KGMMB Cadang KPM Perlu Tutup Semua Sekolah

Kuantan : Kementerian Pendidikan dicadang mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara agar semua sekolah di negara ini ditutup kecuali kepada pelajar tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

Penutupan sekolah perlu bagi satu tempoh tertentu untuk meyakinkan masyarakat khususnya ibubapa bahawa kesihatan serta keselamatan anak mereka terjamin sekaligus mengelakkan penularan COVID19 dalam kalangan pelajar.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barang (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, sejak kebelakangan ini, peratusan kehadiran semakin merosot kerana ibubapa tidak berani menghantar anak mereka disebabkan risau keselamatan ekoran penularan pandemik itu di sekolah.

Katanya, KGMMB turut mencadangkan dalam tempoh penutupan itu, guru perlu hadir bertugas seperti biasa bagi melaksanakan PDPc secara dalam talian dan menyediakan bahan bercetak kepada pelajar yang tiada alat peranti untuk pdp dalam talian.

“KGMMB yakin guru-guru dan pelajar bersedia melaksanakan PDPD secara dalam talian kerana mereka ada pengalaman semasa perintah kawalan pergerakan PKP lalu.

“Pengalaman melaksanakan pdp secara dalam talian dan penyediaan bahan bercetak semasa pkp yang lalu boleh dibincangkan sesama guru agar pembelajaran dari rumah berlaku dengan berkesan dan pelajar mendapat hak mereka.” Katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Jasni berkata, peranan pentadbir sekolah sangat penting bagi membimbing guru-guru melaksanakan pembelajaran dari rumah sama ada secara dalam talian atau bercetak dengan berkesan.

Jelasnya, satu sistem pemantauan PDP guru yang berkesan perlu dilaksanakan oleh pentadbir sekolah supaya segala kekurangan dapat dibuat penambahbaikan.

“KGMMB juga yakin ibubapa sekarang lebih bersedia bag memastikan anak-anak mereka belajar di rumah dengan berkesan. Golongan ibubapa dan guru perlu sentiasa berbincang agar pelajar mendapat hak mereka sebagai seorang pelajar yang belajar dari rumah.

“Dalam tempoh ini, Kementerian Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu sentiasa melakukan bimbingan kepada pentadbir sekolah serta ibubapa agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan berkesan, akhirnya pelajar mendapat hak mereka,” katanya.