Penangguhan Bayaran PTPTN Akibat Penularan Covid-19. Sejak berkuatkuasanya Arahan Kawalan Pergerakan (MRO) pada 18 Mac 2020 yang lalu, timbul keresahan di kalangan rakyat tentang pembayaran balik pinjaman dengan bank serta institusi kewangan lain dalam tempoh larangan ini.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan antara pihak yang menawarkan pembiayaan pendidikan di Malaysia. Antara yang menjadi persoalan adalah berkenaan pembayaran balik PTPTN dalam tempoh MRO ini. Adakah pembayaran pinjaman boleh ditangguhkan seketika buat masa ini?
Penangguhan Bayaran PTPTN Oleh Kerajaan
Berdasarkan keadaan semasa, Kerajaan bersetuju untuk memberi penangguhan bayaran balik pinjaman kepada semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Penangguhan bayaran PTPTN itu akan berkuat kuasa serta-merta selama tiga bulan sehingga 30 Jun 2020.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad yang bersetuju dengan cadangan yang diberikan. Belaiau juga menyampaikan rasa gembira kerana cadangan tersebut dilaksanakan dengan segera.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi YB Datuk Noraini yang bersetuju dengan cadangan memberi kelonggaran kepada para peminjam PTPTN”
“Saya amat gembira kerana ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera, hanya beberapa hari sahaja selepas cadangan tersebut diangkat kepada beliau,” katanya dalam kenyataan pada Khamis”
FAQ Penangguhan Bayaran PTPTN
Berikut adalah Frequently Asked Question (FAQ) yang disediakan oleh pihak PTPTN. Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui talian Careline di 03 – 2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Maklumat lanjut juga boleh diperolehi melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.
Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Akibat Penularan Covid-19:
1. Apakah yang dimaksudkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat penularan COVID-19?
- Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat penularan COVID-19 bermaksud semua peminjam diberikan penangguhan membayar balik pinjaman dalam tempoh yang diluluskan.
2. Siapakah yang akan diberikan penangguhan bayar balik COVID-19 ini?
- Semua peminjam akan diberikan penangguhan bayaran balik pinjaman.
3. Bagaimanakah untuk memohon penangguhan COVID-19?
- Peminjam tidak perlu membuat permohonan. Penangguhan akan diberikan secara automatik.
4. Bilakah penangguhan bayaran balik COVID-19 akan berkuat kuasa?
- Penangguhan bayaran balik akan berkuat kuasa serta merta mulai 19 Mac hingga 30 Jun 2020.
5. Apakah manfaat yang diperoleh oleh peminjam?
- Peminjam diberikan penangguhan membayar balik pinjaman dan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan.
6. Adakah saya perlu membuat pembatalan potongan gaji atau direct debit sedia ada?
- Potongan gaji atau direct debit sedia ada juga ditangguhkan selaras dengan penangguhan bayaran balik yang diberikan kepada semua peminjam. Walau bagaimanapun, bagi peminjam yang ingin meneruskan potongan gaji/ direct debit, permohonan hendaklah dibuat melalui Portal Rasmi PTPTN (www.ptptn.gov.my/covid-19) mulai 23 Mac hingga 15 April 2020.
7. Adakah penangguhan bayaran balik ini akan diteruskan sekiranya wabak COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya?
- Semakan berhubung inisiatif penangguhan bayaran balik akan diteliti dari semasa ke semasa.
8. Adakah tempoh bayaran balik pinjaman saya akan dilanjutkan kesan dari penangguhan ini?
- Ya. Tempoh bayaran balik akan dilanjutkan melalui penstrukturan semula pinjaman yang dibuat secara automatik.
9. Adakah permohonan pertukaran ujrah/ penstrukturan semula/ penjadualan semula/ penggabungan boleh dilakukan dalam tempoh penangguhan ini?
- Tidak boleh. Ditangguhkan sehingga 30 Jun 2020.
Manfaatkan Penangguhan Pembayaran
Penangguhan yang diberikan ini dijangka akan memberi manfaat dan membantu seramai hampir 1.5 juta peminjam PTPTN yang sepatutnya membuat bayaran balik pinjaman mereka, melibatkan jumlah kutipan bagi tempoh penangguhan ini sebanyak RM375 juta.
Sama-samalah kita berdoa dan berusaha agar keadaan ekonomi akan pulih setelah wabak ini berlalu. Kita harus menjadi peminjam yang ebrtanggungjawab dan membuat pembayaran mengikut perjanjian yang telah ditetapkan. Ini semua bagi menjamin masa depan generasi akan datang juga yang bakal memerlukan bantuan pinjaman ini kelak.
Semoga perkongsian artikel Penangguhan Bayaran PTPTN Akibat Penularan Covid-19 bermanfaat buat semua pembaca Sistem Guru Online
Sumber: Awani dan Portal PTPTN