UniMAP Proaktif Laksanakan Kuliah Secara Online Atau Atas Talian Kerana Covid-19

unimap online classs covid 19

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) menukar proses pembelajarannya kepada secara dalam talian membabitkan semua penuntut lepasan ijazah dan ijazah sarjana muda mulai esok hingga 5 April susulan penularan koronavirus baharu (Covid-19).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Profesor Dr Mohd Rizal Arshad berkata, ia bagi menggantikan buat sementara kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka yang dijalankan selama ini.

“Situasi semasa di Malaysia menunjukkan peningkatan penularan Covid-19.

“Justeru itu, mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan berkaitan perhimpunan yang membabitkan jumlah peserta yang ramai, maka UniMAP mengambil langkah berikut berkaitan aktiviti pengajaran dan pembelajaran,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Rizal berkata, bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, pelajar dilarang pulang ke kampung halaman masing-masing dan kekal berada di kawasan kampus (termasuk kolej kediaman) sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, jika terdapat keperluan untuk meninggalkan kawasan kampus dan kolej kediaman sepanjang tempoh itu, pelajar diminta memaklumkan serta mendapatkan kebenaran dekan pusat pengajian masing-masing.

Menurutnya, cuti pertengahan semester kedua yang sepatutnya jatuh pada 30 Mac hingga 6 April akan dianjak ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Katanya, Peperiksaan Akhir Semester 2 Sidang Akademik 2019/2020 bagi pelajar diploma, yang sepatutnya diadakan pada 24 Mac hingga 12 April, ditangguh kepada 6 April hingga 26 April.

“Warga UniMAP diingatkan untuk terus mengambil langkah amalan pencegahan terbaik sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Sekiranya mengalami tanda-tanda demam, batuk, selesema dan sukar bernafas, warga UniMAP dinasihat untuk mendapatkan rawatan awal di pusat kesihatan universiti, hospital atau klinik yang berhampiran,” katanya.

Mohd Rizal berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan penularan virus itu serta menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa dan warga UniMAP juga diingatkan supaya mendapatkan berita yang sahih mengenai Covid-19. HMetro