Senarai 298 Sekolah di Zon Merah di Petaling, Selangor yang ditutup Mulai Hari Ini

Nota Ringkas Penutupan Sekolah

  1. Sebanyak 298 sekolah di daerah Petaling ditutup
  2. Kawasan ini ialah kawasan zon merah.
  3. Tarikh penutupan sekolah ialah 12 Oktober hingga 25 Oktober 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa semua sekolah di kawasan zon merah di Petaling, Selangor akan ditutup bermula esok sehingga 25 Oktober ini.

KPM dalam satu kenyataan berkata, ia selaras dengan perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Oktober lalu berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KPM mengambil perhatian berhubung peningkatan kes Covid-19 di daerah Petaling. Daerah ini telah disahkan sebagai zon merah oleh KKM.

“Ini melibatkan sebanyak 298 buah sekolah di seluruh daerah Petaling. Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

“Senarai sekolah yang ditutup di zon merah daerah Petaling dilampirkan. Untuk makluman juga, senarai ini akan dikemaskini dari masa ke masa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM,” katanya.

Beliau berkata, sekolah yang mempunyai asrama termasuk kolej vokasional juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

“Bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan kolej vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah. Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid,” katanya.

Katanya, manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

“Bagi kebanyakan sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah yang terlibat dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.

“Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM. Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari masa ke masa,” katanya. sumber : sinarharian.com.my

Senarai Sekolah yang di Tutup di Petaling Selangor