Akhirnya Guru SK Tohoi diminta Bersihkan Tadahan Air Bukit

GUA MUSANG: Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi diminta bantu bersihkan kawasan tadahan air bukit tersumbat dengan pasir dan lumpur untuk atasi masalah bekalan air terputus di asrama sekolah berkenaan.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD), Azuri Hamzah, berkata masalah 100 murid Orang Asli di asrama SK Tohoi yang terputus bekalan air sejak sebulan lalu, bakal selesai dalam masa terdekat ini.

Azuri berkata, usaha sedang dilakukan bagi membaik pulih tadahan air bukit terletak tidak jauh dari situ yang tersumbat dengan pasir dan lumpur.

Berikutan itu, katanya, beliau meminta guru membantu bagi membersihkan kawasan tadahan air bukit terbabit supaya dapat digunakan semula dengan sempurna.

“Hari ini, saya sendiri terpaksa turun padang bagi meninjau masalah yang berlaku dan puncanya sudah kita kenal pasti.

“Oleh itu, kami yakin air tadahan bukit masih diperlukan bagi kegunaan guru dan murid Orang Asli tinggal di asrama,” katanya di sini, hari ini

Azuri berkata, pihaknya juga sebelum ini cuba mencari alternatif lain untuk mendapatkan sumber air bersih bagi keperluan sekolah terbabit.

Katanya, antaranya mencari kaedah menggunakan telaga tiub tetapi gagal mendapat air selepas berbuat demikian.

Beliau berkata, pihaknya meminta pihak sekolah itu menggali telaga tiub beberapa kali tetapi sukar mendapat air dari bawah tanah. bharian.com.my