Sekolah Tahfiz Dijadikan Bagai Sekolah Juvana: Pelajar Cedera Dipukul Beramai-Ramai

sekolah-tahfiz-bagaikan-sekolah-juvana

Sekolah Tahfiz Dijadikan Bagai Sekolah Juvana: Pelajar Cedera Dipukul Beramai-Ramai. Begitulah luah seorang guru di laman Facebooknya hari ini. Post bekenaan seorang pelajar tahfiz yang cedera teruk dipukul beramai-ramai oleh pelajar di Pusat Tahfiz itu mendapat perhatian netizen yang bersetuju dengan pendapat Cikgu Mohd Fadli Salleh itu.

 

Dipukul Hingga Cedera Organ Dalaman

Allahu. Adik Afiq Fikri dipukul hingga organ hatinya cedera, limpa hancur dan terpaksa dibuang.

Lebih menyedihkan, ia berlaku di sekolah tahfiz. Sekolah tempat anak-anak diajar menghafaz Al Quran.

Kejadian seumpama ini bukan kali pertama berlaku. Dan ia sedikit sebanyak mencemarkan sekolah tahfiz. Sepatutnya suasana dan budaya di sekolah tahfiz menenangkan, damai dan baik-baik.

Maklumlah, tempat berkumpulnya pelajar yang ingin menghafaz Quran dan para huffaz bakal dilahirkan.

pelajar-tahfiz-dipukul
Imej: Fb Cikgu Mohd Fadli Salleh

 

Sekolah Tahfiz Dijadikan Bagai Sekolah Juvana.

Aku merenung sekejap tentang hal ini. Sejujurnya sudah lama aku terfikir, sekolah tahfiz dijadikan bagai sekolah juvana.

Ibubapa yang punya anak bermasalah menghantar anak mereka ke pusat tahfiz dengan harapan anak mereka berubah.

Maka tidak hairan di pusat tahfiz menjadi tempat berkumpul pelajar nakal dan bermasalah. Kes liwat, mencuri, hisap rokok, buli pun ada pernah didedahkan.

Sekolah tahfiz bukan pusat pemulihan akhlak. Ia sepatutnya menjadi tempat berkumpulnya anak-anak yang bersih jiwa mereka, yang ingin memenuhkan dada mereka dengan Al Quran.

Pelajar nakal dan liar dihantar oleh ibubapa mereka ke pusat tahfiz biasanya bukan atas kehendak dan kerelaan pelajar itu sendiri. Ibubapa yang memaksa anak ke sana dengan harapan akhlak anak mereka menjadi lebih baik.

Namun sebaliknya berlaku. Pelajar nakal ini yang biasanya membuat angkara dan merosakkan pula pelajar yang benar-benar ikhlas ingin menghafaz Quran.

Kaki-Pukul-Di-Sekolah-tahfiz
Imej: Fb Cikgu Mohd Fadli Salleh

 

Pusat Tahfiz Wajar Menyaring Pelajar Tahfiz

Aku fikir, sudah tiba masanya pusat tahfiz menyaring betul-betul pelajar sebelum mengambil mereka menjadi pelajar tahfiz.

Pilih pelajar yang tiada rekod disiplin, yang baik-baik, yang benar-benar ingin menghafaz Al Quran datang dari diri mereka. Bukan dipaksa ibubapa dan bukan juga pelajar yang bermasalah di sekolah harian biasa.

Untuk pelajar bermasalah, mungkin patut dibina sekolah pemulihan akhlak. Seumpama sekolah juvana atau setaraf dengan Sekolah Henry Gurney. Namun lebih Islamik dan boleh juga dibuat kelas hafazan Quran di sana.

Letak warden dari kalangan askar pencen mungkin lebih baik agar mereka berdisiplin dan tidak berani membuat onar.

 

Jangan Pandang Enteng Isu Keselamatan Pelajar Tahfiz


Tidak lagi boleh dibiarkan pelajar bermasalah bercampur aduk dengan pelajar baik dan berdisiplin di pusat tahfiz. Akhirnya, pelajar yang sopan, baik dan benar-benar ingin menjadi huffaz menjadi mangsa pelajar liar dan nakal ini.

Sudah acapkali hal seperti ini berlaku. Pusat tahfiz tidak lagi boleh memandang enteng isu ini. Saringan ketat perlu dibuat agar keselamatan dan suasana pembelajaran di sekolah tahfiz lebih harmoni dan tenang.

Jangan kerana 4-5 orang pelajar nakal dan liar, institusi yang disegani dan tinggi martabatnya ini dipandang rendah oleh masyarakat.

Sesuatu harus dilakukan. Dan ia seharusnya dibuat secepat mungkin.

Doakan adik Afiq Fikri diberi kesembuhan segera. Amin.

pelajar-tahfiz-cedera

#MFS

Sumber: Facebook Mohd Fadli Salleh

Isu yang melibatkan keselamatan pelajar Tahfiz sudah kerapkali berlaku. Pernah sebelum ini tular peristiwa pusat tahfiz terbakar dan juga pelajar tahfiz meninggal akibat dirotan. Sudah tiba masanya masyarakat dan pihak dan kementerian melihat secara serius isu ini agar ia tidak berulang lagi.

Semoga perkongsian Sekolah Tahfiz Dijadikan Bagai Sekolah Juvana: Pelajar Cedera Dipukul Beramai-Ramai ini memberi pengajaran buat semua.