
Slot Program TV Pendidikan Di Saluran Tutor TV, ASTRO. Berita gembira ini pasti ditunggu-tunggu oleh semua pihak terutama ibubapa dan para guru. Ye benar, keresahan ibubapa tentang pendidikan anak-anak semenjak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 lalu akan menampakkan sinar baharu dalam memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pendidikan.
Pendidikan Masa Kini
Ramai ibubapa yang keresahan kerana pendidikan anak-anak sedikit terganggu akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Sejak dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, rata-rata pendidikan anak-anak dijalankan melalui kaedah atas talian.
Hal ini sedikit sebanyak mendatangkan kesan kepada keluarga yang tidak memiliki kemudahan telefon pintar atau laptop untuk digunakan. Tambahan pula capaian internet yang tidak tersedia di sesetengah kawasan pedalaman serta kesesakan talian internet juga memberi kesan kepada pembelajaran tersebut.
TV Pendidikan
Bertindak dari itu, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah memperkenalkan TV Pendidikan bermula 6 April 2020.
Bermula dengan pengenalan di TV OKEY RTM yang mendapat sambutan menggalakkan, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia sekali lagi mengorak langkah kerjasama bersama-sama stesen TV Berbayar ASTRO untuk menambah saluran bagi memberi lebih banyak pilihan kepada ibubapa dan anak-anak demi memastikan pendidikan secara berterusan.
Kenyataan Media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) telah bersetuju untuk berkerjasama bagi menyiarkan Slot Program TV Pendidikan di saluran Tutor TV, Astro. Kerjasama KPM dan Astro ini merupakan tambahan kepada siaran slot TV Pendidikan yang kini bersiaran di saluran TV Okey, Radio Televisyen Malaysia (RTM)
bermula 6 April 2020.
Inisiatif ini adalah untuk meningkatkan akses murid kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian. Pendekatan ini akan dapat membantu murid yang tidak mendapat capaian internet mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca PKP.
Slot TV Pendidikan di saluran Tutor TV, Astro akan mula bersiaran pada 4 Mei 2020. Program ini akan disiarkan selama dua (2) jam pada setiap Isnin hingga Jumaat. Waktu siaran adalah pada pukul 10.00 pagi hingga 11.00 pagi menerusi saluran 601 dan pada pukul 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari menerusi saluran 603. Rancangan berkenaan akan diulang siar pada pukul 3.00 petang hingga 4.00 petang di saluran 601 dan pukul 4.00 petang hingga 5.00 petang di saluran 603 pada hari yang sama. Selain itu, program ini juga dapat ditonton secara percuma pada bila-bila masa menerusi aplikasi Astro GO yang boleh dimuat turun menggunakan peranti dengan sistem pengoperasian Android dan iOS.
Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.
KPM yakin bahawa slot program TV Pendidikan melalui kerjasama dengan Astro ini akan memberi manfaat kepada murid, guru dan ibu bapa bagi membolehkan proses PdP dilaksanakan dengan lebih meluas, terutamanya dalam keadaan yang mencabar pada masa ini.
Dapatkan “Kenyataan Media Slot Program TV Pendidikan Di Saluran Tutor TV, ASTRO” disini
Disini admin nak kongsikan bahan tersebut. Sila download menggunakan link yang telah disediakan.
Format dokumen ini adalah dalam ‘PDF’
Download : Link Download disini : Kenyataan Media Slot Program TV Pendidikan Di Saluran Tutor TV, ASTRO
Semoga langkah yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini dapat memberi pilihan yang lebih luas bagi menampung kekangan-kekangan yang timbul dan memastikan pendidikan dapat dijalankan dengan sebaiknya.