Pelbagai Perkara Perlu Diperhalusi Sebelum Sekolah Dibuka – PM

Sidang Video PM

Pelbagai Perkara Perlu Diperhalusi Sebelum Sekolah Dibuka – PM. Semua sekolah di seluruh negara ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian penularan virus covid-19. Setelah menjangkau lebih 70 hari sekolah ditutup, ibu bapa mula menyuarakan dan membangkitkan bila sekolah akan dibuka semula.

Perkara ini masih belum diputuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana penularan semasa covid-19 masih ada dan pelbagai perkara harus diperhalusi demi menjaga keselamatan dan kesihatan murid-murid di sekolah sekaligus menghindar wujudnya kluster baharu di sekolah akibat penularan virus covid-19.

Norma Baharu di Sekolah

Walau bagaimana pun pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

Kerajaan juga harus memastikan kesediaan guru serta murid untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menghalang penularan virus covid-19.

Sebelum sekolah dibuka, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mesti memastikan kesediaan guru untuk mejalankan pemeriksaan kesihatan murid selain peralatan untuk membuat pemeriksaan suhu dan peralatan kebersihan diri seperti sabun, pensanitasi tangan serta pelitup muka telah tersedia di sekolah bagi kegunaan apabila sekolah dibuka kelak.

Selain itu, bilangan murid dalam kelas juga perlu dikaji dan dinilai bagi memastikan penjarakan sosial dapat dilaksanakan dengan baik. Perkara ini sangat penting kerana sebelum ini ada kelas yang mempunyai bilangan murid melebih 40 orang. Apabila bilangan murid dalam setiap kelas dikurangkan, akan berlaku pertambahan kelas yang mendadak di setiap sekolah. Jika pertambahan kelas ini tidak dapat ditampung, pihak sekolah terpaksa mencari penyelesaian lain seperti menjalankan persekolahan dengan dua sesi.

Pembukaan Sekolah Belum Ditentukan

Dalam sidang video bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa semua perkara tersebut sedang diambil kira serta sedang diperhalusi sebelum sekolah dapat dibuka kembali dan setakat ini belum ada tarikh yang ditetapkan untuk sekolah mula dibuka.

Menteri Kanan (Kluster Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini juga berkata, pembukaan semula sesi persekolahan tidak akan dibuat secara tiba-tiba sebaliknya pengumuman tarikh akan dibuat selewat-lewatnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

Dalam sidang video tersebut juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa sesi persekolahan hanya akan dibuka bagi murid-murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sahaja seperti yang diputuskan sebelum ini tetapi belum ada tarikh yang ditetapkan.

Sumber: BERNAMA