Mencari Bahagia Di Masa Lepas Dan Akan Datang. Ramai di antara kita yang mencari bahagia. Ada yang berjaya menemuinya, namun ada juga yang tidak. Ada juga yang bahagia itu hadir sebentar cuma. Jadi, adakah bahagia itu terlalu sukar untuk dimiliki?
Tidak sahabat, ianya tidak mustahil untuk ditemui. Cuma kita perlu fahami dahulu makna bahagia itu.
Mencari Bahagia di Masa Lepas
Ada orang yang bahagianya tersimpan dalam memori lama. Seperti seorang guru yang menyimpan erat memori ketawa dan bercerita dengan muridnya. Setiap kali dia ingin mencari bahagia, dia pejamkan mata dan cuba membayangkan saat itu.
Namun, adakah dengan terus hidup dalam kenangan akan membahagiakan kita pada masa sekarang juga? Itu persoalan yang kita perlu cari jawapannya. Bagaimana pula dengan masa akan datang?
Masa Akan Datang Yang Belum Pasti
Bayangkan padang rumput yang terbentang. Bayangkan anak-anak berlari sambil menarik layang-layang. Indah bukan? Adakalanya kita mencari bahagia dengan memasang angan-angan. Kita bayangkan impian kita tercapai pada suatu saat, dan tentunya ianya saat yang membahagiakan.
Namun, adakah angan-angan akan menjadi kenyataan? Bagaimana jika apa yang diimpikan hilang dari genggaman. Bagaimana jika kita mengalami kegagalan? Semua ini pasti juga bermain di minda kita bukan?
Ketenangan Yang Membahagiakan
Ya, kebahagiaan itu datang pada mereka yang mencapai ketenangan. Tenang is good bak kata Bapa Viral Kebangsaan. Jadi bagaimanakah kita sebagai guru boleh menikmati ketenangan dengan tanggungjawab besar yang kita pikul sekarang?
Bila mana anda berasa tidak bahagia pada masa sekarang dan ingin lebih menikmati masa sekarang, sudah tiba masanya anda belajar dari masa lalu atau bantu cipta masa akan datang – Spencer Johnson, dalam buku The Present.
Kita tidak perlu terus belajar dari masa lepas. Bukan mengenangkan yang indah-indah sahaja. Kita belajar apakah yang perlu diperbaiki. Kita belajar menerima kesilapan masa silam, dan berusaha untuk memperbaikinya. Dengan ini kita akan dapat capai ketenangan.
Jika dulu kita pernah gagal dalam melaksanakan tugas kita, maafkan diri kita. Sebagai guru kita juga manusia, tidak pernah lari dari melakukan kesilapan. Belajar dan terus belajar dari kesilapan lalu. Sesungguhnya tiada yang berlaku tanpa izin Tuhan, pasti ada yang boleh kita pelajari.
Kita juga perlu membina masa depan yang cemerlang untuk anak didik kita. Apabila mereka cemerlang, kita juga akan turut berasa bangga. ya kita tidak akan dapat meneka apa yang bakal berlaku, namun kita boleh bantu mencorakkannya. Selebihnya kita serahkan pada Tuhan yang Maha Esa.
Membuat Tindakan
Jadi, mencari bahagia pada masa sekarang itu melibatkan masa lepas dan akan datang. Bukan sekadar terkenang-kenang dan berangan-angan. Carilah ketenangan dengan membuat tindakan, nescaya kita temui kebahagiaan.
Semoga penulisan kalini membantu sahabat Mencari Bahagia Di Masa Lepas Dan Akan Datang untuk harini dan mendatang.