3 Model Pengoperasian Semula Sekolah

 

photo 2020 07 01 22 24 27

3 Model Pengoperasian Semula Sekolah ini adalah panduan untuk pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing dalam urusan pengoperasian semula sekolah yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan melalui sidang media KPM pada 1 Julai 2020 yang lalu.

Berdasarkan analisis dan perincian yang telah dilaksanakan, KPM telah mengenal pasti 3 model pengoperasian pembukaan penuh sekolah yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing iaitu seperti di bawah.

1. Model Satu Sesi

Model pertama adalah Model Satu Sesi. Model ini ialah untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial.

2. Model Dua Sesi

Model kedua adalah Model Dua Sesi. Model ini ialah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.

3. Model Penggiliran

Model yang ketiga adalah Model Penggiliran. Model ini ialah untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi. Kebanyakan sekolah di dalam kategori ini adalah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.

Bagi Model Penggiliran untuk sekolah menengah, murid Tingkatan 5 dan 6 perlu hadir ke sekolah setiap hari. Manakala kehadiran murid Tingkatan 1 hingga 4 perlu dibuat secara bergilir-gilir mengikut kelas atau aliran tertentu.

Pihak sekolah hendaklah menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan murid. Contohnya, jika sekolah mempunyai ruang yang mencukupi, murid Tingkatan 4 akan turut hadir setiap hari. Keutamaan diberi sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan.

Bagaimana pula model penggiliran bagi murid sekolah rendah? Murid Tahun 1 hingga 6 boleh hadir secara bergilir-gilir mengikut kelas atau tahap. Dalam hal ini, pihak sekolah yang menentukan bentuk penggiliran bersesuaian.

Untuk model penggiliran ini, kaedah pembelajaran murid adalah secara hybrid, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan secara Home-Based Learning di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah.

Maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan dimaklumkan oleh KPM selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya.

Penutup

Sekian. Semoga perkongsian ini iaitu 3 Model Pengoperasian Semula Sekolah memberikan informasi terkini kepada anda semua khususnya kepada warga pendidik dan murid-murid serta ibu bapa. Jom sertai kami di t.me/sistemguruonline bagi mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terkini lagi terbaik dari semasa ke semasa.