Redah hujan 30 km demi anak daftar universiti

Georgetown: Meredah perjalanan sejauh 30 kilometer (km) menaiki motosikal dalam hujan lebat bagi mendaftar sebagai penuntut baharu sidang akademik 2020/2021 di Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Malah ia juga menjadi pembakar semangat kepada penuntut Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan, Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan, 19, bagi menuntut ilmu.

Penuntut dari Simpang Ampat, Seberang Perai, itu antara yang mencuri tumpuan di hari kedua pendaftaran penuntut baharu secara pandu lalu di universiti berkenaan, semalam, kerana hadir menaiki motosikal bersama ibunya dalam keadaan basah.

Muhammad Izzulhaq berkata, meskipun dia boleh menaiki bas, namun ibunya, Jumiati Masud, 53, tetap berkeras mahu menghantar dan menyaksikan detik gembira itu.

“Saya pernah mendapat tawaran belajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur namun terpaksa menolak berikutan kekangan kewangan tambahan pula ibu hanya seorang penjual kuih.

“Tiga adik saya juga masih bersekolah, syukurlah saya diterima masuk ke kampus utama sekurang-kurangnya ibu tidak perlu menanggung kos yang tinggi bagi menghantar saya hari ini,” katanya.

Sementara itu, Jumiati berkata, motosikal terbabit adalah pengangkutan utama yang dimiliki keluarga berkenaan.

Katanya, dia tidak berhajat membawa anak sulungnya pulang semula ke rumah selepas mendaftar sebagai penuntut meskipun dibenarkan berbuat demikian.

“Biarlah dia di sini sahaja kerana penginapan pelajar lebih selesa dengan kemudahan rangkaian internet bagi memudahkannya belajar secara dalam talian.

“Seorang ibu akan berkorban apa saja demi anaknya dan saya harap susah payah ini akan menjadi pembakar semangat kepada Muhammad Izzulhaq supaya belajar bersungguh-sungguh,” katanya lagi.

Terdahulu, berikutan perkembangan Covid-19, USM turut memberi pilihan kepada penuntut baharu sama ada mendaftar secara dalam talian, pulang ke rumah selepas mendaftar atau tinggal di penginapan siswa.

Manakala bagi penuntut yang datang dari kawasan berisiko pula boleh pulang ke rumah selepas mendaftar atau menjalani kuarantin di USM.

USM adalah universiti yang memperkenalkan pendaftaran pelajar baharu secara pandu lalu sejak 2 Oktober dan berakhir pada hari ini. Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/