling bertarikh 2 Oktober 2020, pihak KPM sudah menyediakan manual PdPR itu,” katanya.
Mohd Azizee berkata, apa yang penting guru perlu merancang pengajaran menggunakan apa cara sekali pun demi memastikan proses pengajaran berjalan dengan baik.
“i-Guru menasihatkan segelintir warganet agar berhati-hati menulis komen. Jangan menghina dan mengutuk warga guru tanpa sebarang asas,” katanya.
Beliau turut berkongsi beberapa tangkap layar yang diterima pihak i-Guru berhubung tuduhan tidak bertanggungjawab itu. https://www.hmetro.com.my/
Khutbah Jumaat : Guru Dihormati, Ilmu Diberkati
Guru Dihormati, Ilmu Diberkati
Islam amat menitik beratkan soal adab dalam kehidupan. Adab yang perlu dijaga adalah adab dengan Allah SWT, adab sesama manusia dan alam sekeliling.
Persoalan adab ini banyak diberi penekanan dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW. Di antara adab yang perlu diambil perhatian adalah adab dengan guru. Guru merupakan insan yang mulia.
Mereka mendidik kita sehingga menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Melalui didikan dan bimbingan guru, kita menjadi insan yang berilmu dan dapat pula memanfaatkannya untuk diri sendiri dan masyarakat.
Oleh itu, kita perlulah menjaga adab semasa bersama dengan guru sebagai menghargai jasa bakti mereka
Sebuah kisah yang dirakamkan dalam al-Quran berlaku antara Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS boleh kita jadikan pengajaran. Seperti mana maksud ayat 69 daripada Surah al-Kahfi yang telah dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Nabi Musa berkata: Engkau akan dapati aku, Insya Allah: Orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu.”
Nabi Musa AS dengan sifat merendah diri telah menzahirkan adab sebagai seorang murid dengan gurunya. Antaranya sikap sabar dan menurut kata-kata guru. Inilah contoh sikap yang perlu diambil perhatian oleh seseorang murid terhadap gurunya.
Seseorang yang pernah mendidik kita adalah guru yang perlu kita hormati. Daripada merekalah kita belajar membaca, menulis dan mengira sehingga kita menjadi insan yang berguna. Banyak kisah para ulama silam yang menghormati guru mereka boleh kita jadikan pengajaran .
Imam Syafie menghormati dan menghargai seseorang yang pernah mengajarnya walaupun ilmu yang sedikit. Pada suatu hari sedang beliau memberi kuliah kepada para pelajarnya, datang seorang Badwi yang comot dan busuk sekali. Lantas beliau menghentikan kuliahnya untuk mendekati Badwi itu dan memeluknya dengan erat.
Selepas daripada kuliah, muridnya pun bertanya mengapa beliau memeluk Badwi tersebut sedangkan dia comot dan busuk? Beliau memberitahu bahawa Badwi tersebut adalah gurunya dan kerana itu beliau memeluknya sebagai cara menghormati guru. Pelajar-pelajar beliau semakin terpegun apabila mengetahui bahawa Badwi tersebut adalah guru kepada Imam Syafie.
Selanjutnya Imam Syafie berkata: “Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah, aku menghadapi satu masalah untuk mengenali dan membezakan antara anjing yang cukup umur dengan yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu Badwi itu tahu kerana Badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka. Aku pun bertanya kepada Badwi yang aku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila membuang air kecil, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya apabila membuang air kecil. Dengan penerangan Badwi itulah maka aku dapat menyiapkan kitabku ini.” Walaupun hanya sedikit ilmu yang diperolehi daripada Badwi tersebut, namun penghormatan beliau kepadanya menggambarkan adab yang mulia yang dituntut dalam Islam.
Ada beberapa perkara yang boleh kita amalkan bagi menjaga adab dengan guru. Antaranya adalah dengan mengucapkan salam semasa bertemu dengan guru.
Amalan mengucapkan salam merupakan amalan yang mulia yang sangat dituntut dalam Islam. Lebih-lebih lagi bagi seorang murid hendaklah mengucapkan salam apabila bertemu dengan gurunya. Jadikan diri kita sebagai pemberi salam terawal sebelum guru kita memberi salam kepada kita.
Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu „Anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Yang kecil hendaklah mengucapkan salam kepada yang besar, yang sedang berjalan kepada yang duduk, dan bilangan yang sedikit kepada yang banyak.” (Muttafaqun Alaih)
Membantu guru juga merupakan amalan yang digalakkan dalam Islam. Segala amalan baik yang kita lakukan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah al-An‟am ayat 160: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”
Mohonlah kepada Allah SWT kebaikan buat guru-guru kita. Amaran Allah SWT terhadap mereka yang sombong daripada berdoa kepada-Nya dirakamkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Mukmin ayat 60:“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
Kini, ramai penuntut tidak lagi mementingkan adab kepada guru mereka. Guru hanya dianggap sebagai manusia biasa sahaja yang tidak perlu dihormati. Lebih parah lagi, ada yang bermusuh dengan guru mereka. Terdapat juga segelintir murid yang melawan, mencalarkan kereta, menumbuk, menghina, bersangka buruk, mengumpat dan mencaci maki guru.
Sedarlah bahawa Allah SWT juga memberi amaran keras terhadap mereka yang bersangka buruk, mengaibkan orang lain dan mengumpat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 12 :“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.”
Mengakhiri khutbah kali ini, marilah kita semua mengambil pengajaran terhadap perkara-perkara berikut:
1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa menjaga adab dan budi pekerti yang mulia dalam kehidupan seharian adalah sikap yang dituntut oleh Allah SWT.
2. Jadilah anak murid yang sentiasa menghormati guru supaya mendapat keberkatan ilmu mereka.
3. Sebagai umat Islam hendaklah sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dalam diri walau di mana juga kita berada.
“Adapun hamba-hamba Tuhan yang Maha Pemurah itu adalah orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina) mereka mengucapkan salam.” (al-Furqan : 63)